Soalan
Adakah semua yang disebut sesat itu bermaksud telah terkeluar daripada agama atau terbatal iman, atau telah jatuh kafir (kufur)? atau masih muslim?
Penjelasan
Perkataan Dhalal atau sesat dalam bahasa arab dan dalam bahasa melayu digunakan dengan pengertian daripada sudut bahasa seperti makna salah, bingung, hilang, lenyap, sia-sia, lupa dan begitu juga perkataan sesat digunakan dengan makna istilahnya iaitu penyelewengan dalam urusan agama khususnya melibatkan akidah yang menyebabkan seseorang jatuh dalam lembah kekufuran.
Justeru, perkataan “sesat” ketika disebut perlu diperhatikan samada ianya diguna mengikut pengertian bahasa atau pengertian syara’ dan ia tidak semestinya merujuk kepada penyelewengan yang mengeluarkan daripada agama, terbatal iman atau telah jatuh kufur.
Hal ini berbeza dengan istilah “Murtad” yang merujuk kepada keluar daripada Islam sama ada perisytiharan dengan ucapan, perbuatan atau niat. Keluar tersebut sama ada secara bergurau, ingkar atau iktikad.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan keatas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, “Sesat” ditakrifkan sebagai tidak mengikuti jalan yang betul, tersalah (tersilap jalan, terkeliru (perbuatan, kepercayaan dll) dan menyimpang daripada jalan yang benar. (Rujuk Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (2002), hlm.18).
Perkataan dhalal yang bermaksud sesat berakar kata daripada dhalla, yadhillu, dhallan, dhalalan, ḍhalalatan, dhallun iaitu memberi maksud hilang lenyap, sia-sia, sesat, kesesatan, menyeleweng daripada sesuatu dan tidak mendapat petunjuk. (Rujuk al-Mu‘jam al-Asasi al-‘Arabi, Hlm.774)
Al-asfahani menyatakan istilah “al-dhalal” ialah menyeleweng daripada jalan yang benar (at-tariq al-mustaqim) dan berlawanan dengan bimbingan hidayah Ilahi. Dinyatakan bahawa keadaan “dhalal” ialah tiap-tiap keadaan yang menyeleweng daripada jalan dan manhaj yang betul dengan sengaja atau dengan terlupa, banyak atau sedikit. Dinyatakan dalam hubungan dengan ini bahawa jalan yang benar (at-tariq al-mustaqim) yang berupa jalan yang diredai itu sangat sukar. (Rujuk al-Mufradat fi Gharibil Quran Hlm.510)
Ajaran sesat telah ditakrifkan oleh Bahagian Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sebarang ajaran atau amalan yang dibawa oleh orang Islam atau bukan Islam yang mendakwa bahawa ajaran dan amalan tersebut berdasarkan kepada ajaran Islam sedangkan pada hakikatnya ajaran dan amalan yang dibawa itu bertentangan dan berlawanan dengan akidah Islamiah, bertentangan dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, bertentangan dengan mazhab yang muktabar dan bertentangan dengan Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah. (Rujuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Penjelasan Ciri-ciri Utama Ajaran Sesat (2010), 3).
Perkataan Dhalal Dalam Al-Quran
Perkataan Dhalal iaitu sesat dan semua kata yang terbit daripadanya disebutkan sebanyak 191 kali di dalam al-quran dan ia datang dengan beberapa pengertian, antaranya:
1. Kufur
Hal ni sesuai sebagaimana firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا آمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي نَزَّلَ عَلَىٰ رَسُولِهِ وَالْكِتَابِ الَّذِي أَنزَلَ مِن قَبْلُ ۚ وَمَن يَكْفُرْ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا
Maksudnya: ” Wahai orang-orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan RasulNya, dan kepada Kitab Al-Quran yang telah diturunkan kepada RasulNya (Muhammad, s.a.w), dan juga kepada Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasulNya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh”.
(Surah Al-Nisa’ 4:136)
2. Syirik
Allah SWT berfirman:
إِنَّ اللَّهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُشْرِكْ بِاللَّهِ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا بَعِيدًا
Maksudnya:” Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh”.
(Surah Al-Nisa’ 4:116)
3. Hilang dan Lenyap
Allah SWT berfirman:
وَإِذَا مَسَّكُمُ الضُّرُّ فِي الْبَحْرِ ضَلَّ مَن تَدْعُونَ إِلَّا إِيَّاهُ ۖ فَلَمَّا نَجَّاكُمْ إِلَى الْبَرِّ أَعْرَضْتُمْ ۚ وَكَانَ الْإِنسَانُ كَفُورًا
Maksudnya:”Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah)”.
(Surah Al-Isra’ 17: 67)
4. Sia-Sia
Allah SWT berfirman:
الَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا
Maksudnya:” (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.
(Surah Al-Kahfi 18:104)
5. Lupa
Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ ۚ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَن يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللَّهُ ۚ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلَا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا ۚ فَإِن كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لَا يَسْتَطِيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ ۚ وَاسْتَشْهِدُوا شَهِيدَيْنِ مِن رِّجَالِكُمْ ۖ فَإِن لَّمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّن تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ أَن تَضِلَّ إِحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَىٰ
Maksudnya:”Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi”.
(Surah Al-Baqarah 2:282)
Umumnya, ajaran sesat merupakan ajaran yang menyimpang daripada pegangan umat Islam yang menjadikan al-Quran dan hadis sebagai panduan. Permasalahan tersebut merupakan permasalahan yang besar kerana melibatkan akidah seseorang yang boleh menyebabkan seseorang itu tidak lagi dirujuk sebagai seorang Muslim.
Isu ajaran dan amalan sesat bukan satu perkara baharu bahkan sejarahnya sejajar dengan kewujudan umat manusia sejak pengutusan Nabi Adam AS. Iblis berikrar memperlihatkan keelokan segala jenis maksiat kepada Adam serta zuriatnya selain menghalangi mereka daripada menjalani jalan yang lurus. Jenis-jenis penyelewengan, kesesatan dan kekufuran berterusan berlaku dengan dorongan Iblis.
Hukum alam atau sunatullah memperlihatkan pertembungan antara hak dengan batil atau kebenaran dengan kesesatan berterusan berlaku sepanjang zaman. Seruan dakwah Islam dengan pengutusan para nabi serta rasul yang bergantian hakikatnya bertujuan mengembalikan manusia daripada kesesatan kepada kebenaran dan daripada mensyirikkan Allah SWT kepada mentauhidkan-Nya. Fenomena fahaman dan ajaran sesat wujud sejak berzaman dengan pelbagai dakwaan seperti mendakwa dirinya tuhan, atau wakil tuhan kepada segala agama, nabi, pengganti nabi yang memiliki kuasa merubah hukum hakam dan sebagainya.
Ajaran sesat dahulunya bergerak tanpa disedari menyebabkannya sukar dikesan dan dibanteras. Dunia globalisasi tanpa sempadan serta teknologi masa kini menyebabkannya lebih mudah disebarkan dan sukar dibanteras pihak berkuasa agama. Ajaran sesat adalah barah yang mengakibatkan rosaknya aspek kepercayaan (Iman), pengamalan (Islam) dan kerohanian (Ihsan) seorang Muslim.
Kesimpulan
Secara amnya, dapat difahami bahawa perkataan Dhalal atau sesat dalam bahasa arab digunakan secara meluas merangkumi pengertian daripada sudut bahasa seperti mengertikan sesat dengan makna salah, bingung, hilang, lenyap, sia-sia, lupa dan begitu juga perkataan sesat digunakan dengan makna istilahnya iaitu penyelewengan dalam urusan agama dan jalan kehidupan yang tidak sesuai dengan petunjuk Allah (hidayah).
Penggunaan kata “sesat” dalam bahasa melayu juga tidak jauh bezanya kadangkala merujuk kepada penyimpangan yang berlaku dalam urusan agama khususnya melibatkan akidah yang menyebabkan seseorang jatuh dalam lembah kekufuran dan penggunaan ini sering difahami ketika disebut perkataan sesat namun tidak dinafikan ada kalanya perkataan “sesat” digunakan mengikut pengertian bahasa iaitu sekadar menyimpang atau terpesong tanpa menyebabkan seseorang jatuh ke dalam lembah kekufuran.
Justeru, perkataan “sesat” ketika disebut perlu diperhatikan sama ada ianya diguna mengikut pengertian bahasa atau pengertian syarak dan ia tidak semestinya merujuk kepada penyelewengan yang mengeluarkan daripada agama. Hal ini berbeza dengan istilah “murtad” yang merujuk kepada Keluar daripada Islam sama ada perisytiharan dengan ucapan, perbuatan atau niat. Keluar tersebut sama ada secara bergurau, ingkar atau iktikad.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.
Wallahua’lam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment