Soalan
Apakah hukumnya orang yang banyak berhutang dan belum melangsaikan hutangnya tetapi ingin berpoligami adakah dia perlu meminta izin kepada orang yang memberi hutang sebelum bernikah?
Penjelasan
Seseorang yang berhutang dan ingin berpoligami perlu memastikan sama ada hutangnya sudah sampai masa pelunasannya atau tidak. Sekiranya hutangnya telah sampai masa pelunasan dan dia tidak memiliki kewangan yang cukup untuk pembiayaan keduanya sekali, maka wajib didahulukan pembayaran hutang. Sekiranya hutangnya masih bertempoh maka dibenarkan ia berpoligami dengan syarat-syaratnya.
Keizinan pemiutang sebelum berpoligami adalah tidak diperlukan. Namun proses poligami akan melibatkan prosedur mahkamah setelah menilai kemampuan kewangan yang dimiliki oleh suami. Isteri juga boleh mengemukakan bantahan terhadap suami kepada pihak mahkamah setelah mengemukakan dokumen serta bukti hutang dengan jelas.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Pengertian Poligami
Menurut Kamus Dewan, poligami didefinisikan sebagai amalan beristeri lebih daripada satu orang pada masa yang sama; maksud berpoligami ialah mempunyai lebih daripada seorang isteri pada masa yang sama. Dalam Bahasa Arab, poligami disebut Ta’addud al zaujat.
Poligami adalah peruntukan yang diberikan oleh syarak kepada lelaki dengan syarat-syarat tertentu. Dengan peruntukan tersebut, lelaki boleh mengahwini wanita lebih daripada seorang namun tidak boleh melebihi empat orang dalam satu masa. Ia merupakan satu keizinan yang diberikan syarak dan bukanlah sebagai suatu kewajipan.
Pensyariatan Poligami
Pensyariatan poligami dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran:
وَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تُقْسِطُوا۟ فِى ٱلْيَتَـٰمَىٰ فَٱنكِحُوا۟ مَا طَابَ لَكُم مِّنَ ٱلنِّسَآءِ مَثْنَىٰ وَثُلَـٰثَ وَرُبَـٰعَ ۖ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا۟ فَوَٰحِدَةً أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَـٰنُكُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰٓ أَلَّا تَعُولُوا۟
Maksudnya: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”
(Surah Al-Nisaa’ 4:3)
Terdapat juga dalam hadis berkaitan Nabi SAW membenarkan untuk berpoligami. Hal ini dapat difahami daripada kisah seorang sahabat Baginda SAW iaitu al-Harith bin Qays:
أسلمتُ وعندي ثمانيةُ نسوةٍ فأَتيتُ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ فذكرتُ ذلك له فقال : اختَرْ منهنَّ أربعًا
Maksudnya: Katanya: “Aku telah memeluk Islam dan ketika itu aku mempunyai lapan orang isteri. Lalu aku memberitahu Rasulullah SAW akan perkara itu. Maka Rasulullah SAW bersabda: “Pilih empat orang daripada mereka”.
(Abu Daud, No 2241)
Keadilan Dalam Poligami
Sentuhan khusus berkaitan poligami disebutkan dalam firman Allah SWT:
وَلَن تَسْتَطِيعُوٓا۟ أَن تَعْدِلُوا۟ بَيْنَ ٱلنِّسَآءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا۟ كُلَّ ٱلْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَٱلْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِن تُصْلِحُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ غَفُورًۭا رَّحِيمًۭا
Maksudnya: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-Nisaa’ 4:129)
Ayat tersebut khusus menekankan soal keadilan dalam amalan poligami. Keadilan yang dituntut oleh Islam ialah keadilan dari segi pergaulan, akhlak dan sikap. Begitu juga dari sudut kebendaan, itu semua hendaklah dalam neraca keadilan dan kesaksamaan kerana ia dalam batas kemampuan insan. Adapun perasaan kasih sayang di dalam hati maka ianya di luar kemampuan seseorang.
Justeru, Nabi SAW sendiri menyebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْسِمُ فَيَعْدِلُ وَيَقُولُ اللَّهُمَّ هَذَا قَسْمِي فِيمَا أَمْلِكُ فَلَا تَلُمْنِي فِيمَا تَمْلِكُ وَلَا أَمْلِكُ.
Maksudnya: “Nabi SAW melakukan pembahagian hak yang adil antara para isteri dan berkata: Ya Allah, ini merupakan tahap pembahagian yang saya mampu lakukannya maka janganlah engkau salahkan daku pada apa yang tidak daku miliki dan hanya engkau miliki.”
(Abu Daud, No.2134)
Ketidakadilan juga perlu mengambil kira perkara-perkara seperti pembahagian nafkah, kesihatan, kewangan dan kemampuan fizikal serta emosi. Jika tidak diraikan perkara-perkara ini, akan memberi kesan yang lebih buruk kepada pasangan dan perkahwinan.
Hukum Poligami
Hukum asal poligami adalah harus dalam Islam. Namun, hukum ini boleh berubah menjadi sunat, makruh dan haram berdasarkan situasi dan keadaan setiap individu yang berhasrat untuk mengamalkannya. Maka hukumnya boleh berubah kepada tiga:
- Sunat: Apabila seorang lelaki memerlukan isteri tambahan kerana memenuhi keinginan seksualnya yang tidak dipenuhi oleh isterinya itu. Atau kerana isteri pertamanya itu sakit atau mandul sedangkan suami menginginkan anak. Suami juga merasakan dia mampu untuk berlaku ‘adil terhadap kedua-dua mereka. Dalam keadaan ini, ia menjadi sunat kerana terdapat maslahat yang dibenarkan oleh syarak.
- Makruh: Jika poligami itu dilakukan tanpa sebarang keperluan, semata-mata untuk menambah keseronokan dan hiburan. Apatah lagi, jika suami itu sangsi dengan keupayaannya berlaku adil di kalangan isterinya. Ia juga menjadi makruh kerana dilakukan tanpa sebarang keperluan yang boleh membawa kepada berlakunya kemudaratan akibat tidak berlaku adil.
- Haram: Apabila seorang lelaki berasa ragu atau yakin tidak mampu berlaku adil sekiranya berkahwin lebih daripada seorang perempuan, sama ada kerana kefakirannya, kelemahannya atau tidak yakin dapat mengelakkan dirinya daripada cenderung kepada mana-mana isteri, atau bersikap aniaya, maka perkahwinan tersebut boleh menjadi haram. Hal ini demikian kerana akan menimbulkan kemudaratan kepada orang lain. (Rujuk Fiqh Manhaji, Juz.4, Hlm.35)
Hutang Dan Poligami
Dalam bahasa arab, hutang disebut (dayn). Ia bermaksud memotong atau memutuskan, hal ini adalah kerana pemiutang akan memperuntukkan sebahagian hartanya untuk penghutang. Menurut istilah para fuqaha’, hutang ialah memberi hak milik sesuatu barangan kepada orang lain dengan syarat orang tersebut memulangkan semula gantinya tanpa sebarang tambahan. (Rujuk Fiqh Manhaji, Juz.6, Hlm.101)
Sesungguhnya Islam telah menekankan tentang konsep berhutang menerusi Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ ۚ وَلَا يَأْبَ كَاتِبٌ أَن يَكْتُبَ كَمَا عَلَّمَهُ اللَّهُ ۚ فَلْيَكْتُبْ وَلْيُمْلِلِ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ وَلْيَتَّقِ اللَّهَ رَبَّهُ وَلَا يَبْخَسْ مِنْهُ شَيْئًا ۚ فَإِن كَانَ الَّذِي عَلَيْهِ الْحَقُّ سَفِيهًا أَوْ ضَعِيفًا أَوْ لَا يَسْتَطِيعُ أَن يُمِلَّ هُوَ فَلْيُمْلِلْ وَلِيُّهُ بِالْعَدْلِ ۚ وَاسْتَشْهِدُوا شَهِيدَيْنِ مِن رِّجَالِكُمْ ۖ فَإِن لَّمْ يَكُونَا رَجُلَيْنِ فَرَجُلٌ وَامْرَأَتَانِ مِمَّن تَرْضَوْنَ مِنَ الشُّهَدَاءِ أَن تَضِلَّ إِحْدَاهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحْدَاهُمَا الْأُخْرَىٰ ۚ وَلَا يَأْبَ الشُّهَدَاءُ إِذَا مَا دُعُوا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi.”
(Surah al-Baqarah 2:282)
Selain daripada mengajarkan konsep berhutang di dalam Islam, turut ditegaskan perintah untuk melangsaikan hutang. Hal ini jelas sepertimana yang berlaku ketika zaman Rasulullah SAW, berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Salmah bin al-Akwa’:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أُتِيَ بِجَنَازَةٍ، لِيُصَلِّيَ عَلَيْهَا، فَقَالَ ” هَلْ عَلَيْهِ مِنْ دَيْنٍ ”. قَالُوا لاَ. فَصَلَّى عَلَيْهِ، ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى، فَقَالَ ” هَلْ عَلَيْهِ مَنْ دَيْنٍ ”. قَالُوا نَعَمْ. قَالَ ” صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ ”. قَالَ أَبُو قَتَادَةَ عَلَىَّ دَيْنُهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ. فَصَلَّى عَلَيْهِ.
Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW dibawa kepadanya jenazah untuk baginda mengimamkan solat jenazah tersebut, maka Baginda SAW bersabda: Adakah dia ini menanggung hutang? Mereka menjawab: Tidak. Lalu baginda pun solat ke atas jenazah tersebut. Kemudian dibawa datang jenazah yang lain, Baginda bersabda; Adakah dia ini menanggung hutang, mereka menjawab: Ya. Nabi SAW, (menolak untuk mengimamkan jenazah tersebut) lalu bersabda: solatlah kamu ke atas sahabat kamu. Abu Qatadah lalu menawarkan untuk memikul hutang si mati tersebut maka Baginda SAW menyembahyangkan jenazah tersebut (setelah hutangnya diambil alih)”.
(Sahih al-Bukhari, No.2295)
Begitulah betapa syariat yang dibawa Rasulullah SAW bukan sahaja datang untuk mengajarkan manusia beribadat dan menjaga hubungan dengan Allah, tetapi juga untuk mengangkat hubungan muamalat sesama manusia sebagai suatu perkara yang tidak dipandang remeh. Selain daripada kejadian Baginda menolak untuk membiarkan sahabat lain sahaja yang melakukan solat jenazah, hal hutang ini turut ditegaskan melalui sabda Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
نَفْسُ اَلْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ, حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ
Maksudnya: Roh orang yang beriman itu tergantung disebabkan hutang, sehingga dibayarkan untuknya (hutang tersebut).
(Sunan al-Tirmizi, No.1078)
Begitulah besarnya kesan orang yang tidak membayar hutang, secara tidak langsung hadis-hadis di atas meletakkan hukum membayar hutang adalah wajib.
Prinsip Hutang Menurut Syari’ah
Hutang dibahagikan kepada dua bahagian:
- ديون حالّة (duyun hallah): hutang yang sudah sampai masa pelunasan.
- ديون مؤجّلة (duyun muajjalah): hutang yang bertempoh.
Perbincangan para sarjana fiqh dalam menentukan sesuatu hukum yang melibatkan kewangan akan sentiasa didahului dengan status hutang sama ada bersifat hallah (sampai tempoh pelunasan) atau hutang bersifat muajjalah (bertempoh). Status sesuatu hutang mempunyai implikasi yang besar terhadap perubahan sesuatu hukum sebagai contoh, hukum seseorang yang berhutang bermusafir dijelaskan oleh para ulama’ setelah melihat kepada status hutang yang ditanggungnya. Imam Rafi’I menyebut:
من عليه الدين إذا أراد أن يسافر نظر ان كان الدين حالا فلصاحبه منعه حتى يقضى حقه قال الائمة وليس هذا منعا من السفر كما يمنع السيد العبد والزوج الزوجة ولكن يشغله عن السفر برفعه إلى مجلس الحكم ومطالبته حتى يوفى الحق وان كان مؤجلا نظر ان لم يكن السفر مخوفا فلا منع إذ لا مطالبة
Maksudnya: “Seseorang yang berhutang jika ingin bermusafir maka perlu dilihat status hutangnya terlebih dahulu, sekiranya hutangnya sudah sampai masa pelunasan maka pemiutang berhak menghalangnya daripada bermusafir. Para ulama’ menyebut: halangan ini bukanlah sama seperti halangan seorang tuan terhadap hambanya dan halangan seorang suami terhadap isterinya, namun pemiutang berhak menghalang dengan cara membuat aduan kepada pihak berautoriti agar penghutang melunaskan hutangnya sebelum dia bermusafir. Dan sekiranya hutang tersebut bertempoh, maka tiada hak pemiutang menghalang sekiranya perjalanan yang bakal ditempuhi tidak membahayakan”. (Rujuk al-Syarhul Kabir Li al-Rafi’ie, Jld.10, Hlm.215)
Di samping itu, terdapat satu prinsip yang digunakan dalam aplikasi hutang yang disebutkan oleh para ulama’ iaitu hak manusia (hutang) itu dibina atas kesempitan dan kebakhilan. Maka didahulukan ke atas hak Allah SWT yang dibina di atas kemudahan dan tolak ansur.
Kesimpulan
Berbalik kepada pertanyaan setelah meneliti prinsip hutang seperti yang dijelaskan, seseorang yang berhutang dan ingin berpoligami perlu memastikan sama ada hutangnya sudah sampai masa pelunasannya atau tidak. Sekiranya hutangnya telah sampai masa pelunasan dan dia tidak memiliki kewangan yang cukup untuk pembiayaan keduanya sekali, maka wajib dia dahulukan pembayaran hutang kerana hak manusia (hutang) itu dibina atas kesempitan dan kebakhilan.
Sekiranya hutangnya masih bertempoh maka dibenarkan dia berpoligami. Namun proses poligami akan ditimbang tara oleh mahkamah setelah melihat kemampuan ekonomi yang dimiliki oleh suami. Isteri juga boleh mengemukakan bantahan terhadap suami kepada pihak mahkamah setelah mengemukakan dokumen serta bukti hutang dengan jelas.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.
Wallahua’lam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment