Teks Khutbah Jumaat (JAKIM): Noktahkan Buli, Terpelihara Diri 

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَوُضِعَ ٱلْكِتَـٰبُ فَتَرَى ٱلْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَـٰوَيْلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا ٱلْكِتَـٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةًۭ وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحْصَىٰهَا ۚ وَوَجَدُوا۟ مَا عَمِلُوا۟ حَاضِرًۭا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًۭا(٤٩) 

Maksudnya: Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

(Surah Al-Kahfi 18:49)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Mudah-mudahan kehidupan kita sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang akan disampaikan dan janganlah melakukan perkara-perkara yang lagha seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Mudah-mudahan khutbah ini akan memberi banyak pengajaran kepada kita semua. 

Pada hari ini saya akan membicarakan khutbah bertajuk: “Noktahkan Buli, Terpelihara Diri”. 

Saudaraku Yang Dikasihi Sekalian, 

Sebagaimana kita sedia maklum, buli merupakan satu ancaman yang membimbangkan dalam kalangan masyarakat di negara kita pada masa ini. Buli boleh difahami sebagai perbuatan oleh seseorang atau beberapa orang yang menggunakan kekuatan atau kekerasan untuk menakutkan, mengganggu, menghina atau menyakitkan orang lain. 

Buli boleh berlaku dengan macam-macam cara, sama ada secara fizikal, mental atau emosi. Ia boleh mengakibatkan kecederaan fizikal atau gangguan emosi kepada mangsa. Malah lebih dahsyat lagi, buli juga boleh mengakibatkan kematian. Jenis salah laku buli dalam kalangan murid yang biasa berlaku termasuk fizikal, lisan, bukan lisan dan buli siber. 

Ajaran Islam sangat menentang budaya buli kerana ia bertentangan dengan prinsip Islam yang sangat mengutamakan kasih sayang dan rahmah sesama insan. Bahkan, petunjuk Islam menuntut umatnya untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan saudara-saudara di sekelilingnya. 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn ‘Amru radhiyallahu anhuma, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 

“Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat dari kejahatan lidahnya dan juga tangannya”.

(Hadis Riwayat Imam al-Bukhari) 

Kita juga perlu sedar bahawa sekecil-kecil perkara yang dilakukan di atas dunia akan dibicarakan di hadapan Allah SWT, sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Kahfi ayat 49 yang saya bacakan pada awal khutbah tadi yang bermaksud: 

“Dan “Kitab-kitab Amal” juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, berasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:” Aduhai celakanya kami! Mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun”.

(Surah Al-Kahfi 18:49)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Mengapakah semua ini terjadi? Pertama, kelemahan institusi kekeluargaan. Pengabaian didikan ibu bapa dan kurang kasih sayang di samping cara didikan yang kasar menyebabkan anak menjadi kasar dan pembuli. Tidakkah kita tahu bahawa ayah dan ibu memberi kesan dalam pembentukan adab dan akhlak anak-anak. 

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya, “Setiap bayi dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah. Maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi”.

(Hadis Riwayat Imam alBukhari dan Muslim) 

Kedua, pengaruh media sosial. Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan bahawa 28 juta rakyat Malaysia aktif menggunakan media sosial. Keganasan, kelucahan dan ejekan terhadap fizikal seseorang menjadi paparan utama media sosial sehingga ia dirasakan normal, melucukan, dan menjadi ikutan masyarakat. Begitu juga pengaruh daripada cerita-cerita yang berunsur ganas dan kejam. 

Ketiga, sikap individu yang mementingkan diri. Sifat ego, panas baran dan kurang empati mendorong kepada berlakunya kes buli dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, seseorang yang merasakan dirinya hebat atau kuat sering mengejek dan memandang rendah kepada orang lain sehingga melakukan penindasan secara sedar ataupun tidak. Budaya buli, tidak hanya berlaku di alam persekolahan. Bahkan terdapat juga kes-kes buli yang berlaku di tempat-tempat kerja, komuniti masyarakat dan sebagainya. Ia bukanlah satu budaya yang baik, sebaliknya perlu ditangani sehingga ke akar umbi agar ia tidak menjadi satu warisan yang diperturunkan dari generasi ke generasi. 

Hadirin Yang Dikasihi Sekalian, 

Perbuatan buli boleh memberi kesan yang amat besar pada diri mangsa, pembuli dan keluarga. Mangsa buli akan mengalami tekanan dan gangguan emosi sepanjang hayat terutama apabila dibuli terhadap perasaan dan psikologi. 

Buli fizikal boleh memberikan kesan seperti kecacatan atau parut yang kekal selamanya. Bahkan sungguh menyedihkan kerana terdapat juga kes-kes buli yang berakhir dengan kematian. 

Bagi si pembuli pula, kesan kepada diri sendiri amat besar apabila disabitkan dengan jenayah tersebut. Bagaimanakah gambaran masa depan mereka dan keluarga jika dikenakan hukuman penjara mahupun sebatan sehingga memusnahkan kehidupan? Jangan kerana terlalu ikutkan perasaan dan melayan keseronokan sementara, akhirnya seluruh kehidupan menjadi sia-sia. Ingat bahawa jika terlepas di dunia, belum tentu terlepas ketika perbicaraan di akhirat kelak. 

Saudaraku Yang Dikasihi Sekalian, 

Untuk mengatasi gejala buli yang penuh kezaliman ini, maka Islam menggariskan beberapa penyelesaian. 

Pertama, menyuburkan kasih sayang kepada anak-anak dengan memberikan didikan agama yang sempurna berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah. 

Kedua, menyediakan persekitaran yang baik untuk ahli keluarga membesar dan memberi asuhan terbaik kepada mereka. Elakkan daripada anak-anak terdedah kepada cara hidup yang kasar atau bahan-bahan hiburan yang berunsur ganas. 

Ketiga, menjadi suri teladan kepada anak dengan menunjukkan akhlak yang mulia. Anak-anak lebih mudah meniru tingkah laku ibu bapa mereka berbanding perkataan yang keluar dari mulut. 

Keempat, bagi anak-anak yang sedang bersekolah, laporkan kepada ibu bapa, guru atau pihak berkuasa sekiranya berasa diri dibuli atau melihat perbuatan buli berlaku di sekolah masing-masing.

Ketahuilah bahawa setiap individu di negara ini dilindungi oleh undang-undang. Jangan takut untuk bertindak dan jangan dipendam perkara-perkara yang berkaitan dengan buli sama ada kepada diri sendiri mahupun yang dilihat berlaku terhadap orang lain. Masih ramai pihak yang prihatin untuk membantu anda. 

Kepada pembuli, bertaubatlah! Hentikanlah perbuatan buli dan segala bentuk kezaliman terhadap orang lain sama ada melalui percakapan mahupun perbuatan. Ingatlah akan sebuah hadis qudsi yang bermaksud: 

“Daripada Abu Zar al-Ghifari RA bahawa Nabi SAW meriwayatkan daripada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT berfirman: “Wahai hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman bagi diri-Ku dan Aku jadikannya haram antara kamu. Maka, janganlah kamu berlaku zalim sesama kamu…”

(Sahih Muslim) 

Lihatlah diri, keluarga dan persekitaran kita. Pastikan diri dan ahli keluarga tidak terlibat sebagai pembuli atau mangsa. Kenal pasti perubahan sikap, tingkah laku dan gaya hidup ahli keluarga. Seandainya berlaku kemurungan, kesedihan yang berpanjangan, sikap memendam rasa yang mencurigakan, atau bertingkah laku agresif, besar kemungkinan mereka terlibat dengan kes buli. Dekatilah dan selamilah jiwa agar mereka tidak berasa bersendirian. 

Saudaraku Yang Dikasihi Sekalian, 

Mengakhiri khutbah, beberapa kesimpulan saya dapat rumuskan: 

Pertama, buli merupakan perbuatan dosa dan satu jenayah yang perlu dijauhi. Ia akan dibicarakan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. 

Kedua, individu, ibu bapa, guru serta anak-anak perlu bersama-sama berganding bahu membina generasi penyayang dan berakhlak mulia. 

Ketiga, masyarakat perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk melaporkan sebarang kejadian buli yang terjadi sama ada di persekolahan, tempat kerja mahupun dalam kalangan masyarakat umumnya. 

Renungkanlah firman Allah SWT dalam Surah as-Sajdah ayat 22: 

وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِۦ ثُمَّ أَعْرَضَ عَنْهَآ ۚ إِنَّا مِنَ ٱلْمُجْرِمِينَ مُنتَقِمُونَ (٢٢)

Maksudnya: “Dan tidaklah ada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingat dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian dia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya); sesungguhnya Kami tetap membalas”.

(Surah As-Sajdah 32:22)

Tarikh Dibaca: 10 Rejab 1446H / 10 Januari 2025 
Disediakan oleh: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑