Saya ada kemusykilan berhubung dengan Majlis Bacaan Yasin dan solat hajat yang dijalankan di dalam sebuah bilik pejabat seorang Ketua Pegawai Eksekutif bukan islam di atas permintaan beliau. Saya dijemput untuk turut serta dan berasa tidak selasa memandangkan terdapat patung berhala bersaiz kecil di pejabat beliau. Soalan saya, adakah majlis bacaan Yasin dan juga solat boleh dilakukan di dalam bilik pejabat seorang bukan Islam?
Penjelasan
Membaca Surah Yasin atau solat hajat dalam bilik non-muslim yang mempunyai patung sembahan dengan tujuan dakwah atau ruqyah adalah harus dan dibenarkan dengan syarat patung-patung sembahan tersebut perlu dialihkan atau ditutupi dengan sesuatu bagi menjaga sensitiviti umat Islam. Selain itu, non-muslim tersebut mestilah mendengar bacaan al-Quran dengan baik serta menjaga adab yang telah digariskan oleh syarak.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.
Adab Membaca Al-Quran
Membaca ayat-ayat suci al-Quran mempunyai tatacara yang wajib diikuti bagi setiap Muslim. Hal ini kerana membaca al-Quran merupakan suatu bentuk ibadah kepada Allah SWT. Oleh itu, membaca al-Quran dalam keadaan dan cara yang paling baik merupakan salah satu cara kita mengagungkan syiar agama Allah SWT, serta menunjukkan bukti ketakwaan kita kepada-Nya sebagaimana firman Allah SWT:
وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ
Maksudnya: “Barang siapa yang mengagungkan syiar Allah, maka itu termasuk (bukti) ketakwaan dalam hatinya”
[Surah Al-Hajj 22:32]
Menurut Imam al-Nawawi, antara adab-adab yang perlu dilakukan ketika membaca al-Quran:
- Bersiwak atau memberus gigi sebelum membaca al-Quran.
- Membersihkan diri atau berwuduk sebelum membaca al-Quran.
- Menghadap kiblat ketika membaca al-Quran.
- Memulakan bacaan dengan isti’azah (أعوذ بالله من الشيطان الرجيم).
- Menghayati dan mentadabur bacaan al-Quran.
- Membaca al-Quran secara tartil dan bertajwid.
- Membaca al-Quran di tempat yang bersih dan paling utama adalah masjid.
[Rujuk al-Tibyan fi Adab Hamlat al-Quran, hlm. 72]
Hukum Solat Dalam Gereja atau Tempat Yang Mempunyai Patung Sembahan
Persoalan yang diajukan boleh dikaitkan dengan hukum masuk dan bersolat dalam gereja. Oleh itu, terlebih dahulu kami ingin menyatakan pandangan berkenaan perkara tersebut.
Terdapat dua pendapat berkenaan hukum solat dalam gereja:
Pendapat Pertama: Harus Secara Mutlak
Ini merupakan pendirian Ibn Qudamah dan Ibn Hazm. Ibn Qudamah mengatakan bahawa keharusan tersebut berdasarkan kepada kisah Nabi SAW yang pernah melakukan solat dalam Ka’bah yang dikelilingi dengan patung berhala. [Rujuk al-Mughni, jld. 2 hlm. 57]
Manakala Ibn Hazm [dalam al-Muhalla, jld. 3 hlm. 100] menyatakan tentang keharusan ini berdasarkan kepada sebuah hadis Nabi SAW:
وَجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا
Maksudnya: “Telah dijadikan dunia ini tempat untuk bersujud dan menyucikan diri.”
[Sahih Bukhari 438]
Selain itu, al-Sya’bi al-Hasan al-Basri, Ibn Sirin, ‘Ata bin Abi Rabah dan al-Awzai’e memandang solat dalam gereja adalah dibolehkan. Hal ini berdasarkan mereka melihat Umar bin Abd al-’Aziz dan Abu Musa al-Ash’ari yang pernah melakukan solat dalam gereja. [Rujuk Nail al-Awtar, jld. 3 hlm. 520]
Pendapat Kedua: Makruh jika terdapat patung sembahan.
Pandangan ini diutarakan oleh Ibn Abbas RA yang menyatakan makruh untuk solat dalam gereja yang terdapat dalamnya patung sembahan. Perkara ini boleh dilihat menerusi sebuah riwayat:
أَنَّهُ كَرِهَ الصَّلَاةَ فِي الْكَنِيسَةِ إِذَا كَانَ فِيهَا تَصَاوِيرُ
Maksudnya: “Beliau tidak menyukai solat di dalam gereja sekiranya terdapat patung berhala di dalamnya.”
[Musannaf Ibn Abi Shaybah 4867]
Pendapat Ketiga: Makruh secara mutlak.
Ini merupakan jumhur ulama daripada mazhab Hanafi, Shafi’i dan Maliki. Hal ini disebabkan kebanyakan gereja mempunyai patung sembahan dan merupakan tempat yang menjauhkan manusia daripada menyembah Allah SWT serta menjadi sarang bagi golongan syaitan. [Rujuk Fath al-’Alam fi Dirasat Ahadith Bulugh al-Maram, jld. 2 hlm. 201]
Menurut al-Nawawi, solat dalam gereja dan di pasar adalah makruh. Selain itu, beliau turut menyebutkan sifat makruh tersebut disebabkan oleh tempat-tempat berkaitan gereja, pasar dan tandas merupakan sarang bagi golongan syaitan. [Rujuk al-Majmuk, jld. 3 hlm. 158-159]
Hukum Membacakan Ayat al-Quran dan Solat Hajat Dalam Bilik yang Mempunyai Patung Sembahan
Bagi menjawab kepada persoalan yang diajukan, kami menyatakan bahawa membacakan atau memperdengarkan ayat-ayat al-Quran kepada Non-Muslim mempunyai beberapa hukum. Hukum ini dibina berdasarkan kepada konteks dan tujuan perbuatan tersebut dilakukan. Kami simpulkan seperti di bawah:
1. Perubatan: Sekiranya pembacaan tersebut bertujuan merawat atau melakukan ruqyah kepada pesakit Non-Muslim maka ia adalah harus dan dibenarkan.
Hal ini berdasarkan kepada sebuah riwayat Abu Sa’id al-Khudri RA berkenaan beberapa sahabat Nabi SAW yang keluar bermusafir lalu ingin bermalam di sebuah perkampungan Arab tetapi permintaan mereka ditolak sehinggalah berlaku musibah patukan binatang berbisa ke atas ketua kampung mereka. Lalu, orang kampung tersebut bergegas mendapatkan para sahabat Nabi SAW tersebut dan meminta pertolongan untuk menyembuhkan ketua kampung mereka namun para sahabat enggan melakukannya melainkan akan diberikan upah.
Kemudian salah seorang dari sahabat membacakan ruqyah iaitu Surah al-Fatihah dan dengan izin Allah SWT sembuhlah ketua kampung itu. Setelah pulang mereka bertemu Nabi SAW dan menceritakan kisah tersebut kepada baginda. Lalu baginda Nabi SAW bersabda:
وَمَا يُدْرِيكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ أَصَبْتُمُ
Maksudnya: “Tahukah kamu itu adalah ruqyah! Sesungguhnya perbuatan kamu itu adalah benar”.
[Sahih al-Bukhari 5749]
2. Dakwah: Sekiranya pembacaan tersebut atas tujuan menyebarkan dakwah atau memperkenalkan atau mempromosikan agama Islam atau bagi mendekatkan hubungan antara Muslim dan Non-Muslim, maka ia adalah harus dan dibenarkan. Selain itu, al-Quran diturunkan untuk semua manusia bagi mengeluarkan manusia daripada kesesatan. Firman Allah SWT:
الٓر ۚ كِتَـٰبٌ أَنزَلْنَـٰهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ ٱلنَّاسَ مِنَ ٱلظُّلُمَـٰتِ إِلَى ٱلنُّورِ بِإِذْنِ رَبِّهِمْ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَمِيدِ
Maksudnya: “Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.”
[Surah Ibrahim 14:1]
3. Istihza bi al-din (Mempersendakan agama Islam): Sekiranya pembacaan tersebut mempunyai elemen atau tujuan mempersendakan agama Islam maka hukumnya adalah haram dan dilarang. Sebagai contoh, pembacaan yang dilakukan oleh orang Islam di perayaan keagamaan Non-Muslim atau membaca bagi meminta keberkatan atas pekerjaan yang bercanggahan dengan hukum syarak.
Oleh itu, orang Non-Muslim dibenarkan mendengar ayat-ayat al-Quran tetapi mestilah mematuhi adab-adab mendengar al-Quran yang telah digariskan oleh syarak. Bahkan umat Islam diperintahkan oleh Allah SWT untuk menjaga keamanan Non-Muslim yang ingin mengetahui dan memahami ayat-ayat al-Quran. Firman Allah SWT:
وَإِنْ أَحَدٌۭ مِّنَ ٱلْمُشْرِكِينَ ٱسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّىٰ يَسْمَعَ كَلَـٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُۥ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌۭ لَّا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang ia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).”
[Surah al-Taubah 9:6]
Selain itu, membaca al-Quran dalam rumah yang mempunyai patung tidak akan membawa kepada keberkatan. Hal ini disebabkan malaikat rahmat tidak akan sesekali memasuki rumah atau kediaman yang mempunyai patung atau anjing belaan. Hal ini berdasarkan hadis daripada Nabi SAW:
لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.”
[Sahih al-Bukhari 3225]
Di samping itu, Sayidina Umar bin al-Khattab RA pernah melarang umat Islam daripada memasuki gereja yang mempunyai patung sembahan kerana ia akan mendatangkan kemurkaan Allah SWT. Kata Sayidina Umar RA:
ولا تَدخُلوا على المُشرِكينَ فى كَنائسِهِم يَومَ عيدِهِم، فإِنَّ السَّخطَةَ تَنزِلُ عَلَيهِم
Maksudnya: “Janganlah kalian memasuki gereja-gereja kaum Musyrikin ketika hari perayaan mereka kerana kemurkaan Allah SWT sedang turun ke atas mereka!”
[Sunan al-Bayhaqi 18893]
Bahkan Nabi SAW juga enggan memasuki ke dalam Ka’bah yang dipenuhi patung-patung sembahan kaum Musyrikin sehinggalah dibersihkan keseluruhannya. Hal ini berdasarkan riwayat Jabir:
أن النبيَّ صلى الله عليه وسلم أمَرَ عُمَرَ بنَ الخطاب زمنَ الفتحِ وهو بالبَطْحاء أتى يَأتيَ الكَعبةَ فيَمحُو كُلَّ صُورَةٍ فيها، فلم يَدْخُلْها النبيُّ صلى الله عليه وسلم حتى مُحِيَتْ كُلُّ صُورةٍ فيها.
Maksudnya: “Nabi SAW pernah menyuruh Umar bin al-Khattab RA (berada di Batha’) pada zaman pembukaan Kota Mekah untuk membersihkan kesemua patung-patung sembahan yang berada di dalam Ka’bah. Bahkan, Nabi SAW enggan masuk ke dalam Ka’bah sehinggalah dibersihkan kesemuanya.”
[Sunan Abi Dawud 4156]
Ini menunjukkan sekiranya terdapat ibadah yang ingin dilakukan oleh orang Islam dalam kawasan (bukan rumah ibadat) yang mempunyai patung sembahan maka ia perlu dialihkan terlebih dahulu.
Kesimpulan
Berdasarkan kenyataan di atas, kami simpulkan dengan pandangan seperti di bawah:
- Makruh membaca ayat al-Quran dan solat hajat dalam bilik yang mempunyai patung sembahan. Sekiranya dialihkan maka hukumnya harus.
- Memperdengarkan bacaan al-Quran kepada Non-Muslim mestilah atas tujuan dakwah atau ruqyah sahaja.
- Memohon keberkatan dengan bacaan al-Quran untuk upacara yang bercanggahan dengan syariat Islam adalah haram dan dilarang.
- Non-Muslim mestilah mengikut adab dan tatacara mendengar al-Quran yang telah digariskan oleh syarak.
Sehubungan dengan itu, membaca surah Yasin atau solat hajat dalam bilik Non-Muslim dengan tujuan dakwah atau ruqyah adalah harus dan dibenarkan dengan syarat patung sembahan tersebut perlu dialihkan atau ditutupi dengan sesuatu bagi menjaga sensitiviti umat Islam dan memelihara kehormatan agama Islam.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.
Wallahu’alam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment