Bisikan Hati, Adakah Ia Daripada Syaitan? 

Soalan

Apa beza bisikan Allah dan bisikan syaitan? Sekarang ini semua perbualan saya hati yang control, saya tak boleh berfikir dan membuat keputusan. Jika saya tidak mengikut apa yang hati saya kata, saya akan kena attack. Bukan itu sahaja, jika nak diceritakan terlalu banyak yang pelik pada diri saya. Tetapi doktor kata saya tidak gila. Saya memang berada di bawah pengawasan doktor psikologi dan saya sedang mencari siapa diri saya. Adakah yang berkata dlm hati saya itu syaitan? Dia menyuruh saya kongsi ilmu, mengaji, bangun tahajjud, puasa, kurang bercakap, mengajak org berbuat baik, adakah dia syaitan? Mohon pencerahan.

Penjelasan

Lintasan hati seseorang yang mendorongnya melakukan kebaikan merupakan lintasan yang baik daripada Allah SWT dan Malaikat. Ukuran baik atau buruk adalah berdasarkan salah satu daripada tiga perkara iaitu syariat atau amalan orang-orang yang soleh atau bertentangan dengan hawa nafsu. 

Sekiranya lintasan tersebut menepati syariat dan amalan orang-orang soleh dan bertentangan dengan hawa nafsu maka ia adalah lintasan hati yang baik daripada Allah SWT dan Malaikat. 

Namun sekiranya ia bercanggah dengan salah satu daripada tiga prinsip di atas maka ianya adalah lintasan hati yang buruk yang perlu dijauhi. Selain itu, seseorang harus sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan ibadah, zikir dan doa agar sentiasa mendapat panduan dan tidak terus hanyut dengan bisikan-bisikan yang didatangkan.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Lintasan adalah suatu cetusan dan kata hati yang berlaku kepada manusia setiap hari tidak kira waktu dan keadaan. Sering juga lintasan-lintasan ini menjadi dorongan untuk terpengaruh melakukan perkara-perkara yang negatif, maksiat dan dosa. Ada ketika pula lintasan-lintasan ini adalah berbentuk nasihat-nasihat dan motivasi untuk melakukan perkara yang baik, positif dan kebajikan. Lintasan hati ada kalanya daripada Allah SWT, ada kalanya daripada malaikat, ada kalanya daripada hawa nafsu dan juga syaitan.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِلشَّيْطَانِ لَمَّةً بِابْنِ آدَمَ وَلِلْمَلَكِ لَمَّةً فَأَمَّا لَمَّةُ الشَّيْطَانِ فَإِيعَادٌ بِالشَّرِّ وَتَكْذِيبٌ بِالحَقِّ ، وَأَمَّا لَمَّةُ الْمَلَكِ فَإِيعَادٌ بِالخَيْرِ وَتَصْدِيقٌ بِالحَقِّ ، فَمَنْ وَجَدَ ذَلِكَ فَلْيَعْلَمْ أَنَّهُ مِنَ اللهِ فَلْيَحْمَدِ اللَّهَ وَمَنْ وَجَدَ الأُخْرَى فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ ، ثُمَّ قَرَأَ {الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الفَقْرَ وَيَأْمُرُكُمْ بِالفَحْشَاءِ} الآيَةَ.

Maksudnya: “Sesungguhnya syaitan memiliki bisikan pada manusia, dan malaikat juga memiliki bisikan. Bisikan syaitan menjanjikan keburukan dan mendustakan kebenaran. Sedangkan bisikan malaikat menjanjikan kebaikan dan mempercayai kebenaran. Barang siapa mendapatkannya, maka ketahuilah bahawa itu daripada Allah SWT, justeru hendaklah dia memuji Allah. Dan barang siapa mendapatkan yang lain, maka hendaklah dia berlindung kepada Allah SWT daripada syaitan yang dilaknat.”

Kemudian Nabi SAW membaca ayat:

الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِالْفَحْشَاءِ

Maksudnya: Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut)  

(Surah al-Baqarah 2: 268)

(Riwayat al-Tirmizi, No.3256)

Iblis, Syaitan dan tenteranya merupakan makhluk Allah SWT yang ditugaskan untuk menyesatkan manusia daripada jalan kebenaran dan memesongkan mereka ke jalan yang dimurkai oleh Allah SWT. Hal ini jelas melalui janjinya seperti yang dirakam oleh Allah SWT:

قَالَ رَبِّ بِمَآ أَغْوَيْتَنِى لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: “Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya”.”      

(Surah Al-Hijr 15:39)

Allah SWT berfirman:

ثُمَّ لَأٓتِيَنَّهُم مِّنۢ بَيۡنِ أَيۡدِيهِمۡ وَمِنۡ خَلۡفِهِمۡ وَعَنۡ أَيۡمَٰنِهِمۡ وَعَن شَمَآئِلِهِمۡۖ وَلَا تَجِدُ أَكۡثَرَهُمۡ شَٰكِرِينَ

Maksudnya: “Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”

(Surah Al-A’raf 7:17)

Usaha syaitan untuk menguasai manusia telah bermula sejak ia dilahirkan. Justeru, disunatkan bagi mereka yang menimang cahaya mata untuk melaungkan azan pada telinga bayi pada saat dia dilahirkan demi mengusir kehadiran syaitan ketika bayi dilahirkan.

Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

كُلُّ بَنِي آدَمَ يَطْعُنُ الشَّيْطَانُ فِي جَنْبَيْهِ بِإِصْبَعِهِ حِينَ يُولَدُ، غَيْرَ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ، ذَهَبَ يَطْعُنُ فَطَعَنَ فِي الحِجَابِ

Maksudnya: Setiap anak adam akan ditusuk dua rusuknya oleh jari syaitan saat dia dilahirkan kecuali Isa anak Maryam AS. Syaitan hendak menusuknya, namun dia menusuk di sebalik hijab”.

(Sahih al-Bukhari, 3286)

Pelbagai kaedah yang digunakan oleh syaitan dalam usaha menyesatkan manusia agar sentiasa menjauhi perintah Allah SWT termasuklah melalui bisikan dan lintasan hati. Sebagai manusia yang berpotensi terjerumus dalam perangkap syaitan tanpa disedari, kita harus mengetahui langkah-langkah yang dilakukan Syaitan dalam merealisasikan tujuannya.

Pembahagian Lintasan Hati Dan Cara Membezakannya

Menurut imam Ghazali, bisikan ialah sesuatu lintasan yang wujud di dalam hati seseorang yang mendorongnya untuk melakukan atau meninggalkan sesuatu. Lintasan hati sememangnya berasal daripada Allah SWT kerana Allah SWT adalah pencipta segala sesuatu. 

Namun secara praktiknya ia terbahagi kepada empat bahagian:

  • Lintasan yang pertama kali wujud dalam hati dinamakan خاطر/
  • Lintasan yang kemudiannya bersesuaian dengan tabiat manusia dinamakan نفس/ Nafs.
  • Lintasan yang sudah diperdaya oleh syaitan dinamakan وسواس/ Waswas.
  • Lintasan baik daripada Allah SWT dinamakan إلهام/ Ilham.

Imam Ghazali menerangkan tiga cara membezakan antara lintasan hati yang baik atau yang buruk dengan katanya:

أن تعرضه على الشرع فإن وافق جنسه فهو خير وإن كان بالضد إما برخصة أو بشبهة فهو شر

Maksudnya: “Lintasan hati itu perlu kamu ukur dengan syariat, sekiranya ia menepati bentuk syariat maka ia adalah lintasan hati yang baik dan sekiranya lintasan hati tersebut sebaliknya sama ada ke arah mengambil keringanan atau ke arah perkara yang meragukan maka ia adalah lintasan keburukan”.

فإن لم يبين لك بهذا الميزان فاعرضه على الاقتداء بالصالحين فإن كان فيه اقتداؤهم فهو خير وإلا فهو شر

Maksudnya: “Sekiranya masih tidak jelas bagimu dengan cara di atas, maka jadikanlah ukurannya ikutan para shalihin, sekiranya lintasan hati tersebut menepati amalan para shalihin maka ia adalah lintasan yang baik dan jika tidak maka lintasan tersebut adalah buruk”.

وإن لم يبين لك بهذا الميزان فاعرضه على النفس والهوى فإن كان مما تنفرعنه النفس نفرة طبع فهو خير وإن كان مما تميل إليه النفس ميل طبع فهو شر

Maksudnya: “Sekiranya masih tidak jelas bagimu dengan cara di atas, maka jadikanlah keinginan dan nafsumu sebagai pengukur, andainya lintasan tersebut tidak disukai oleh nafsu secara semula jadi maka lintasan tersebut dikategorikan baik namun jika lintasan tersebut digemari oleh nafsu secara semula jadi maka ia adalah lintasan yang buruk”.

(Rujuk Raudhatut Talibin Wa Umdatus Salikin, Hlm 117)

Cara Mengatasi Bisikan Hati Yang Tidak Baik

Berdoa dan berlindung dengan Allah SWT.

Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَأْتِى الشَّيْطَانُ أَحَدَكُمْ فَيَقُولُ مَنْ خَلَقَ كَذَا وَكَذَا حَتَّى يَقُولَ لَهُ مَنْ خَلَقَ رَبَّكَ فَإِذَا بَلَغَ ذَلِكَ فَلْيَسْتَعِذْ بِاللَّهِ وَلْيَنْتَهِ

Maksudnya: “Syaitan mendatangi salah seorang dari kalian lalu bertanya: “Siapakah yang menciptakan ini? Siapakah yang menciptakan itu?” Sehingga dia bertanya: “Siapakah yang menciptakan Rabb-mu. Oleh kerana itu, jika telah sampai kepada hal yang tersebut maka hendaklah dia berlindung kepada Allah SWT dan hendaklah dia menghentikan (memikirkan hal-hal yang meragukannya).

(Sahih Muslim, No.362)

Mendalami ilmu agama

Penekanan kepada ilmu syariat juga penting kerana ianya adalah tunjang dan merupakan perisai yang terbaik dalam menilai sesuatu perkara.

Sentiasa melazimkan diri dengan zikir kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan.

Berzikir amat penting dalam kehidupan seseorang Muslim kerana amalan tersebut dapat melawan segala bisikan syaitan yang datang dalam diri mereka. Dengan melazimi zikir, ianya dapat menjadi benteng dan melindungi kita di dalam melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ اتَّقَوْا إِذَا مَسَّهُمْ طَائِفٌ مِنَ الشَّيْطَانِ تَذَكَّرُوا فَإِذَا هُمْ مُبْصِرُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa apabila mereka ditimpa gangguan dari syaitan, mereka ingat kepada Allah maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya”.

(Surah al-A’raf 7:201)

Sentiasa fokus dalam setiap amalan harian

Sebagai umat Islam, kita seharusnya fokus dalam setiap aktiviti yang dilakukan seharian. Ini kerana fokus dan tumpuan yang jitu dapat mengelakkan fikiran kita daripada bercelaru seterusnya membawa kepada was-was dan gangguan syaitan

Daripada Hasan bin Ali R.A, Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu dengan memilih sesuatu yang tidak meragukan. Sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan”.

(Riwayat al-Tirmizi 2708)

Ibn Hajar al-Haitami ketika ditanya berkaitan rawatan menghilangkan lintasan keraguan di dalam diri berkata:

لَهُ دَواءٌ نافِعٌ وهُوَ الإعْراضُ عَنْها جُمْلَةً كافِيَةً. وإنْ كانَ فِي النَّفْسِ مِن التَّرَدُّدِ ما كانَ – فَإنَّهُ مَتى لَمْ يَلْتَفِتْ لِذَلِكَ لَمْ يَثْبُتْ بَلْ يَذْهَبُ بَعْدَ زَمَنٍ قَلِيلٍ كَما جَرَّبَ ذَلِكَ المُوَفَّقُونَ، وأمّا مَن أصْغى إلَيْها وعَمِلَ بِقَضِيَّتِها فَإنَّها لا تَزالُ تَزْدادُ بِهِ حَتّى تُخْرِجَهُ إلى حَيِّزِ المَجانِينِ بَلْ وأقْبَحَ مِنهُمْ، كَما شاهَدْناهُ فِي كَثِيرِينَ مِمَّنْ اُبْتُلُوا بِها وأصْغَوْا إلَيْها وإلى شَيْطانِها الَّذِي جاءَ التَّنْبِيهُ عَلَيْهِ مِنهُ – ﷺ – بِقَوْلِهِ: «اتَّقُوا وسْواسَ الماءِ الَّذِي يُقالُ لَهُ الوَلْهانُ» أيْ: لِما فِيهِ مِن شِدَّةِ اللَّهْوِ والمُبالَغَةِ فِيهِ كَما بَيَّنْت ذَلِكَ وما يَتَعَلَّقُ بِهِ فِي شَرْحِ مِشْكاةِ الأنْوارِ، وجاءَ فِي الصَّحِيحَيْنِ ما يُؤَيِّدُ ما ذَكَرْته وهُوَ أنَّ مَن اُبْتُلِيَ بِالوَسْوَسَةِ فَلْيَعْتَقِدْ بِاَللَّهِ ولْيَنْتَهِ. فَتَأمَّلْ هَذا الدَّواءَ النّافِعَ الَّذِي عَلَّمَهُ مَن لا يَنْطِقُ عَنْ الهَوى لِأُمَّتِهِ. واعْلَمْ أنَّ مَن حُرِمَهُ فَقَدْ حُرِمَ الخَيْرَ كُلَّهُ؛ لِأنَّ الوَسْوَسَةَ مِن الشَّيْطانِ اتِّفاقًا، واللَّعِينُ لا غايَةَ لِمُرادِهِ إلّا إيقاعُ المُؤْمِنِ فِي وهْدَةِ الضَّلالِ والحَيْرَةِ ونَكَدِ العَيْشِ وظُلْمَةِ النَّفْسِ وضَجَرِها إلى أنْ يُخْرِجَهُ مِن الإسْلامِ. وهُوَ لا يَشْعُرُ أنَّ الشَّيْطانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فاِتَّخِذُوهُ عَدُوًّا. وجاءَ فِي طَرِيقٍ آخَرَ فِيمَن اُبْتُلِيَ بِالوَسْوَسَةِ فَلْيَقُلْ: آمَنت بِاَللَّهِ وبِرُسُلِهِ. ولا شَكَّ أنَّ مَن اسْتَحْضَرَ طَرائِقَ رُسُلِ اللَّهِ سِيَّما نَبِيُّنا – ﷺ – وجَدَ طَرِيقَتَهُ وشَرِيعَتَهُ سَهْلَةً واضِحَةً بَيْضاءَ بَيِّنَةً سَهْلَةً لا حَرَجَ فِيها وما جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِن حَرَجٍ، ومَن تَأمَّلَ ذَلِكَ وآمَنَ بِهِ حَقَّ إيمانِهِ ذَهَبَ عَنْهُ داءُ الوَسْوَسَةِ والإصْغاءِ إلى شَيْطانِها. وفِي كِتابِ ابْنِ السُّنِّيِّ مِن طَرِيقِ عائِشَةَ: «مَن بُلِيَ بِهَذا الوَسْواسِ فَلْيَقُلْ: آمَنّا بِاَللَّهِ وبِرُسُلِهِ ثَلاثًا، فَإنَّ ذَلِكَ يُذْهِبُهُ عَنْهُ» وذَكَرَ العِزُّ بْنُ عَبْدِ السَّلامِ وغَيْرُهُ نَحْوَ ما قَدَّمْته فَقالُوا: دَواءُ الوَسْوَسَةِ أنْ يَعْتَقِدَ أنَّ ذَلِكَ خاطِرٌ شَيْطانِيٌّ، وأنَّ إبْلِيسَ هُوَ الَّذِي أوْرَدَهُ عَلَيْهِ وأنَّهُ يُقاتِلُهُ، فَيَكُونُ لَهُ ثَوابُ المُجاهِدِ؛ لِأنَّهُ يُحارِبُ عَدُوَّ اللَّهِ، فَإذا اسْتَشْعَرَ ذَلِكَ فَرَّ عَنْهُ

Maksudnya: “Terdapat ubat yang bermanfaat bagi menghadapi lintasan keraguan (di dalam hati), iaitu bersungguh-sungguh berpaling daripadanya (sebaik sahaja dia datang), sekalipun di dalam dirinya masih ada saki-baki lintasan itu, jika dia tidak mempedulikan lintasan itu, ia tidak akan dapat menetap di dalam diri, bahkan pasti ia akan hilang dalam masa yang singkat sepertimana yang dialami oleh orang-orang yang diberi taufiq. Adapun sesiapa yang melayan lintasan itu dan menurutnya, ia akan terus bertambah kuat dan akan menjadikannya tergolong dalam kumpulan orang-orang gila, bahkan lebih buruk dari mereka. Hal ini sepertimana yang kami saksikan berlaku kepada ramai daripada kalangan mereka yang diuji dengan lintasan keraguan, kemudian melayan dan menurut bisikan syaitan itu yang telah diperingatkan oleh Nabi SAW dengan sabda baginda: “Jagalah diri kamu dari waswas al-Ma’ (وسْواسَ الماءِ) yang disebut al-Walhan (الولهان)” iaitulah disebabkan padanya terdapat perkara yang bersangatan sia-sia seperti yang telah daku jelaskan dalam Syarh Misykah al-Anwar.

Terdapat di dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim penguat akan apa yang aku nyatakan ini, bahawa sesiapa yang diuji dengan waswas, maka hendaklah dia membetulkan iktikadnya dengan Allah dan berhenti dari melayan lintasan keraguan tersebut. Oleh itu ambillah perhatian terhadap ubat yang bermanfaat ini, yang telah diajar oleh insan yang tidak berkata-kata dengan hawa nafsunya (SAW). Ketahuilah bahawa sesiapa yang terhalang dari mengikuti panduan baginda, orang itu telah terhalang dari seluruh kebaikan. Ini kerana lintasan waswas adalah pasti dari syaitan. Syaitan yang dilaknat tiada tujuan lain melainkan untuk menjadikan seorang yang beriman terjebak ke dalam lembah kesesatan, ke dalam keraguan, kesempitan hidup, kegelapan dan kegelisahan jiwa, sehingga mengeluarkannya dari agama Islam. Orang itu tidak sedar bahawa syaitan adalah musuhnya, maka jadikan syaitan itu musuh (dengan tidak menurutinya). Di dalam hadis lain berkaitan orang yang diuji dengan bisikan waswas, hendaklah mengucapkan:  آمَنت بِاَللَّهِ وبِرُسُلِهِ “Daku beriman kepada Allah dan kepada semua rasul utusan-Nya.”

Tidak diragukan lagi bahawa, sesiapa yang mengikuti jalan para rasul Allah terutamanya nabi kita SAW, pasti akan mendapati jalan baginda dan syariat yang dibawa baginda adalah jelas, terang dan mudah. Tiada kepayahan di dalamnya, (firman Allah SWT) “dan tidaklah Dia menjadikan untuk kamu semua sesuatu kepayahan di dalam agama.” Sesiapa yang memerhatikan perkara ini dan benar-benar beriman dengannya, penyakit waswas dan condong kepada bisikan syaitan itu akan hilang darinya.

Di dalam kitab Ibn al-Sunniy daripada riwayat ‘Aisyah RA dinyatakan: “Sesiapa yang diuji dengan bisikan waswas ini, hendaklah mengucapkan: “ آمَنّا بِاَللَّهِ وبِرُسُلِهِ” (kami telah beriman kepada Allah dan kepada semua para rasul-Nya) tiga kali. Perkara ini akan menghilangkan bisikan waswas tersebut daripadanya.” Al-“izz bin ‘Abd al-Salam dan selain beliau ada menyebut perkara yang sama dengan apa yang telah daku sebutkan ini. Mereka berkata: “Ubat kepada waswas ialah dengan berkeyakinan bahawa waswas tersebut adalah daripada syaitan. Iblislah yang telah mendatangkan lintasan tersebut. Maka sesiapa yang mengalaminya hendaklah memerangi Iblis dan dia berhak mendapat pahala seorang mujahid kerana melawan (bisikan waswas) Iblis yang merupakan musuh Allah. Apabila seseorang itu merasai perkara ini, pasti iblis dan syaitan akan lari daripadanya…”

(Rujuk al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, Jld.1, Hlm.149-150)

Kesimpulan

  1. Lintasan hati seseorang yang mendorongnya melakukan kebaikan merupakan lintasan yang baik daripada Allah SWT dan para malaikat. Ukuran baik atau buruk adalah berdasarkan salah satu daripada tiga perkara iaitu syariat atau amalan orang-orang yang soleh atau bertentangan dengan hawa nafsu.
  2. Sekiranya lintasan tersebut menepati syariat dan amalan orang-orang yang soleh dan bertentangan dengan hawa nafsu maka ia adalah lintasan hati yang baik daripada Allah SWT dan malaikat.
  3. Sekiranya ia bercanggah dengan salah satu daripada tiga prinsip di atas maka ianya adalah lintasan hati yang buruk yang perlu dijauhi.
  4. Bisikan seperti yang ditanyakan oleh penanya yang mengajak untuk berkongsi ilmu, bangun tahajud, puasa, kurang bercakap dan mengajak orang ke arah kebaikan adalah  termasuk daripada ilham yang baik, namun perlulah mengikhlaskan hati  dalam melaksanakannya kerana dikhuatiri terjebak ke lembah talbis iblis yang mendorong kepada melakukannya atas tujuan selain keredaan Allah SWT.
  5. Seseorang harus sentiasa mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan ibadah, zikir dan doa agar sentiasa mendapat panduan dan tidak terus hanyut dengan bisikan dan lintasan hati yang buruk.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahua’lam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑