Bab Taharah Air Kencing Dewasa 

Soalan

Bertahun lamanya saya tak solat kerana taharah dan saya tak jumpa solusi sehingga sekarang. 

A. Taharah Kemaluan dengan Istijmar

Saya seorang yang obese BMI 57. Seperti sedia maklum, zakar yang obese akan mengalami kuncup dan ke dalam sewaktu tidak tegang akibat lemak di sekelilingnya. Permasalahannya terjadi bila saya bersuci selepas kencing. Selepas kencing, saya selalunya akan gunakan tisu bersih untuk istijmar dengan cara:

  1. Batuk dan melepaskan sisa kencing
  2. Mengurut sedalamnya dari pangkal bawah zakar, tarik dan urut untuk pastikan sisa kencing keluar habis dan tak tinggal dalam zakar dan istijmar. Saya ulang step ini banyak kali.
  3. Bila lap, saya pastikan digarisan hujung zakar itu kering. Akan tetapi bila saya dah siap-siap pakai seluar, zakar akan kuncup semula.
  4. Akibat dari ni, lemak sekeliling seolah menekan zakar dan memaksa sisa kencing yang kita tak mampu capai sebelum ini disebabkan terbatas didalam badan. bila tengok semula, digaris hujung zakar tu macam ada sisa air kencing.
  5. Itu baru berdiri, belum lagi ketika duduk dimana lemak + tekanan dari berat badan yg kita duduk tu sudah semestinya akan tolak keluar atau pun ketika kita bersukan angkat barang berat.
  6. Saya bereksperimentasi dan memang itu yang terjadi setiap kali. Buntu saya bila jadi macam ni.

Bila jadi macam ini, susah jadinya. Apabila kita sibuk dengan tugasan harian. Jadi saya akan qada’ solat pada waktu selepas kerja di rumah. Lama-lama akhirnya saya malas dan tinggalkan solat terus.

Pernah saya terbaca yang air kencing dan air mazi adalah najis yang sama taraf dan yang tidak dimaafkan, wajib bersuci sebelum solat. Adapun, hadis sahih air mazi hanya merenjiskan pada pakaian yang terkena air mazi atau secukup satu tapak tangan melalukannya tanpa menggosok sudah memadai. ada juga saya dengar, hadas kecil tak perlu bersihkan, hanya bersuci dengan wuduk sudah cukup.

Dalam kes saya, mungkin ianya nampak seperti memberat-beratkan bab taharah, tapi perkara ini bukan akibat was-was, lebih kepada ianya terjadi dan memang terjadi walaubagaimanapun caranya.

B. Had Hukum Harus Istijmar

Saya ada dengar yang hukum guna tisu atau benda kesat adalah harus selagi mana air kencing itu tidak meleleh. Adakah benar? Sekiranya meleleh, adakah haram jika masih istijmar guna tisu di bahagian kemaluan yang terkena najis? Apakah boleh istijmar air mazi?

Semoga pihak tuan dapat tolong saya jawab segala kemusykilan  yang telah lama membelenggu diri saya ini berbuat dosa tinggalkan solat.

Penjelasan

Bagi menjawab persoalan yang diajukan kami rumuskan seperti berikut:

  • Syarak membenarkan seseorang untuk beristinjak menggunakan tisu namun menggabungkan keduanya dengan mendahulukan tisu kemudian menggunakan air untuk beristinjak adalah lebih afdal atau menggunakan air sahaja untuk beristinjak.
  • Tidak dikira adanya najis sekiranya ragu-ragu masih ada atau tidak sisa selepas membuang air kencing, adapun sekiranya penyoal yakin bahawa ada sisa najis yang keluar maka solusi yang kami boleh berikan adalah:
    • Membasuh anggota dan tempat yang terkena najis sehingga hilang bau, warna dan rasa.
    • Membasuh anggota yang terkena najis kemudian menukar kepada pakaian yang suci seperti kain pelikat atau sebagainya untuk bersolat.
  • Air mazi dikategorikan sebagai najis mutawassitah yang perlu dibasuh sehingga hilang bau, warna dan rasa dan tidak memadai dengan sekadar memercik padanya bagi menghilangkannya.
  • Hadas kecil sememangnya tidak perlu dibasuh kerana hadas kecil dapat diangkat dengan berwuduk adapun yang perlu dibasuh adalah kesan najis yang terkena pada badan, pakaian, dan tempat sehingga hilang bau, warna dan rasa.
  • Tisu boleh digunakan selagi mana air kencing tidak meleleh hingga keluar dari ruangan hujung zakar. Sekiranya telah keluar dan berpindah ke kawasan lain maka kawasan lebihan yang terkena najis perlu dibasuh dengan air.
  • Harus membersihkan air mazi menggunakan tisu.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Ancaman Terhadap Orang Yang Meninggalkan Solat

Solat merupakan tiang agama dan sebagai seorang Muslim kita amat dititikberatkan untuk menjaga solat kita. Telah disebutkan di dalam al-Quran dan al-Sunnah pelbagai ancaman azab bagi orang-orang yang tidak menunaikan solat di antaranya ialah Allah mencampakkan orang yang meninggalkan solat dengan sengaja ke dalam neraka Saqar. Firman Allah SWT:

مَا سَلَكَكُمْ فِى سَقَرَ(٤٢) قَالُوا۟ لَمْ نَكُ مِنَ ٱلْمُصَلِّينَ(٤٣)

Maksudnya: Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata: “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan solat;

(Surah al-Muddathir 74:42-43)

Dan Allah SWT juga berfirman:

إِنَّ ٱلْمُجْرِمِينَ فِى ضَلَـٰلٍۢ وَسُعُرٍۢ(٤٧) يَوْمَ يُسْحَبُونَ فِى ٱلنَّارِ عَلَىٰ وُجُوهِهِمْ ذُوقُوا۟ مَسَّ سَقَرَ(٤٨)

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang berdosa berada dalam keadaan sesat (di dunia), dan (di akhirat pula mereka berada dalam) api neraka. Semasa mereka diseret di dalam neraka (dengan tertiarap) atas muka mereka, (serta dikatakan kepada mereka): rasalah kamu bakaran api neraka.

(Surah al-Qamar 54:47-48)

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:

سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ العَبْدُ يَوْمَ القِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلاَتُهُ، فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ، وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ، فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ، قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ: انْظُرُوا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنَ الفَرِيضَةِ، ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ.

Maksudnya: Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya amal yang seorang hamba yang pertama kali dihisab di hari Kiamat adalah solatnya. Jika solatnya bagus, maka dia berjaya. Dan jika solatnya rosak, maka dia akan menyesal dan rugi. Maka jika ada yang kurang dari solat fardunya, Allah SWT berfirman, “Lihatlah kalian, apakah hamba-Ku mempunyai (amal) solat sunnah, maka itulah yang dapat menyempurnakan kekurangan fardunya, kemudian semua amalnya (juga) seperti itu.

(Riwayat Tirmizi 413)

Memandangkan kedudukan ibadat solat yang begitu penting, maka solat fardu sama sekali tidak boleh diabaikan atau ditinggalkan dengan sewenang-wenangnya. Solat yang sudah ditinggalkan seseorang dahulunya perlu untuk  diqadakan kesemuanya. Maka perlulah seorang Muslim itu menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang hamba kepada Allah SWT dengan menunaikan solat seperti mana yang telah diperintahkan olehNya. Imam al-Khatib al-Syarbini menyebutkan di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj:

(وَيُبَادِرُ بِالْفَائِتِ) ‌نَدْبًا ‌إنْ ‌فَاتَهُ ‌بِعُذْرٍ كَنَوْمٍ وَنِسْيَانٍ وَوُجُوبًا إنْ فَاتَهُ بِغَيْرِ عُذْرٍ عَلَى الْأَصَحِّ

Maksudnya: Sunat bagi seseorang itu menyegerakan qada’ solat jika meninggalkannya disebabkan oleh keuzuran syar’i seperti tidur atau terlupa. Manakala wajib baginya untuk segera menggantikan solat yang tertinggal tanpa keuzuran syar’i mengikut pandangan yang paling sahih. (Rujuk Mugni al-Muhtaj jld 1 hlmn 308)

Cara Istinjak Menggunakan Batu

Fuqaha’ telah mendefinisikan istinjak dengan maksud: Menghilangkan najis yang keluar dari qubul dan dubur dengan air atau batu. Dan adalah lebih baik untuk menggabungkan kedua-duanya ketika membersihkan kawasan qubul dan dubur. Hal ini sepertimana yang disebut di dalam kebanyakan kitab-kitab Fiqh al-Syafie, antaranya yang disebutkan oleh Imam Khatib al-Syarbini dalam kitabnya, al-Iqna’:

والأفضل أن يستنجي بالأحجار أو ما في معناها ثم يتبعها بالماء لأن العين تزول بالحجر أو ما في معناه، و الأثر يزول بالماء من غير حاجة إلى مخامرة النجاسة

Maksudnya: Dan cara yang paling afdal adalah dengan beristinjak terlebih dahulu menggunakan batu atau benda yang seumpamanya, kemudian diikuti pula dengan basuhan air. Hal ini kerana ‘ain najis tersebut akan hilang dengan batu atau benda yang seumpamanya, manakala sisa-sisa kesan najis itu akan hilang dengan basuhan air tanpa perlu untuk bersentuhan dengan najis.

(Rujuk al-‘Iqna fi Hall al-Alfaz Abi Syuja’ jld. 1 hlmn. 53)

Namun, sekiranya mahu untuk memilih salah satu daripadanya maka penggunaan air adalah lebih afdal, kerana air merupakan medium asal bagi menghilangkan najis. Meskipun begitu harus berpada dengan batu ketika beristinjak.

Berdasarkan soalan yang diberikan kami dapati bahawa penyoal masih ragu-ragu tentang air yang ada di hujung zakar. Sekiranya ragu-ragu maka cukup kita hukumkan bahawa kawasan itu adalah suci dan tidak bernajis. Hukum ini berdasarkan kaedah

اليقين لا يزال بالشك

Maksudnya: “Sesuatu yakin tidak akan hilang kerana suatu syak(keraguan)”.

Kaedah ini bersumberkan daripada sebuah hadis Rasulullah SAW: 

عن عباد بن تميم عن عمه، أنه شكا إلى رسول الله ﷺ الرجل الذي يخيل إليه أنه يجد الشيء في الصلاة، فقال: لا ينفتل -أو لا ينصرف- حتى يسمع صوتًا أو يجد ريحًا

Maksudnya: “Daripada ‘Ubbad bin Tamim meriwayatkan, daripada bapa saudaranya yang mengadu kepada Nabi SAW tentang seorang lelaki yang ragu-ragu semasa sedang solat; adakah keluar daripada duburnya sesuatu atau tidak?. Nabi SAW menjawab; “Janganlah dia keluar dari solatnya sehinggalah dia yakin terdengar bunyi (kentut) atau mencium baunya ”.”

(Riwayat al-Bukhari 137)

Tidak perlulah bagi seseorang itu untuk bersusah-susah dalam perkara berkaitan najis. Di dalam agama, Islam tidak disuruh mencari-cari najis yang keluar dari kemaluan. Apa yang kita disuruh ketika membuang air adalah dengan membersihkan tempat atau bahagian yang terkena najis sahaja. Bahkan disunatkan bagi orang yang beristinjak untuk memercikkan air ke kemaluan dan pakaiannya bagi menghilangkan waswas.

Adapun perasaan waswas yang muncul dengan merasakan ada sisa kencing yang masih keluar maka itu adalah tipu daya syaitan bagi menjauhkan umat daripada melakukan ketaatan kepada Allah SWT. 

Firman Allah SWT:

أَلَمۡ أَعۡهَدۡ إِلَيۡكُمۡ يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعۡبُدُواْ ٱلشَّيۡطَٰنَۖ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ  وَأَنِ ٱعۡبُدُونِيۚ هَٰذَا صِرَٰطٞ مُّسۡتَقِيمٞ

Maksudnya: Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang nyata bagi kamu, dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus.

(Surah Yasin 36:60-61)

Musuh manusia yang nyata ini, akan menggunakan pelbagai wasilah dalam menyesatkan manusia. Antara wasilah yang digunakan adalah dengan mencampakkan perasaan waswas kepada manusia itu sendiri. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ

Maksudnya: Yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia

(Surah Al-Naas 114:5)

Namun sekiranya yakin air yang keluar itu adalah najis kencing maka syarak hanya menuntut untuk menyucikan anggota dan pakaian yang terkena najis menggunakan air mutlak sehingga hilang bau, warna dan rasa bagi membolehkannya menunaikan ibadah seperti solat dan sebagainya. Adapun solusi lain yang kami cadangkan adalah dengan mencuci anggota yang terkena najis kemudian menggantikan pakaian dengan pakaian yang suci seperti kain pelikat untuk dibawa ke dalam solat.

Syarat Penggunaan Batu

Keharusan menggunakan batu atau alatan lain seperti tisu untuk menggantikan air bagi istinjak dipandu dengan beberapa syarat. Di antara syaratnya ialah najis tidak boleh berpindah ke tempat yang lain. Hal ini seperti mana yang disebutkan di dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah berkenaan syarat-syarat penggunaan batu yang boleh menggantikan air bagi istinjak:

أن لا يُجاوِزَ صفْحتَه وحشَفَتَه، أي: يجاوِزَهُما متّصلاً بدونِ انفصال، فيتعيَّنُ الماءُ في الذي جاوزَ دونَ غيرِه

Maksudnya: Najis tidak melepasi lubang dubur (bahagian yang bertemu ketika berdiri)  dan kepala zakar. Iaitu melepasi kedua-duanya dalam keadaan bersambung tanpa berpisah. Maka pada ketika itu perlulah menggunakan air pada kawasan lebihan dan bukan pada kawasan selainnya(lubang dubur dan hujung zakar). (Rujuk kitab al-Taqrirat al-Sadidah hlmn 108)

Sekiranya najis itu meleleh sehingga terkena kawasan lain selain hujung zakar dan tempat keluarnya najis maka pada ketika itu perlu menggunakan air pada kawasan tersebut. Namun masih boleh menggunakan tisu pada bahagian keluarnya najis iaitu kawasan lubang dubur dan hujung zakar.

Cara Membersihkan Air Kencing Dan Air Mazi

Air kencing merupakan najis mutawasitah yang wajib dibersihkan menggunakan air mutlak sehingga hilang bau, warna dan rasa. Sekiranya najis dapat dihilangkan dengan sekali basuhan maka sudah memadai jika tidak maka perlu dijirus dua tiga kali sehingga bersih kawasan yang terkena najis tersebut. Ini seperti mana yang disebutkan di dalam kitab Fiqh al-Manhaji.

التطهر من النجاسة المتوسطة: وهي نجاسة ما عدا الكلب والخنزير، والصبي الذي لم يطعم، وهذه النجاسة إنما تطهر إذا جرى الماء عليها وذهب بأثرها، فزالت عينها وذهبت صفاتها من لون أو طعم أو ريح، سواء كانت عينية أم حكمية، وسواء كانت على ثوب أم جسم أم مكان، ولكن لا يضر بقاء لون عسر زواله، كالدم مثلاً.

Maksudnya: Pembersihan najis mutawassitah iaitu najis selain anjing dan khinzir dan air kencing bayi yang tidak makan. Dan najis-najis ini hanya sanya akan menjadi suci sekiranya melalukan air mutlak ke atasnya dan hilang kesan najis tersebut, maka hilang ‘ain najis serta sifat-sifatnya daripada warna, rasa, dan bau, sama ada najis itu jenis ‘ainiyah ataupun hukmiyyah dan sama ada najis itu di berada atas baju, badan, atau tempat akan tetapi tidak mengapa sekiranya masih tinggal warna yang sukar untuk dihilangkan seperti darah.

(Rujuk kitab Fiqh al-Manhaji jld 1 hlmn 42)

Fuqaha dari kalangan empat mazhab bersepakat bahawa air mazi ini adalah dikira sebagai najis mutawassitah. Justeru, pakaian yang terkena air mazi ini mestilah dibersihkan seperti juga pakaian yang terkena najis mutawassitah yang lain seperti air kencing dan seumpamanya. Hal ini adalah berdasarkan kepada arahan Rasulullah SAW untuk membersihkan kawasan yang terkena air mazi seperti yang diceritakan oleh Saidina ‘Ali seperti berikut:

كنتُ ألقَى مِنَ المذْيِ شدةً وعناءً ، فكنتُ أُكْثِرُ منه الغسلَ . فذكرْتُ ذلِكَ لِرَسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ وسألتُهُ عنْهُ ؟ فقال : إِنَّما يجزِئُكَ منْ ذلِكَ الوضوءُ فقلتُ يا رسولَ اللهِ ، كيْفَ بما يُصِيبُ ثوبِي منْهُ ؟ قال : يكفيكَ أنْ تأخُذَ كفًّا مِنْ ماءٍ فتنضَحَ بِهِ ثوبَكَ حيثُ ترَى أنَّهُ أصابَ مِنْهُ

Maksudnya: Aku dahulunya merasakan penat dan berat disebabkan air mazi, kerana aku kerap mandi disebabkannya. Maka aku pun menceritakan hal ini kepada Rasulullah SAW dan bertanyakan kepada Baginda. Baginda menjawab: “Cukuplah engkau mengambil air sebanyak satu tapak tangan, lalu engkau basuhkan pada pakaian yang engkau lihat pada bahagian yang terkena itu”.

(Riwayat al-Tirmizi 115)

Arahan Rasulullah SAW di atas agar membersihkan pakaian yang terkena air mazi jelas menunjukkan bahawa air mazi ini dikira sebagai najis, dan mestilah dibersihkan.

Walaupun dalam hadis yang dinyatakan tadi Rasulullah SAW menggunakan perkataan “نضح”, yang boleh membawa kepada makna “merenjiskan air“, namun perkataan ini juga turut boleh membawa kepada makna “membasuh“.

Dalam konteks hadis ini, perkataan “نضح” difahami sebagai makna “basuh” kerana berdasarkan kepada riwayat lain yang menunjukkan Rasulullah SAW mengarahkan agar seseorang yang terkeluar air mazi untuk membasuh kemaluannya. Hal ini bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Saidina ‘Uthman bin ‘Affan:

أَرَأَيْتَ إذَا جَامع الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ فَلَمْ يُمْنِ؟ قالَ عُثْمَانُ: يَتَوَضَّأُ كما يَتَوَضَّأُ لِلصَّلَاةِ ويَغْسِلُ ذَكَرَهُ قالَ عُثْمَانُ: سَمِعْتُهُ مِن رَسولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ فَسَأَلْتُ عن ذلكَ عَلِيَّ بنَ أبِي طَالِبٍ، والزُّبَيْرَ بنَ العَوَّامِ، وطَلْحَةَ بنَ عُبَيْدِ اللَّهِ، وأُبَيَّ بنَ كَعْبٍ – رَضِيَ اللَّهُ عنْهمْ – فأمَرُوهُ بذلكَ.

Maksudnya:Apa pandangan kamu jika seseorang lelaki bermesra-mesra dengan isterinya tetapi tidak terkeluar air mani? Uthman berkata: dia perlu mengambil wuduk seperti mana wuduk untuk Solat, dan perlu membasuh kemaluannya. Uthman berkata: Aku mendengar yang demikian daripada Rasulullah SAW, lalu aku bertanya kepada Ali bin Abi Talib, al-Zubayr bin al-‘Awwam, Talhah bin ‘Ubaydillah, Ubayy bin Ka’b -R.Anhum- maka mereka juga menyuruh demikian”.

(Riwayat al-Bukhari 179)

Perkara ini turut disebutkan di dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah karangan Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff:

المذي والمني حكمهما كالبول فينقضان الوضوء وهما نجسان

Maksudnya: Air Mazi dan air Wadi dihukumkan kedua-duanya seperti air kencing maka ia membatalkan wudhu dan kedua-duanya adalah najis. (Rujuk kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah hlmn. 116)

Maka air Mazi perlulah dibasuh sehingga hilang bau warna dan rasa kerana ia dikategori sebagai najis mutawasitah seperti air kencing. Perbuatan merenjis pada tempat yang terkena air mazi adalah tidak boleh kerana ia tidak dapat menghilangkan bau, warna dan rasa najis tersebut.

Kesimpulan

Bagi menjawab persoalan yang diajukan kami rumuskan seperti berikut:

  • Syarak membenarkan seseorang untuk beristinjak menggunakan tisu namun menggabungkan keduanya dengan mendahulukan tisu kemudian menggunakan air untuk beristinjak adalah lebih afdal atau menggunakan air sahaja untuk beristinjak.
  • Tidak dikira adanya najis sekiranya ragu-ragu masih ada atau tidak sisa selepas membuang air kencing, adapun sekiranya penyoal yakin bahawa ada najis yang keluar maka solusi yang kami boleh berikan adalah:
    • Membasuh anggota dan tempat yang terkena najis sehingga hilang bau, warna dan rasa.
    • Membasuh anggota yang terkena najis kemudian menukar kepada pakaian yang suci seperti kain pelikat atau sebagainya untuk melakukan solat.
  • Air mazi dikategorikan sebagai najis mutawassitah yang perlu dibasuh sehingga hilang bau, warna dan rasa dan tidak memadai dengan sekadar memercik bagi menghilangkannya.
  • Hadas kecil sememangnya tidak perlu dibasuh kerana hadas kecil dapat diangkat dengan berwuduk’ adapun yang perlu dibasuh adalah kesan najis yang terkena pada badan pakaian dan tempat sehingga hilang bau, warna dan rasa.
  • Tisu boleh digunakan selagi mana air kencing tidak meleleh hingga keluar dari ruangan hujung zakar. Sekiranya telah keluar dan berpindah ke kawasan lain maka kawasan lebihan yang terkena najis perlu dibasuh dengan air.
  • Harus membersihkan air mazi menggunakan tisu.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.

Wallahu’aklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑