Hukum Menggunakan Air Kolah Masjid Untuk Tujuan Perubatan 

Soalan

Ada sesetengah pengamal perubatan Islam dan traditional meminta pesakit menyediakan air kolah masjid sebagai salah satu daripada bahan dan kaedah pengubatan. Apakah hukum mengambil air kolah masjid bagi tujuan tersebut?

Penjelasan

Hukum menggunakan air kolah masjid untuk tujuan perubatan adalah dibolehkan melainkan terdapat larangan yang jelas seperti tulisan atau adat setempat yang melarangnya. Hal ini adalah kerana adat setempat pada kebiasaannya membenarkan penggunaan air yang sedikit seperti untuk tujuan perubatan atau kegunaan peribadi.

Selain itu, kami juga menyarankan bagi mereka yang menggunakan air kolah masjid untuk tujuan perubatan agar menyumbang sedikit wang ringgit ke dalam tabung masjid sebagai imbalan daripada penggunaan tersebut.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Hukum Penggunaan Air Masjid Untuk Perubatan

Hukum asal menggunakan air yang disediakan untuk sesuatu tujuan tertentu di masjid bagi kegunaan peribadi selain daripada tujuan asalnya adalah haram.

Hal ini pernah ditanya kepada al-Imam Ibn Hajar al-Haitami RH:

عن الماء المتصدق به للطهور في المساجد، هل يجوز لأحد نقله إلى خلوته وادخاره فيها للطهر به، مع منع الناس منه والحاجة إليه في المسجد، وهل يجوز مع عدم ذلك أو لا؟ فأجاب: بأن من تصدق بماء أو وقف ما يحصل منه الطهور بمسجد كذا لم يجز نقله منه لطهارة ولا لغيرها، مُنع الناس منه أو لا؛ لأن الماء المسبَّل يحرم نقله عنه إلى محل آخر لا ينسب إليه، كالخلوة المذكورة في السؤال

Maksudnya: “Berkenaan dengan air yang disedekahkan untuk tujuan bersuci di masjid, adakah dibenarkan seseorang membawanya ke tempat persendirian dan menyimpannya untuk bersuci, sambil menghalang orang lain daripada menggunakannya dan dalam keadaan masjid memerlukannya? Adakah dibenarkan berbuat demikian sekiranya tiada keperluan di masjid? 

Maka jawabnya: Sesiapa yang menyedekahkan air atau mewakafkan sesuatu yang diperoleh daripadanya untuk bersuci di masjid tertentu, tidak dibenarkan memindahkannya dari masjid tersebut sama ada untuk bersuci atau tujuan lain, sama ada orang ramai dihalang menggunakannya atau tidak. Ini kerana air yang telah disediakan secara umum (untuk manfaat ramai) haram dipindahkan ke tempat lain yang tidak mempunyai kaitan dengannya, seperti tempat persendirian yang disebut dalam soalan.”

(Rujuk Fatawa fiqhiyyah kubra, Jld.3, Hlm.266)

Perlu diingat, adat setempat memainkan peranan terhadap kesan hukum di atas. Penggunaan air untuk tujuan berubat adalah melibatkan kuantiti yang sedikit dan kebiasaannya tidak ditegah kecuali jika memang terdapat kenyataan yang jelas melarang atau dinyatakan pengkhususan untuk kegunaan masjid sahaja. 

Perkara ini sebagaimana yang difahami daripada ibarat di bawah:

وَسُئِلَ الْعَلَّامَةُ الطَّنْبَدَاوِيْ عَنِ الْجِوَابِيْ وَالْجِرَارِ الَّتِيْ عِنْدَ الْمَسَاجِدِ فِيْهَا الْمَاءُ إِذَا لَمْ يُعْلَمْ أَنَّهَا مَوْقُوْفَةٌ لِلشُّرْبِ أَوِ الْوُضُوْءِ أَوِ الْغُسْلِ الْوَاجِبِ أَوِ الْمَسْنُوْنِ أَوْ غَسْلِ النَّجَاسَةِ؟

فَأَجَابَ إِنَّهُ إِذَا دَلَّتْ قَرِيْنَةٌ عَلَى أَنَّ الْمَاءَ مَوْضُوْعٌ لِتَعْمِيْمِ الْاِنْتِفَاعِ: جَازَ جَمِيْعُ مَا ذُكِرَ مِنَ الشَّرْبِ وَغَسْلُ النَّجَاسَةِ وَغَسْلُ الْجِنَابَةِ وَغَيْرُهَا وَمِثَالُ الْقَرِيْنَةِ: جِرْيَانُ النَّاسِ عَلَى تَعْمِيْمٍ لِاِنْتِفَاعٍ مِنْ غَيْرِ نَكِيْرٍ مِنْ فَقِيْهٍ وَغَيْرِهِ إِذِ الظَّاهِرُ مِنْ عَدَمِ النَّكِيْرِ: أَنَّهُمْ أَقْدَمُوْا عَلَى تَعْمِيْمِ الْاِنْتِفَاعِ بِالْمَاءِ بِغُسْلٍ وَشُرْبٍ وَوُضُوْءٍ وَغَسْلِ نَجَاسَةٍ فَمِثْلُ هَذَا إِيْقَاعٌ يُقَالُ بِالْجَوَازِ

Maksudnya: Dan ditanyakan kepada al-Allamah al-Tanbadaawi tentang bekas air dan tempayan yang berada di masjid-masjid, yang mengandungi air, jika tidak diketahui sama ada ia diwakafkan untuk minum, wuduk, mandi wajib, mandi sunat, atau untuk mencuci najis?

Maka dia menjawab, “Jika terdapat petunjuk yang menunjukkan bahawa air itu digunakan untuk kegunaan umum, maka dibenarkan semua perkara yang disebutkan, seperti minum, membasuh najis, mandi junub, dan lain-lain. Contoh petunjuk tersebut adalah amalan orang ramai yang menggunakan air untuk tujuan umum tanpa adanya bantahan daripada ahli fikah (golongan yang mengetahui) atau yang lain. Hal ini menunjukkan, dengan tiadanya bantahan, bahawa mereka membolehkan penggunaan air untuk pelbagai kegunaan seperti membasuh, minum, mengambil wuduk, dan membersihkan najis. Maka, dalam keadaan seperti ini, ia dikatakan diharuskan.” (Rujuk, Fath al-Mu’in, hlm. 408)

Kesimpulan

Justeru, kami berpendapat hukum menggunakan air kolah masjid untuk tujuan perubatan adalah dibolehkan melainkan terdapat larangan yang jelas seperti tulisan atau adat setempat yang melarangnya. Hal ini adalah kerana adat setempat pada kebiasaannya membenarkan penggunaan air yang sedikit seperti untuk tujuan perubatan tersebut. Ia selari dengan keumuman dalam mengambil manfaat. Maka, adat setempat memainkan peranan terhadap kesan hukum di atas. Penggunaan air masjid untuk membasuh kereta sebagai contoh adalah tidak dibenarkan kerana adat setempat yang menganggapnya sebagai penggunaan yang tidak dibenarkan.

Selain itu, kami juga menyarankan bagi mereka yang menggunakan air kolah masjid untuk tujuan perubatan tersebut agar menyumbang sedikit wang ke dalam tabung masjid sebagai imbalan daripada penggunaan tersebut.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.

Wallahua’lam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑