Teks Khutbah Jumaat (JAKIM): Hidup Bersyukur, Masa Depan Teratur 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌۭ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۢ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ(١٨)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri memerhatikan apa yang dia telah sediakan (amalan) untuk hari esok (hari akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” 

(Surah al-Hasyr 56:18)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara yang lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua. 

Pada hari ini saya akan membicarakan khutbah bertajuk: “Hidup Bersyukur, Masa Depan Teratur”. 

Sebelum itu juga, saya ingin menyeru kepada semua untuk terus mendoakan keselamatan dan perlindungan kepada penduduk Palestin yang masih lagi ditindas oleh rejim zionis Israel laknatullahi ‘alaihim. Sesungguhnya hanya Allah SWT jua yang Maha Berkuasa memberi pertolongan kepada mereka. 

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian, 

Tahun 2024 hampir melabuhkan tirainya. Bermacam peristiwa suka dan duka telah kita lalui sepanjang tahun 2024. Nikmat yang kita terima, ujian yang kita hadapi merupakan sebahagian fitrah dan rencam hidup yang dilalui oleh setiap orang. Hanya sanya cara dan sikap kita menguruskannya itulah yang menjadikannya nikmat dan ujian itu bermanfaat kembali kepada diri kita sendiri. Nikmat yang diberi oleh Allah bertujuan melihat sama ada kita bersyukur atau sebaliknya. Manakala ujian yang dihampar kepada kita bertujuan menguji keimanan, kebijaksanaan serta keteguhan semangat kita dalam menghadapi dan mengatasinya. 

Segala macam ujian hidup, akan menzahirkan keadaan sebenar seseorang manusia sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya dalam Surah al-Mulk ayat 2: 

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًۭا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ(٢)

Maksudnya: “Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”.

(Surah Al-Mulk 67:2)

Perkara terpenting bagi kita umat Islam ialah dengan kehidupan ini kita merenung jauh tentang persiapan menuju kehidupan abadi di akhirat kelak. Tentang pelaksanaan kewajipan sebagai umat Islam, persiapan amal, hubungan kita dengan Allah SWT, juga hubungan sesama manusia semasa hidup di dunia ini. 

Nabi SAW bersabda yang maksudnya:

“Orang yang cerdik (yang berakal) ialah orang yang mempersiapkan dirinya dan beramal untuk hari setelah kematian, manakala orang yang lemah (imannya) ialah orang yang jiwanya mengikuti hawa nafsunya dan berangan-angan kepada Allah SWT (bahawa Allah akan mengampuninya)”.

(Hadis riwayat Imam at-Tirmidzi) 

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian, 

Islam menuntut umatnya untuk sentiasa mempersiapkan masa depan yang lebih baik dalam pelbagai ruang lingkup kehidupan, termasuk aspek spiritual, moral, intelektual, dan material. Persiapan ini selaras dengan ajaran al-Quran dan hadis yang menekankan pentingnya berusaha, beramal soleh, dan menjaga amanah Allah SWT. Tahun-tahun yang mendatang pastinya memiliki cabarannya yang tersendiri. Allah SWT mengingatkan kita supaya merancang dengan baik masa depan kita termasuklah persediaan menuju alam akhirat. 

Firman Allah SWT dalam Surah al-Hasyr ayat 18 yang saya bacakan pada awal khutbah tadi yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan”. 

Perancangan masa depan ini pastinya perlu diiringi dengan usaha dan tindakan yang berterusan. Tanpa ada usaha, maka dari mana datangnya hasil yang baik dan diharapkan? Setelah kita berusaha, hendaknya kita bertawakal (menyerahkan) kepada Allah SWT urusannya kerana Allah SWT jualah sebaik-baik tempat kita berserah. 

Konsep tawakal ini juga dapat kita rujuk berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dalam Sahihnya bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW:

“Aku lepaskan unta aku dan aku bertawakal?” Baginda menjawab: “Ikatlah unta itu dan bertawakallah”. (Sahih Ibn Hibban) 

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian, 

Saban tahun, menjelangnya tahun baharu, pelbagai majlis keraian dibuat bagi menyambut ketibaan tahun baharu. Namun, dalam pada kita meraikan tahun baharu, jangan pula ia  menjadi sebab kepada mengundang kemurkaan Allah SWT dengan adanya pesta-pesta yang bercampur bebas antara lelaki dan wanita, terdedahnya aurat, nyanyian yang melalaikan dan sebagainya. Sebaiknya, biarlah kita isikannya dengan bermunajat kepada Allah SWT, atau bermuhasabah dan bertaubat kepada Allah, atau boleh menghadiri majlis-majlis ilmu yang akhirnya mendatangkan rasa syukur, takut kepada Allah SWT serta meningkatkan iman dan takwa dalam diri kita. 

Maka, sebagai usaha untuk memastikan pengisian malam tahun baharu benar-benar bermanfaat kepada seluruh masyarakat, maka Jabatan kemajuan Islam Malaysia akan menganjurkan Program Gema Syukur 2025 yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya pada 31 Disember 2024 bermula jam 6:00 petang. 

Kita isikan malam itu dengan bacaan Yasin, zikir dan doa selamat, tadabbur al-Quran, qiamullail, tausiah Subuh dan banyak lagi aktiviti yang bermanfaat untuk semua. Semoga dengan usaha ini ia akan meningkatkan lagi rasa kesyukuran, keimanan dan mendekatkan lagi kita kepada Allah SWT. 

Justeru mengakhiri khutbah pada hari ini, saya tinggalkan saudaraku sekalian dengan beberapa pesanan; 

Pertama: Sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang diberikan dan bersabar atas segala ujian yang dihadapi. 

Kedua: Persiapkanlah diri dan keluarga kita dengan persediaan yang baik sama ada dari sudut material, intelektual dan terlebih lagi kefahaman dalam agama dan keimanan kepada Allah SWT dalam menuju kehidupan akhirat yang abadi. 

Ketiga: Jauhilah perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT dan sentiasa saling mengingati antara satu sama lain. Semoga ia menjadi asbab kepada turunnya berkat dan rahmat dari Allah SWT kepada kita semua dalam menghadapi tahun-tahun yang mendatang. Insya-Allah. 

Renungkan firman Allah SWT dalam Surah al-A’raaf ayat 96: 

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ (٩٦)

Maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”

(Surah al-A’raaf 7:96)

Tarikh Dibaca: 25 Jamadilakhir 1446h / 27 Disember 2024 
Disediakan Oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑