أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَوُضِعَ ٱلْكِتَـٰبُ فَتَرَى ٱلْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَـٰوَيْلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا ٱلْكِتَـٰبِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةًۭ وَلَا كَبِيرَةً إِلَّآ أَحْصَىٰهَا ۚ وَوَجَدُوا۟ مَا عَمِلُوا۟ حَاضِرًۭا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًۭا (٤٩)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Semoga kehidupan kita sentiasa dalam naungan rahmat Allah SWT.
Khatib ingin mengingatkan para jemaah agar memberikan tumpuan seketika kepada khutbah yang disampaikan dan tidak melakukan perkara yang sia-sia. Alangkah ruginya kita yang sudah berada di ruang zikrullah di dalam masjid ini, tetapi minda dan jiwa masih leka dengan urusan dunia.
Mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk: “Ambil Peduli, Noktahkan Buli!”.
Hadirin Jumaat yang dimuliakan,
Buli menjadi satu ancaman yang membimbangkan dalam masyarakat di negara kita. Buli merujuk kepada perbuatan yang menggunakan kekuatan atau kekerasan untuk menakutkan, mengganggu, menghina atau menyakitkan orang lain melalui pelbagai kaedah, sama ada secara fizikal, mental atau emosi. Biasanya ia mengakibatkan kecederaan fizikal atau gangguan emosi kepada mangsa. Jika dirujuk kepada salah laku buli dalam kalangan murid, buli biasanya berlaku melibatkan fizikal, lisan, bukan lisan dan buli siber.
Sedarlah bahawa sekecil-kecil kejahatan pun akan dibawa ke perbicaraan mahkamah teragung di hadapan Allah SWT. Inilah kenyataan yang jelas di dalam surah al-Kahfi ayat 49 yang dibaca pada awal khutbah, bermaksud:
“Dan Kitab-kitab Amal tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu merasa takut apa yang tersurat di dalamnya dan mereka berkata: “Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini begini keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil apatah lagi yang besar, melainkan semua dihitung!” Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis) dan Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.”
(Surah al-Kahfi 18:49)
Sedarkah kita, laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tahun 2023 menyenaraikan Malaysia di tangga kelima di dunia dan kedua di Asia dalam kes buli siber. Lebih menyedihkan, pada 22 Mac 2024 lalu kita dikejutkan dengan laporan kes kematian seorang pelajar kolej akibat dibuli oleh 13 orang rakan mangsa. Setelah itu, pada Julai 2024 pula, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman mati terhadap enam orang pembuli di sebuah universiti awam. Malangnya, bersama semua realiti ini, kes buli masih terus berlaku bagaikan tiada kesudahan.
Kaum Muslimin yang berbahagia,
Mengapakah semua ini terjadi? Mari kita amati dan sama-sama ambil peduli:
Pertama, kelemahan institusi kekeluargaan. Pengabaian didikan ibu bapa dan kurang kasih sayang di samping cara didikan yang kasar menyebabkan anak menjadi pembuli. Kita pun tahu bahawa sikap ayah dan ibu memberi kesan dalam pembentukan adab dan akhlak anak-anak. Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis daripada Abu Hurairah radhiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibu bapanya yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi sebagaimana binatang ternak yang melahirkan binatang ternak dengan sempurna, adakah kamu melihat ada cacat padanya.”
Kedua, pengaruh media sosial. Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan bahawa 28 juta rakyat Malaysia aktif menggunakan media sosial. Secara purata, rakyat Malaysia menghabiskan masa selama dua jam 48 minit sehari menggunakan media sosial. Saban hari, keganasan, kelucahan, perlakuan kurang adab dan ejekan menjadi paparan utama media sosial sehingga dirasakan normal, wajar dan sekadar gurauan yang akhirnya menjadi budaya ikutan masyarakat.
Ketiga, sikap individu yang mementingkan diri. Sifat ego, panas baran dan kurang empati mendorong kepada berlakunya kes buli dalam kalangan masyarakat. Sebagai contoh, seseorang yang merasakan dirinya hebat atau kuat, sering mengejek dan memandang rendah kepada orang lain sehingga melakukan penindasan secara sedar ataupun tidak.
Ingatlah, perbuatan buli memberi kesan yang amat besar pada diri mangsa, pembuli dan keluarga. Mangsa buli akan mengalami tekanan dan gangguan emosi sepanjang hayat terutama apabila dibuli terhadap perasaan dan psikologi. Buli fizikal boleh memberikan kesan seperti kecatatan atau parut yang kekal selamanya. Bagi si pembuli pula, kesan kepada diri sendiri amat besar apabila disabitkan dengan jenayah tersebut.
Bagaimanakah gambaran masa depan mereka dan keluarga jika dikenakan hukuman penjara mahupun sebatan sehingga memusnahkan kehidupan. Jangan kerana inginkan keseronokan dan penyelesaian sementara, menjadikan kehidupan dan masa depan kita sia-sia.
Saudara-saudaraku yang dikasihi,
Untuk mengatasi gejala buli yang penuh kezaliman ini, mari kita lihat apa yang telah digariskan oleh Islam sebagai jalan penyelesaian. Antaranya, suburkan kasih sayang di dalam jiwa anak-anak dengan didikan agama yang sempurna berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah. Wujudkan persekitaran yang baik untuk mereka membesar dalam suasana yang baik dan harmoni.
Menurut ahli psikologi, kualiti lima tahun pertama kehidupan adalah penentu corak keperibadian seseorang. Begitu juga, tunjukkan suri teladan yang baik kepada anak dengan sikap yang positif dan akhlak yang mulia. Bak kata pepatah, “Bagaimana acuan, begitulah kuihnya.” Ajar mereka untuk melaporkan kepada ibu bapa, guru atau pihak berkuasa sekiranya merasa diri dibuli atau melihat perbuatan buli berlaku.
Ketahuilah bahawa setiap individu di negara ini dilindungi oleh undang-undang. Jangan takut untuk bertindak dan jangan pendamkan, anda tidak bersendirian. Masih ramai pihak yang prihatin untuk membantu anda. Di samping itu, ambil peduli dan berikan perhatian kepada keluarga dan persekitaran kita. Pastikan diri dan ahli keluarga tidak terlibat sebagai pembuli atau mangsa. Kenal pasti perubahan sikap, tingkah laku dan gaya hidup ahli keluarga.
Seandainya berlaku kemurungan, kesedihan yang berpanjangan, sikap memendam rasa yang mencurigakan, atau bertingkah laku agresif, besar kemungkinan mereka terlibat dengan kes buli. Dekatilah dan selamilah jiwa agar mereka tidak merasa bersendirian.
Kepada pembuli, berubahlah! Hentikanlah perbuatan buli dan bertaubatlah! Amati ingatan Allah SWT di dalam sebuah hadis qudsi, riwayat Imam Muslim daripada Abu Dzar al-Ghifari radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda, sesungguhnya Allah azza wa jalla berfirman yang maksudnya:
“Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya telah Aku haramkan kezaliman ke atas diri-Ku dan Aku menjadikannya haram antara kamu. Maka, janganlah kamu berbuat zalim sesama kamu.”
Sidang jemaah yang dirahmati Allah, Mengakhiri khutbah, beberapa saranan disisipkan buat pedoman untuk kita semua:
Pertama: Noktahkan buli. Ia satu jenayah, perlakuan zalim, perbuatan dosa dan mengundang kemurkaan Allah SWT.
Kedua: Bina jati diri. Setiap individu, ibu bapa dan guru perlu bersama-sama berganding bahu membina generasi penyayang, prihatin dan berakhlak mulia.
Ketiga: Ambil peduli. Masyarakat perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk melaporkan sebarang kejadian buli yang terjadi.
Hayati firman Allah SWT di dalam Surah as-Sajdah ayat 22:
وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن ذُكِّرَ بِـَٔايَـٰتِ رَبِّهِۦ ثُمَّ أَعْرَضَ عَنْهَآ ۚ إِنَّا مِنَ ٱلْمُجْرِمِينَ مُنتَقِمُونَ(٢٢)
Maksudnya: “Dan tiada yang lebih zalim daripada orang yang diberi ingatan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian dia berpaling daripadanya (dan tetap mengingkarinya), sesungguhnya Kami tetap membalas.” (Surah as-Sajdah 32:22)
Tarikh Bacaan: 17 Rejab 1446h | 17 Januari 2025m
Disediakan Oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment