Adakah Haram Tengok Filem Spiderman Kerana Costumenya Ketat?

Soalan

Adakah haram tengok filem Spider-Man kerana costumenya ketat?

Penjelasan

Dibolehkan menonton filem Spiderman sekalipun watak utama mengenakan pakaian ketat. Namun sekiranya dengan sebab menonton filem itu boleh menaikkan syahwat maka haram hukum menontonnya.

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Suruhan Menundukkan Pandangan

Allah SWT memerintahkan kita agar sentiasa memelihara dan menjaga pandangan daripada melihat perkara-perkara yang haram. Firman Allah SWT:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ * وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.

[Surah an-Nur 24: 30-31]

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW telah bersabda:

يَا عَلِيُّ لاَ تُتْبِعِ النَّظْرَةَ النَّظْرَةَ فَإِنَّ لَكَ الأُولَى وَلَيْسَتْ لَكَ الآخِرَةُ

Maksudnya: Wahai Ali! Jangan kamu ikuti pandangan pertamamu dengan pandangan kedua dan selanjutnya. Milik kamu adalah pandangan yang pertama, tapi tidak yang kedua.

[Sunan Abi Dawud 2149]

Hukum Menonton Filem

Menonton filem atau drama dibenarkan selagi mana ia tidak mengandungi unsur-unsur maksiat. Namun, sekiranya terdapat unsur maksiat yang bercanggah dengan syarak di dalamnya, maka haram menontonnya.

Sebagai seorang mukmin yang prihatin dan cakna, adalah lebih baik untuk kita mencari alternatif lain sebagai tontonan. Justeru, kami menyarankan supaya menonton sesuatu yang boleh memberikan manfaat kepada diri seperti program-program berbentuk ilmiah yang boleh menambahkan ilmu pengetahuan. Ia adalah lebih baik bagi manfaat di dunia serta di akhirat kelak.

Firman Allah SWT:

أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya: Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.

[Surah al-Ra’d 13:2]

Hukum Lelaki Memakai Pakaian Ketat

Disyaratkan bagi orang yang menutup aurat untuk menutup kawasan auratnya sehingga ia menghalang menampakkan warna kulit. Disebutkan ciri-ciri menutup aurat di dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie karangan Dr. Zuhaili: 

في الساتر للعورة أن يمنع من إدراك لون البشرة، فلا يصف البشرة، كأن يكون الثوب من قماش ثخين، أو من جلد أو ورق، فإن ستر بما يظهر منه لون البشرة من ثوب رقيق فلا يجزئ، لأن الستر لا يحصل بذلك،ولا يشترط منع إدراك الحجم، لكنه للمرأة مكروه، وللرجل خلاف الأولى.

Maksudnya: Dalam menutup aurat, syaratnya ialah pakaian tersebut dapat menghalang daripada terlihatnya warna kulit, sehingga tidak menggambarkan warna kulit. Misalnya, pakaian itu diperbuat daripada kain yang tebal, kulit, atau daun. Jika aurat ditutup dengan pakaian yang menampakkan warna kulit seperti kain yang nipis, maka itu tidak mencukupi, kerana penutupan aurat tidak tercapai dengan cara tersebut. Tidak disyaratkan pakaian itu menghalang bentuk tubuh daripada terlihat, namun bagi wanita hal itu makruh, sedangkan bagi lelaki hukumnya khilaf aula. [Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, jld. 1, hlm. 211]

Imam al-Nawawi turut menyebutkan ciri-ciri ini di dalam kitabnya Raudhah al-Thalibin wa Umdah al-Muftin:

وَيَجِبُ سَتْرُ الْعَوْرَةِ، بِمَا يَحُولُ بَيْنَ النَّاظِرِ وَلَوْنِ الْبَشَرَةِ، فَلَا يَكْفِي الثَّوْبُ الرَّقِيقُ الَّذِي يُشَاهَدُ مِنْ وَرَائِهِ سَوَادُ الْبَشَرَةِ وَبَيَاضُهَا، وَلَا الْغَلِيظُ الْمُهَلْهَلُ النَّسِيجِ الَّذِي يُظْهِرُ بَعْضَ الْعَوْرَةِ مِنْ فُرَجِهِ، وَلَوْ سَتَرَ اللَّوْنَ وَوَصَفَ حَجْمَ الْبَشَرَةِ فَلَا بَأْسَ

Maksudnya: Wajib menutup aurat dengan sesuatu yang menghalang pandangan daripada melihat warna kulit. Oleh itu, tidak memadai memakai pakaian yang nipis yang dapat dilihat dari belakangnya warna kulit, sama ada hitam atau putih. Begitu juga, pakaian yang tebal tetapi jarang tenunannya sehingga sebahagian aurat terlihat melalui celah-celahnya. Namun, jika pakaian tersebut menutup warna kulit tetapi menampakkan bentuk tubuh, maka hukumnya tidak mengapa. [Rujuk Raudah al-Thalibin wa Umdah al-Muftin, jld. 1, hlm. 284]

Imam Khatib al-Syirbini turut membahaskan perkara ini ketika menjelaskan hukum bagi lelaki dan wanita yang mengenakan pakaian ketat ketika solat dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj:

أَمَّا إدْرَاكُ الْحَجْمِ فَلَا يَضُرُّ لَكِنَّهُ لِلْمَرْأَةِ مَكْرُوهٌ وَلِلرَّجُلِ خِلَافُ الْأُولَى

Maksudnya: Adapun terlihatnya bentuk tubuh (melalui pakaian) maka ia tidak mudarat (tidak membatalkan solat) akan tetapi makruh hukumnya bagi wanita dan bagi lelaki Khilaf Aula (lebih baik ditinggalkan). [Rujuk Mughni al-Muhtaj, jld. 1, hlm. 398]

Merujuk kepada kenyataan di atas, sah solat seseorang itu walaupun dia mengenakan pakaian ketat. Namun, kenyataan di atas hanya merujuk kepada seseorang yang berada di dalam solat. Sekiranya di luar solat maka haram hukumnya, baik lelaki mahupun wanita untuk memakai pakaian ketat kerana ia mampu menaikkan syahwat ajnabi yang melihatnya. Sabda nabi Muhammad SAW:

ونِساءٌ كاسِياتٌ عارياتٌ مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ

Maksudnya: Dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, cenderung kepada kemaksiatan dan membuat orang lain cenderung kepada kemaksiatan.

[Riwayat Muslim 2128]

Hukum ini tidak tertumpu kepada golongan wanita sahaja, akan tetapi ia juga merangkumi golongan lelaki. Mereka tidak boleh mengenakan pakaian yang ketat dan nipis sehingga boleh menampakkan bentuk aurat pada tubuh mereka apatah lagi mendedahkan anggota aurat sehingga menarik pandangan wanita ajnabi terhadapnya.

Firman Allah SWT:

قُل لِّلۡمُؤۡمِنَٰتِ يَغۡضُضۡنَ مِنۡ أَبۡصَٰرِهِنَّ

Maksud: Dan katakanlah kepada orang perempuan yang beriman supaya menundukkan pandangan mereka.

[Surah an-Nur 24:31]

Maka, dapat difahami bahawa golongan wanita juga perlu menjaga pandangan terhadap lelaki apatah lagi terhadap bentuk anggota aurat yang terdedah akibat dari pemakaian yang ketat yang diharamkan untuk dilihat. Begitu juga, golongan lelaki perlu menitikberatkan soal berpakaian dan tidak mengambil mudah soal menutup aurat dan berpakaian yang patuh syariah bagi mengelakkan pandangan wanita terhadap anggota badannya seterusnya menimbulkan fitnah.

Makna Melihat Dengan Syahwat

Imam al-Khatib al-Syirbini menjelaskan bahawa seorang lelaki melihat lelaki lain atau seorang wanita melihat wanita lain pada bukan aurat dengan syahwat juga adalah haram, beliau berkata:

(والمرأة) البالغة حكمها (مع امرأة) مثلها في النظر (كرجل) أي كنظر رجل (ورجل) فيما سبق، فيجوز مع الأمن ما عدا ما بين السرة والركبة، ‌ويحرم ‌مع ‌الشهوة وخوف الفتنة.

Maksudnya: Seorang wanita dewasa hukumnya dalam hal melihat wanita lain sama seperti seorang lelaki melihat lelaki lain. Oleh itu, diharuskan melihat dengan syarat tiada bahaya fitnah, kecuali (haram melihat) bahagian antara pusat dan lutut. Melihat dengan syahwat atau apabila dikhuatiri timbul fitnah adalah haram. [Rujuk Mughni al-Muhtaj, jld. 4, hlm. 213]

Beliau juga menjelaskan tentang makna melihat dengan syahwat pada bab hukum melihat seorang amrad (remaja yang belum tumbuh janggutnya) dengan mengutip kata-kata Imam al-Subki seperti berikut:

الْمُرَادُ بِالشَّهْوَةِ أَنْ يَكُونَ النَّظَرُ لِقَصْدِ قَضَاءِ وَطَرٍ بِمَعْنَى أَنَّ الشَّخْصَ يُحِبُّ النَّظَرَ إلَى الْوَجْهِ الْجَمِيلِ وَيَلْتَذُّ بِهِ. قَالَ: فَإِذَا نَظَرَ لِيَلْتَذّ بِذَلِكَ الْجَمَالِ فَهُوَ النَّظَرُ بِشَهْوَةٍ وَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: Makna melihat dengan syahwat ialah bahawa melihat dengan tujuan untuk memenuhi keinginan tertentu, dalam erti kata: seseorang suka melihat wajah yang cantik dan merasa nikmat dengannya. Dikatakan: apabila seseorang melihat untuk menikmati keindahan tersebut, maka itu dikategorikan sebagai melihat dengan syahwat, dan hukumnya adalah haram.  [Rujuk Mughni al-Muhtaj, jld. 4, hlm. 212]

Hukum Melihat Aurat Melalui Televisyen

Tidak haram melihat aurat melalui pantulan cermin sebagaimana yang difatwakan oleh sebahagian besar ulama dalam mazhab Imam al-Syafie kerana ia tidak dikira melihat aurat secara langsung, begitulah diqiyaskan isu ini ketika menonton televisyen. Namun, keharusan ini terpakai selagi mana ia tidak menimbulkan fitnah.

Akan tetapi apabila dibimbangi dengan kadar ghalabah az-zhan (berat sangka) gambar yang dilihat itu mampu menimbulkan maksiat, maka diharamkan untuk kita melihatnya berdasarkan kaedah Sadd al-Zarai’e, iaitu mencegah perkara-perkara harus yang boleh membawa kepada yang haram. Ini juga berdasarkan kaedah lain yang berbunyi:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.

Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara umumnya harus menonton filem Spiderman sekalipun watak utamanya mengenakan pakaian ketat kerana kita tidak melihat auratnya secara langsung. Namun, sekiranya filem tersebut terdapat unsur-unsur yang menyalahi syarak sehingga menontonnya boleh menimbulkan fitnah seperti menaikkan syahwat, maka haram menontonnya kerana ia membawa kepada maksiat.

Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).

[Surah al-Isra’ 17:32]

Kesimpulan

Bagi menjawab persoalan yang diajukan kami rumuskan seperti berikut:

  1. Dibolehkan menonton filem Spiderman walaupun watak utama mengenakan pakaian ketat kerana kita tidak melihat auratnya secara langsung.
  2. Sekiranya menonton filem Spiderman boleh membawa kepada fitnah seperti menimbulkan syahwat maka Haram hukum menontonnya.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.

Wallahu’aklam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑