Teks Khutbah Jumaat (Jakim): Perbaiki Diri, Demi Redha Ilahi 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثْنَا عَشَرَ شَهْرًۭا فِى كِتَـٰبِ ٱللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ مِنْهَآ أَرْبَعَةٌ حُرُمٌۭ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا۟ فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَـٰتِلُوا۟ ٱلْمُشْرِكِينَ كَآفَّةًۭ كَمَا يُقَـٰتِلُونَكُمْ كَآفَّةًۭ ۚ وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلْمُتَّقِينَ(٣٦)

Maksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah at-Taubah 9:36)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. 

Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara yang lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua. 

Pada hari ini saya akan membicarakan khutbah bertajuk: “Perbaiki Diri, Demi Redha Ilahi”. 

Saudaraku Yang Dikasihi Sekalian, 

Kita telah pun memasuki Bulan Rejab, salah satu bulan haram yang memiliki kemuliaannya, sebagai bulan yang dihormati dan disucikan dalam Islam. Allah SWT berfirman dalam Surah at-Taubah ayat 36 yang saya bacakan pada awal khutbah tadi bermaksud:

 “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertakwa”. 

Dalam Islam, “bulan haram” memiliki makna khusus sebagai waktu yang dimuliakan. Pada bulan ini, Allah SWT melarang manusia dari melakukan perbuatan zalim, syirik, dosa dan menyeru umat manusia untuk meningkatkan amal kebaikan. Hal ini tidak bermakna kita bebas melakukan dosa di bulan lain. 

Syeikh Nawawi al-Bantani menjelaskan bahawa dalam Bulan Rejab, umat Islam diingatkan untuk tidak mengotorinya dengan perbuatan dosa. Beliau turut menegaskan bahawa dosa yang dilakukan pada bulan haram, termasuk Bulan Rejab, memiliki berat yang lebih besar berbanding dosa yang dilakukan pada bulan lain. 

Saudaraku Yang Dikasihi Sekalian, 

Tibanya Bulan Rejab juga memberi peringatan kepada kita bahawa kita semakin hampir kepada Bulan Ramadan yang mulia. Rejab turut dikenali sebagai bulan persiapan spiritual menuju Bulan Ramadan. Dalam bulan ini, umat Islam dianjurkan meningkatkan amal ibadah, seperti berpuasa sunat, memperbanyak zikir, bersedekah, serta membaca al-Quran. 

Seiring dengan masuknya kita ke tahun baharu, kesempatan berada dalam Bulan Rejab ini hendaklah kita manfaatkan sebaik-baiknya untuk menggilap diri menjadi manusia yang terbaik.  

Kehadiran tahun baharu seiring dengan keberadaan kita dalam Bulan Rejab menuntut satu iltizam baharu untuk kita memperbaiki diri untuk menjadi insan yang lebih baik dan lebih berkualiti. Bukan hanya cakap kosong, atau sekadar azam yang menjadi catatan rutin setiap tahun, bahkan segala semangat, iltizam dan tekad hendaklah dilaksanakan sebaiknya. 

Jangan bertangguh lagi untuk bertaubat dan melakukan kebaikan kerana kita tidak tahu bila masanya hayat kita berakhir. 

Kita mulakan tahun baharu dengan sentiasa bertaubat dan beristighfar. Dalam masa yang sama, kehidupan di dunia ini bukanlah penghalang untuk kita berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sebaliknya, dengan menjalani kehidupan di dunia secara benar, ia boleh membawa kita kepada keredhaan Allah SWT dan kebahagiaan di akhirat kelak. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Qasas ayat 77:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْـَٔاخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا ۖ وَأَحْسِن كَمَآ أَحْسَنَ ٱللَّهُ إِلَيْكَ ۖ وَلَا تَبْغِ ٱلْفَسَادَ فِى ٱلْأَرْضِ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلْمُفْسِدِينَ(٧٧)

Maksudnya: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hambahamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan”.

(Surah al-Qasas 28:77)

Sidang Jemaah Yang Dikasihi Sekalian, 

Peredaran tahun juga sepatutnya menjadikan kita semakin matang dalam segenap hal. Kita umat Islam wajar menjadi contoh teladan yang baik kepada seluruh masyarakat. Hentikanlah perkara dan tindakan tidak bijak dan kontroversi yang dibuat semata-mata untuk mengisi kandungan media sosial. Berfikirlah sedalam-dalamnya sebelum membuat komentar, ulasan atau apa-apa jua tindakan sama ada di media sosial mahupun di dunia nyata kerana tersilap langkah, maka kesannya boleh membinasakan diri, keluarga dan masyarakat seluruhnya. 

Tanamkan tekad untuk menjadi peribadi yang terbaik dan bermanfaat kepada orang lain. Berusahalah untuk meninggalkan segala perkara buruk, maksiat dan perbuatan keji yang menjadi amalan sebelum ini. Hiasilah diri dengan akhlak-akhlak baik dan sesuai dengan peribadi Muslim sejati. 

Ambillah pengajaran dari kisah-kisah terdahulu. Rancang dengan baik perjalanan bagi tahun mendatang. Fokus kepada sasaran, dan mohonlah bimbingan dan pertolongan hanya kepada Allah SWT jua kerana Dialah sebaik-baik tempat memohon pertolongan. 

Justeru mengakhiri khutbah pada hari ini, saya tinggalkan saudaraku sekalian dengan beberapa pesanan;

Pertama: Allah SWT mengingatkan kita untuk menjauhi segala perbuatan dosa tanpa mengira pada bila-bila masa dan keadaan terlebih lagi dosa yang berkait dengan syirik. 

Kedua: Kehidupan dunia seharusnya dimanfaatkan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan bukan menjadikan kita sombong dan terhalang dari kita mengingati Allah SWT. 

Ketiga: Ambil kesempatan keberadaan dalam Bulan Rejab dan tahun baharu untuk menjadi insan yang terbaik dan berkualiti dengan meninggalkan segala perbuatan dosa dan maksiat serta meningkatkan amal soleh. Renungkan firman Allah SWT dalam Surah al-Qasas ayat 83: 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

تِلْكَ ٱلدَّارُ ٱلْـَٔاخِرَةُ نَجْعَلُهَا لِلَّذِينَ لَا يُرِيدُونَ عُلُوًّۭا فِى ٱلْأَرْضِ وَلَا فَسَادًۭا ۚ وَٱلْعَـٰقِبَةُ لِلْمُتَّقِينَ(٨٣)

Maksudnya: “Negeri akhirat (yang telah diterangkan nikmat-nikmatnya) itu, Kami sediakan bagi orang-orang yang tidak bertujuan hendak mendapat pengaruh atau kelebihan di muka bumi dan tidak ingat hendak melakukan kerosakan; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa”

(Surah al-Qasas 28:83)

Tarikh Dibaca: 3 Rejab 1446h / 3 Januari 2025 
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑