Asma ul-Husna yang ke-87 ialah Al-Jaami ( الجامع) yang bererti: Tuhan Yang Maha Menghimpunkan, berkuasa menghimpunkan manusia di sebuah planet bernama bumi dan tidak pada planet-planet lain. Yang lebih utama bahawa Allah SWT yang berkuasa menghidupkan semula dan menghimpunkan manusia di akhirat.
Manusia juga semestinya mengambil iktibar daripada sifat Allah SWT yang Al-Jaami iaitu dengan menghimpunkan antara ilmu dan amal. Ilmu yang terpisah dengan amal tidak mendatangkan faedah, amal yang terpisah dengan keikhlasan adalah sia-sia, kehidupan tanpa amal adalah suatu kerugian.
Orang mukmin mesti menghimpunkan antara keperluan jasad dan keperluan roh, menghias jasad seiring dengan roh. Menghias jasad dengan pakaian yang indah dan menjaga kesihatan, menghias roh dengan hati yang bersih dan amal yang soleh.
Menghimpunkan antara ibadat zahir dengan ibadat batin, misalnya ketika jasad mendirikan solat maka hati hendaklah khusyuk beribadat dengan mengingati Allah SWT (jangan lalai). Jasad melakukan ibadat bersamaan dengan hati yang tenteram dan tenang terhadap Allah SWT.
Mendirikan solat dan meninggalkan perkara keji dan mungkar mestilah seiring. Mendirikan solat tetapi melakukan maksiat bererti solatnya tidak berkesan sebagai pencegah perkara keji.
Jangan sekali-kali menghimpunkan antara yang hak dan batil. Sebaliknya tegakkan yang hak supaya terhapusnya kebatilan. Dengan demikian barulah layak digelar sebagai hamba Allah SWT yang Maha Adil.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a comment