Teks Khutbah Jumaat (WP): Muhasabah Menitip Ibrah

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌۭ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۢ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ(١٨)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri memerhatikan apa yang dia telah sediakan (amalan) untuk hari esok (hari akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”

(Surah al-Hasyr 56:18)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah. Suburkan jiwa kehambaan dengan ketaatan melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala kemungkaran secara istiqamah. Semoga kehidupan kita di dunia dan di akhirat dinaungi rahmat dan mendapat barakah. Berikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang akan disampaikan. Di ruang zikrullah ini, tinggalkan semua perkara yang lagha seperti menggunakan telefon atau berbual-bual yang meluputkan ganjaran pahala Jumaat kita. Berusahalah menahan mata dari tidur. Semoga kita meraih ganjaran ibadah yang sempurna.

Tajuk khutbah pada hari ini ialah “Muhasabah Menitip Ibrah”.

Kaum Muslimin Yang Berbahagia,

Beberapa hari lagi, tahun 2024 bakal melabuhkan tirainya. Jika direnungkan kembali, tentunya pelbagai peristiwa yang telah berlaku, masih terpahat di minda kita. Apa juga yang berkait dengan kehidupan kita mahupun insan-insan lain walau di mana sahaja mereka berada, sama ada kejadian baik atau buruk, ia wajar menjadi ibrah dan peringatan. Agar nanti, ia menjadi suluhan dan pedoman dalam usaha kita menjadikan hari-hari yang mendatang lebih baik daripada hari-hari yang telah berlalu. Saranan ini pernah dinyatakan di dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Hasyr ayat 18, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri memerhatikan apa yang dia telah sediakan (amalan) untuk hari esok (hari akhirat). Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.”

(Surah al-Hasyr 56:18)

Kita sering memikirkan impian dan cita-cita yang ingin dikejar dan dicapai di dunia ini. Apabila melihat insan-insan lain berjaya menempa nama, memiliki kekayaan dan meraih kedudukan istimewa, kadang kala perasaan cemburu timbul terhadap pencapaian mereka.

Namun, usahlah kita lupa bahawa matlamat kehidupan di dunia ini bukanlah untuk mengejar itu semua, bahkan untuk menjayakan watak sebagai hamba Allah dan berperanan sebagai khalifah-Nya. Inilah kejayaan dan kebahagiaan yang perlu kita usahakan sebenarnya. Biarlah kita hanya berada di tepian lautan manusia yang berjaya menggenggam dunia, asalkan kita mencapai darjat takwa yang menjadi lambang kemuliaan teragung seorang manusia.

Setiap muslim dituntut supaya bermuhasabah terhadap kehidupannya. Dari situ, dia melangkah memperbaiki kesilapan lalu dan bermujahadah agar tidak mengulanginya. Sejajar itu dia terus memperkukuhkan imannya sebagai hamba Allah SWT dengan mempertingkatkan amal dan ketaatan.

Di samping itu, dia juga memelihara hubungan sesama manusia dengan menyempurnakan segala hak-hak mereka. Setiap detik masa yang memahat usianya sangat dihargai dan tidak akan dibiarkan berlalu sia-sia. Renungi ungkapan kata-kata indah Abdullah bin Mas’ud radiallahuanhu:

“Tiada yang lebih aku kesali selain penyesalanku terhadap setiap hari yang terbenam mataharinya, bersama semakin hampir ajalku, tidak bertambah pula amalanku.”

Kaum Muslimin Yang Dimuliakan,

Di kesempatan berada di penghujung tahun ni, marilah kita lakukan muhasabah terhadap beberapa perkara berikut:

Pertama: Muhasabah terhadap iman dan takwa kita.

Jika sebelum ini sering kali kita mengabaikan perintah solat, puasa dan zakat, lakukan perubahan dengan bersungguh-sungguh dan sepenuh keikhlasan untuk menunaikan semua perintah tersebut. Bermujahadahlah untuk hidup berdisiplin di batasan syariat. Jauhi segala maksiat dan kemungkaran.

Begitu juga, bermuhasabahlah terhadap peranan kita sebagai seorang bapa, anak, pekerja, majikan, ketua anggota masyarakat dan sebagainya. Laksanakan semua peranan dan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Suburkan kasih sayang sesama anggota keluarga dan masyarakat demi mencapai kehidupan yang mendamaikan.

Kedua: Perbaiki diri dengan mempertingkatkan ilmu dan amalan.

Ikuti kelas-kelas pengajian guru yang bertauliah yang dianjurkan di masjid dan surau secara istiqamah. Bacalah buku-buku agama untuk memperbaiki diri dan amal ibadah kita. Dengan ilmu agama, kita dapat menyuluh kehidupan dan memahami hikmah di sebalik setiap perintah Allah SWT berpandukan pedoman al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Inilah petanda kehidupan yang baik sebagaimana kenyataan hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Mu’awiyah bin Abu Sufian radiallahuanhu, sabda baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang Allah mahukan pada dirinya kebaikan, Allah akan memberi kefahaman kepadanya dalam urusan agama.”

Lakukan perubahan secara berperingkat. Usah terlalu drastik dalam memperbaiki diri. Di samping itu, carilah sahabat yang soleh untuk membantu mengekalkan semangat istiqamah dalam beribadah dan mencari ilmu.

Ketiga: Muhasabah terhadap tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Sebagai suami dan bapa kita mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai nakhoda dalam menjamin keselamatan bahtera pelayarannya. Lihatlah sejauh mana cara kehidupan keluarga kita menepati perintah agama. Ubahlah gaya hidup yang melalaikan, menongkah syariat dan merugikan. Terapkan budaya ilmu dan pengamalan syariat dan sunnah Rasulullah SAW. Perkukuhkan nilai-nilai kasih sayang dan akhlak Islam. Budayakan amar makruf dan nahi munkar dalam keluarga demi menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Para Tetamu Allah yang dikasihi,

Rancanglah kehidupan bagi menghadapi tahun baru dengan bijaksana. Kehidupan yang sempurna sebagai insan beriman pastinya memerlukan muhasabah dan perancangan yang menyeluruh. Sesungguhnya inilah kebijaksanaan yang sebenar sebagaimana kenyataan hadis riwayat Imam al-Tirmizi, daripada Syaddad bin Aus radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Orang yang cerdik ialah sesiapa yang bermuhasabah terhadap dirinya dan beramal untuk bekalan selepas mati. Sedangkan orang yang lemah ialah sesiapa yang mengikut hawa nafsunya namun mengimpikan rahmat Allah.”

Mengakhiri khutbah, renungkan beberapa saranan berikut:

Pertama: Muhasabah adalah lambang kebijaksanaan.

Dengan muhasabah kita meneliti dan merancang untuk membina kehidupan yang lebih baik dan sempurna sebagai insan beriman.

Kedua: Bermuhasabahlah di penghujung tahun ini.

Semoga ia menjadi ibrah dan pedoman dalam usaha kita menjadikan hari-hari yang mendatang lebih baik.

Ketiga: Perbaiki diri dengan peningkatan ilmu, iman dan amal.

Fahami hikmah pada setiap perintah Allah dalam kehidupan kita berpandukan pedoman al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Hayati firman Allah SWT dalam surah al-Anbiyaa’, ayat 47:

وَنَضَعُ ٱلْمَوَٰزِينَ ٱلْقِسْطَ لِيَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ فَلَا تُظْلَمُ نَفْسٌۭ شَيْـًۭٔا ۖ وَإِن كَانَ مِثْقَالَ حَبَّةٍۢ مِّنْ خَرْدَلٍ أَتَيْنَا بِهَا ۗ وَكَفَىٰ بِنَا حَـٰسِبِينَ (٤٧)

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.”

(Surah Al-Anbiya 21:47)

Tarikh Bacaan: 25 Jamadilakhir 1446H | 27 Disember 2024M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, 
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑