Soalan
Mohon pencerahan berkenaan dengan anak perempuan yang dinasabkan kepada suaminya (sedangkan suaminya menafikan anak tersebut adalah anaknya) kerana suami sudah lama tidak tinggal bersama ketika isterinya mengandungkan anak itu. Isteri mengatakan itu anak suaminya. Mereka berpisah secara sah selepas beberapa tahun anak itu dilahirkan. Soalannya kedudukan anak tersebut adakah sama taraf dengan anak kandung arwah suaminya?
Penjelasan
Suami yang mahu menafikan nasab anaknya perlulah melakukannya di hadapan hakim dalam tempoh yang telah ditetapkan, sekiranya tidak dilakukan dengan sedemikian atau dilakukan tetapi selepas daripada tempoh yang ditetapkan syarak, maka suami tiada hak menafikan nasab anaknya dan nasab anak perempuan itu sabit ke atasnya. Oleh itu bagi menjawab persoalan yang diajukan adalah seperti berikut:
- Penafian yang tidak dilakukan di hadapan hakim atau dalam tempoh yang ditetapkan adalah tidak sah.
- Anak perempuan yang dilahirkan itu adalah anak sah taraf dan penasabannya adalah kepada bapanya.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Institusi Kekeluargaan Dalam Islam
Institusi kekeluargaan adalah penting di dalam Islam. Ianya dilihat sebagai asas kepada sebuah masyarakat dan negara yang sejahtera. Firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
(Surah al-Rum 30:21)
Antara matlamat manusia digalakkan untuk hidup berpasangan ialah untuk mendapat keturunan dan zuriat. Di dalam Islam, persoalan zuriat yang baik amat dititikberatkan.
Firman Allah SWT:
الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِندَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا
Maksudnya: Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.
(Surah al-Kahfi 18:46)
Penasaban Anak
Nasab menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud: Pertalian keluarga, keturunan (terutama daripada sebelah bapa). Contohnya, nasab bapa pertalian keluarga di sebelah bapa; nasab ibu pertalian keluarga di sebelah ibu; penasaban hal yang berkaitan dengan nasab: ini berkaitan dengan nasab, perwalian, pewarisan, dan pergaulan dalam keluarga.
Nasab merupakan suatu perkara yang penting dalam kehidupan berkeluarga. Ia merupakan nikmat agung yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Memelihara nasab adalah salah satu daripada Maqasid al-Syariah yang lima iaitu hifzu al-nasl (memelihara keturunan).
Firman Allah SWT:
وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا
Maksudnya: Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga; dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendaki-Nya).
(Surah al-Furqan 25:54)
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA, Nabi SAW bersabda:
الْوَلَدُ لِلْفِرَاشِ، وَلِلْعَاهِرِ الْحَجَرُ
Maksudnya: Anak itu ialah bagi pemilik katil(tempat melakukan hubungan kelamin bagi pasangan yang sah) sementara seorang penzina tidak punya hak atas anak yang lahir daripada penzinaannya.
(Riwayat Bukhari 6818)
Kebiasaan jahiliah mengaitkan nasab dengan zina. Diriwayatkan kisah perselisihan antara Abd bin Zam’ah dan Saad bin Abi Waqqas, mereka datang kepada Nabi SAW dan mengadukan tentang nasab Abd Rahman bin Zam’ah. Nabi SAW kemudian bersabda, “Anak itu milikmu, wahai Abd bin Zam’ah,” kerana anak dinisbahkan kepada pemilik perkahwinan yang sah, sama ada suami atau tuannya (dalam kes hamba). Nabi juga menegaskan bahawa “Bagi penzina hanya ada kehinaan dan kerugian”, yang bermaksud penzina tidak mempunyai hak terhadap anak tersebut.
Para fuqaha’ telah menetapkan bahawa bayi yang lahir selepas 6 bulan dari tarikh bersama suami isteri maka anak tersebut akan dinasabkan kepada suami wanita tersebut. Meskipun begitu, sekiranya suami mahu untuk membuat tuduhan zina kepada isteri serta menafikan nasab anak yang dikandung oleh isterinya itu bukan anaknya, maka syara’ membenarkannya dengan jalan Li’an.
Adapun seseorang yang melakukan Qazaf iaitu tuduhan zina terhadap isteri serta menafikan nasab anaknya tanpa mendatangkan bayyinah iaitu dengan membawa 4 orang saksi maka akan dikenakan hukuman had Qazaf ke atasnya. Dan perbuatan Qazaf ini adalah haram dan ia merupakan salah satu daripada dosa-dosa besar ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi Muhammad SAW telah bersabda:
اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ قَالَ الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ
Maksudnya: Jauhilah kamu daripada tujuh dosa besar ini (perkara yang membinasakan). Para sahabat bertanya: Apakah ia wahai Rasulullah SAW? Rasulullah SAW bersabda: Syirik kepada Allah SWT, sihir, membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah SWT melainkan dengan kebenaran, memakan riba, memakan harta anak yatim, melarikan diri dari peperangan dan menuduh wanita yang beriman dengan berzina.
(Riwayat Bukhari 6857)
Ulama’ telah bersepakat keatas pengharaman Qazaf dan dikenakan hukuman had Qazaf bagi orang yang melakukan tuduhan tersebut. Namun tidak dikenakan hukuman had Qazaf bagi suami yang melakukan tuduhan zina atau menafikan nasab anak yang dikandung isterinya itu dengan jalan Li’an.
Konsep Li’an Di Dalam Islam
Li’an dari sudut bahasa bermaksud membuang dan menjauhkan. Sementara maksud Li’an di sisi syara’ pula ialah perkataan-perkataan tertentu yang dijadikan hujah oleh suami yang terpaksa menuduh isterinya kerana mencemari rumah tangga dan menyebabkan aib kepada suami.
Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُن لَّهُمْ شُهَدَاءُ إِلَّا أَنفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ ۙ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ ﴿٦﴾ وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ
Maksudnya: Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar (6) Dan sumpah yang kelima (hendaklah ia berkata): Bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya jika ia dari orang-orang yang dusta.
(Surah al-Nur 24:6-7)
Begitu juga hadith, daripada Sahl bin Sa’d RA bahawa:
أَنَّ رَجُلاً مِنَ الأَنْصَارِ جَاءَ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ رَجُلاً وَجَدَ مَعَ امْرَأَتِهِ رَجُلاً، أَيَقْتُلُهُ أَمْ كَيْفَ يَفْعَلُ؟ فَأَنْزَلَ اللَّهُ فِي شَأْنِهِ مَا ذَكَرَ فِي الْقُرْآنِ مِنْ أَمْرِ الْمُتَلاَعِنَيْنِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: قَدْ قَضَى اللَّهُ فِيكَ وَفِي امْرَأَتِكَ. قَالَ: فَتَلاَعَنَا فِي الْمَسْجِدِ وَأَنَا شَاهِدٌ
Maksudnya: Seorang lelaki daripada kaum Ansar telah menemui Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah! Apakah pendapatmu jika seseorang mendapati isterinya bersama-sama lelaki lain? Adakah perlu dibunuh lelaki itu atau bagaimana?” Maka Allah menurunkan ayat al-Quran berkenaan urusan dua orang yang melakukan li’an. Nabi SAW bersabda: “Allah telah menurunkan hukum tentang engkau dan isteri engkau.” Sahl bin Sa’ad berkata: “Lelaki Ansar dan isterinya pun melakukan li’an di dalam masjid dan aku menyaksikannya”.
(Riwayat al-Bukhari 5003)
Fuqaha’ membahagikan sebab bagi Li’an kepada dua perkara
- Melontarkan Qazaf(tuduhan zina) kepada isteri yang mewajibkan had.
- Menafikan anak yang dikandung atau yang sudah dilahirkan.
Sekiranya suami menuduh isterinya berzina tanpa mendatangkan bayyinah (bukti) iaitu dengan membawa 4 orang saksi maka akan dikenakan hukuman had Qazaf ke atasnya. Namun pensyariatan Li’an di dalam Islam akan membatalkan hukuman had Qazaf yang dikenakan ke atas suami kerana membuat pertuduhan zina atau penafian anak tanpa bayyinah(bukti).
Cara seseorang melakukan Li’an adalah seperti berikut:
Bersumpah suami di hadapan hakim dalam khalayak ramai dengan berkata:
أشهد بالله إني لمن الصادقين فيما رميت به زوجتي فلانة من الزنى وأن هذا الولد إن كان لها الولد من الزنى وليس مني
Maksudnya: Aku bersaksi dengan Allah bahawasanya aku daripada orang-orang yang benar dengan tuduhan yang aku lontarkan bahwa isteriku fulanah telah berzina dan anak yang dikandungnya (jika dia mempunyai anak) adalah daripada zina dan bukan daripadaku.
- Bersumpah dengan lafaz yang tersebut sebanyak 4 kali dan pada masa yang sama menunjukkan isyarat tangan kepada isterinya sekiranya dia hadir.
- Kemudian berkata pada kali yang kelima selepas hakim mengingatkan dan memberi amaran sekiranya suami berdusta:
وعلي لعنة الله إن كنت من الكاذبين
Maksudnya: Dan ke atas aku laknat Allah jika aku daripada orang-orang yang berdusta.
Tempoh Penafian Nasab Anak
Syara’ telah menetapkan tempoh bagi seseorang itu untuk menafikan anak yang dikandung atau yang dilahirkan oleh isterinya itu sebagai bukan anaknya. Disebutkan di dalam kitab Minhaj al-Tolibin karangan Imam al-Nawawi:
وَالنَّفْيُ عَلَى الْفَوْرِ فِي الْجَدِيدِ وَيُعْذَرُ لِعُذْرٍ
Maksudnya: Penafian nasab hendaklah dibuat dengan kadar segera menurut qaul(pendapat) jadid(baharu) dan dimaafkan sekiranya mempunyai uzur. (Rujuk kitab Minhaj al-Tolibin wa Umdah al-Muftin hlmn. 251)
Imam al-Khatib al-Syirbini ketika mensyarahkan pernyataan imam al-Nawawi di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menyebut:
وَأَمَّا اللِّعَانُ فَلَهُ تَأْخِيرُهُ (وَيُعْذَرُ) الْمُلَاعِنُ فِي تَأْخِيرِ النَّفْيِ عَلَى قَوْلِ الْفَوْرِ (لِعُذْرٍ) كَأَنْ بَلَغَهُ الْخَبَرُ لَيْلًا فَأَخَّرَ حَتَّى يُصْبِحَ أَوْ كَانَ جَائِعًا فَأَكَلَ أَوْعَارِيًّا فَلَبِسَ، فَإِنْ كَانَ مَحْبُوسًا أَوْ مَرِيضًا أَوْ خَائِفًا ضَيَاعَ مَالٍ أَرْسَلَ إلَى الْقَاضِي لِيَبْعَثَ إلَيْهِ نَائِبًا يُلَاعِنُ عِنْدَهُ أَوْ لِيُعْلِمَهُ أَنَّهُ مُقِيمٌ عَلَى النَّفْيِ، فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ بَطَلَ حَقُّهُ
Maksudnya: Dan adapun li’an maka diterima kelewatan sebagai keuzuran bilamana ia menerima khabar isterinya telah melahirkan anak pada malam hari, lalu ia menangguhkan sehingga pagi hari atau ia menerima khabar itu semasa sedang lapar, lalu ditangguhkan sehingga ia selesai makan, atau ketika tidak berpakaian sehingga ia berpakaian. Sekiranya ia dipenjara, atau sakit atau kerana takut hartanya binasa, maka ia hendaklah menghantar surat kepada hakim supaya dihantar naibnya untuk membolehkan dia berli’an di hadapan naibnya atau memaklumkan kepada hakim bahawa pendiriannya adalah menafikan nasab anak itu. Jika ia tidak menafikan dengan segera maka terbatal haknya untuk menafikannya. (Rujuk kitab Mughni al-Muhtaj jld 5 hlmn 72)
Disebutkan juga di dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh karangan Dr Wahbah al-Zuhaili:
أما الشافعية فأجازوا نفي الولد أثناء الحمل أو بعد الولادة مباشرة ، فإن أخر بلا عذر أو قبل التهنئة بالمولود، سقط حقه في النفي
Maksudnya: Adapun di sisi Mazhab al-Syafie diharuskan menafikan anak ketika bayi masih di dalam kandungan atau sejurus selepas kelahiran sekiranya bapa melewatkannya tanpa ada uzur atau menerima ucapan tahniah di atas kelahiran itu maka gugur hak si suami untuk menafikan nasab tersebut. (Rujuk kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh jld 8, hlmn. 569)
Menurut fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia
- Tempoh segera bagi seseorang bapa yang hendak melakukan li’an bagi menafikan nasab anaknya adalah bermula daripada tarikh isterinya disahkan mengandung sehinggalah tiga (3) hari selepas bersalin. Penafian selepas tempoh munasabah tersebut adalah tertolak dan anak tersebut adalah sah dan sabit sebagai anaknya.
Maka dapat kita fahami daripada kenyataan di atas bahawa penafian nasab anak perlulah dibuat dengan kadar yang segera dan kelewatan hanya akan diterima sekiranya terdapat keuzuran. Sekiranya penafian dilakukan selepas daripada tempoh yang disebutkan maka suami tidak berhak untuk menafikan anak yang dikandung atau yang dilahirkan itu bukan anaknya.
Bagi menjawab persoalan yang diajukan berkaitan penasaban anak perempuan kepada ayahnya maka kita lihat adakah bapanya itu membuat pertuduhan serta mengangkat sumpah di hadapan hakim dalam tempoh yang telah ditetapkan oleh syarak. Sekiranya bapa tidak melakukan sedemikian maka anak perempuan itu sabit nasab kepadanya
Di sini kami titipkan nasihat buat anak perempuan tersebut untuk memohon keampunan kepada Allah SWT agar dosa pertuduhan yang dibuat oleh ayahnya itu diampunkan oleh Allah SWT. Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya).
(Surah al-Nisa’ 4:48)
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ: إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: Apabila matinya seseorang insan itu, maka akan terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh sentiasa mendoakan kedua ibu bapanya.
(Riwayat Muslim 1631)
Kesimpulan
Suami yang mahu menafikan nasab anaknya perlulah melakukannya di hadapan hakim serta dalam waktu yang telah ditetapkan, sekiranya tidak dilakukan dengan sedemikian atau dilakukan selepas daripada tempoh yang ditetapkan maka suami tiada hak menafikan nasab anaknya dan anak itu sabit nasab kepadanya.
Jadi bagi menjawab persoalan yang diajukan berdasarkan situasi yang diberikan, kami rumuskan seperti berikut:
- Penafian yang tidak dilakukan di hadapan hakim atau dalam tempoh yang ditetapkan adalah tidak sah.
- Anak perempuan yang dilahirkan itu adalah anak sah taraf dan penasabannya kepada bapanya.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.
Wallahu’aklam
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment