Oleh: Mymuslimin.com
Mymuslimin.com menyenaraikan 10 port sarapan sedap di sekitar negeri Selangor untuk para pembaca budiman.
1. Tingkap Café – 52, Jalan 1/14, PJ Old Town, 46000 Petaling Jaya, Selangor



Tingkap Cafe membawa pengunjung menikmati pelbagai juadah Melayu yang sedap dengan harga yang berpatutan. Deretan makanan bungkus di Tingkap Cafe memudahkan pelanggan membuat pilihan. Sate yang ditawarkan di sini pula persis sate Muo yang terkenal dengan cebisan lemak di antara ketulan daging yang diperap sempurna. Selain itu, roti jala juga jangan lupa untuk dicuba kerana bukan sahaja rotinya lemak, kari ayam yang dipadankan memang bukan kari ayam biasa. Lontong nasi impit di sini juga berperisa, serupa gaya orang Selatan menyediakannya.
2. Village Park Restaurant – 5, Jalan SS 21/37, Damansara Utama, 47400 Petaling Jaya, Selangor



Terkenal bukan sahaja di kalangan orang tempatan tapi juga di kalangan pelancong luar negara! Nasi lemak di sini cukup lemak, cukup masin dan cukup aroma! Lengkap timun, telur, kacang, ikan bilis, sambal. Sambalnya sedap, tidak manis dan tidak terlalu pedas, dan ayam gorengnya digoreng keemasan; rangup di luar, lembut di dalam dan sempurna dengan taburan serdak gorengan! Tetapi kalau nak selesa, silalah datang awal kerana restoran ini padat sentiasa!
3. Warung Dimyati Roti Canai Pelangi – Lot 2430 Batu 3 Kampung Sungai Yu 1, Kampung Sungai Yu, 45000 Kuala Selangor, Selangor



Meriahkan hujung minggu anda dengan pilihan roti canai pelbagai warna daripada Warung Dimyati Roti Canai Pelangi yang terletak di Kampung Sungai Yu di Kuala Selangor. Bukan sekadar gimik warna roti persis pelangi, roti canai di sini memang lembut di dalam dan garing di luar yang membuatkan seorang pengunjung makan lebih daripada sekeping! Selain roti canai, banyak lagi juadah Melayu lain yang ditawarkan sebagai pilihan.
4. Kafe SERVE – D-G, 2, Jalan 3/38A, Seksyen 3 Bandar Baru Bangi, 43650, Selangor



Kafe SERVE juga menyediakan hidangan ‘brunch’ barat seperti bagel dengan kepingan daging lembu, penkek, sandwich brioche, french toast dan pelbagai kek, manisan, dan kopi yang menggamit selera. Kepada pemburu laksa, khususnya kepada warga Johor yang merindui laksa Johor, mari cuba laksa Johor yang dihidangkan di sini! Lengkap segala, perisa.
5. Restoran Lontong Klang – No.40, Tingkat Bawah, Jalan Tengku Ampuan Zabedah A 9/A, Seksyen 9, 40100 Shah Alam, Selangor



Lontong Klang membawa pelanggan menikmati lontong dengan cara yang berbeza dan begitu lazat sekali. Lontong di sini persis lontong kering Johor tetapi dihidang sedikit berlainan. Terdapat pelbagai pilihan protein seperti paru, sotong, pedal, hati, dan lontong ini dihidang dengan kuah, tempe, bergedil, telur dan serunding kelapa. Betul-betul unik, menarik dan sememangnya sedap!
6. Ishak Nasi Lemak BBB – 38, Jalan 4/5d, Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor



Nasi lemak di sini naik aroma pandannya, cukup lemak, perisa, sedap, lengkap timun, telur separuh, kacang, ikan bilis. Sambalnya tidak pedas, rasanya tidak kuat, sekadar pelengkap rasa tetapi ayam gorengnya diperap baik, lembut, juicy, dan digoreng sempurna. Lauk lain yang ditawarkan termasuk paru sambal yang sedap gila, sotong petai, rendang daging, petai ikan bilis, ikan keli dan sambal sardin.
7. Kopi Surat Cinta Kelana Jaya – Jln SS 5b/2, Ss 5, 47130 Petaling Jaya, Selangor



Restoran ini menyediakan hidangan sarapan dan makan tengahari citarasa Malaysia yang lazat dan bervariasi. Antara hidangan di KSC termasuk nasi ayam buttermilk, nasi lemak ayam goreng KSC, patin tempoyak, mi bandung udang galah, daging masak lemak, roti bakar, roti puisi dan banyak lagi. Minuman kopi istimewa pelbagai jenis juga tersedia sebagai pelengkap kepada segalanya di Kopi Surat Cinta.
8. Restoran Masakan Terengganu Asli – No.2-G, Jalan Lp 7/5B, Lestari Perdana, 43300 Seri Kembangan, Selangor



Nama restoran ini tiada kiasan. Terus terang mereka memberitahu bahawa restoran ini menyediakan masakan Terengganu asli. Jadi sudah tentu hidangan utama di sini ialah nasi dagang dan laksam, selain nasi lemak. Hidangan sampingan seperti Satar dan Keropok Lekor juga ditawarkan di samping kuih-kuih lain.
9. Restoran Nasi Kandar Melayu Serendah – PT 1, KM 36, Jalan Besar Ipoh-KL, Jalan Besar Serendah, 48200 Serendah, Selangor



‘Tagline’nya “Bukan Sekadar Nasi Kandar”, dan sememangnya pelbagai hidangan sarapan yang tersedia sangat menyelerakan! Roti canai di sini garing dan lazat apabila dipadankan dengan kuah dal yang sedap. Nasi dagang juga perlu dicuba, dan kami cadangkan anda ambil lauk tambahan yang berlainan sedikit, seperi burung puyuh goreng! Selain itu, terdapat pelbagai kuih muih melayu asli, mee rebus, laksa, bihun sup dan banyak lagi.
10. Restoran Jamal Mohamed – No. 24, Jalan SS 5a/9, Ss 5, 47301 Petaling Jaya, Selangor



Ah, meriah sungguh bersarapan di sini. Selain daripada pilihan masakan mamak termasuk pelbagai jenis roti, ada beberapa stall lain yang boleh membuat pengunjung rambang mata! Ini termasuklah char kuey teow terkenal, ‘Auntie Gemuk’ yang ‘simple’ tapi penuh rasa, yong tau foo, mee wan tan, tahu begedil, nasi kerabu dan nasi lemak kangkung.
Leave a comment