Teks Khutbah Jumaat (WP): Menghargai Anugerah Terindah

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah. Laksanakan segala perintah dan hindari segala yang ditegah. Perbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW, semoga kita sentiasa dilimpahi rahmat dan barakah. Tumpukan perhatian kepada khutbah yang disampaikan dan tinggalkan perkara-perkara lagha yang meluputkan ganjaran solat Jumaat kita.

Hari ini khatib akan menyampaikan Khutbah Jumaat bertajuk “Menghargai Anugerah Terindah”.

Kaum Muslimin yang berbahagia,

Berada di bulan Rejab yang penuh keberkatan ini, pastinya membawa ingatan kita kepada peristiwa indah Israk dan Mikraj Rasulullah SAW. Peristiwa ini memperlihatkan betapa besarnya perhatian dan kasih Allah kepada Rasulullah SAW, khususnya sewaktu diuji dengan kematian dua insan tersayang; Saidatina Khadijah radiallahuanha, isteri yang amat dicintai dan Abu Thalib bapa saudara yang amat mendokong perjuangan Baginda.

Di malam itu, Allah SWT mengaturkan sebuah perjalanan istimewa yang memperlihatkan kebesaran-Nya bagi memperteguhkan iman dan keyakinan hamba dan kekasih-Nya. Inilah maksud firman Allah SWT dalam Surah al-Israk ayat pertama yang telah dibaca pada permulaan khutbah:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa, yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Sebagaimana yang kita maklumi bersama, di penghujung perjalanan ini Baginda menerima satu kurniaan anugerah untuk dikongsikan kepada seluruh umat. Imam at-Tirmidzi meriwayatkan bicara Anas bin Malik, katanya yang maksudnya: 

Difardhukan kepada Rasulullah SAW pada malam Israk solat lima puluh waktu, kemudian dikurangkan sehingga menjadi lima waktu. Setelah itu diseru: “Wahai Muhammad, Sesungguhnya ketetapan-Ku tidak akan diubah dan sesungguhnya bagimu dengan solat lima waktu ini ganjaran solat lima puluh waktu.”

Sungguh, solat merupakan anugerah. Anugerah terindah. Untuk menerima syariat solat, Rasulullah SAW diundang menghadap Allah azza wa jalla secara langsung. Ia tidak seperti pensyariatan ibadah-ibadah lain, yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan Jibril alaihissalam. Begitulah ciri-ciri anugerah, ia diterima tanpa pengantara. Bak hamba rakyat yang diundang ke istana, lantaran raja ingin menganugerahkan suatu darjat kebesaran. Dia pasti datang sendiri untuk menerimanya. 

Sesungguhnya, Rasulullah SAW dikurniakan anugerah solat lantaran Baginda amat memerlukannya. Begitu juga kita umat Baginda, kita perlukan solat sebagai azimat dalam menghadapi kehidupan di dunia. Dengan solat si hamba membina ingatan kepada Tuhannya, lalu memperoleh ketenangan jiwa. Inilah tujuan pemberian anugerah ini selaras firman Allah di dalam Surah Taha ayat 14:

إِنَّنِىٓ أَنَا ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعْبُدْنِى وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكْرِىٓ(١٤)

Maksudnya: Sesungguhnya Aku-lah Allah, tiada tuhan melainkan Aku, oleh itu, sembahlah Aku, dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.

(Surah Taha 20:14)

Sesungguhnya, solat bertujuan untuk mengingati Allah, tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa menentukan segalanya. Ingatan kepada Allah akan menenangkan jiwa kerana yakin kepada kesempurnaan percaturan-Nya. Jiwa yang mengingati Allah inilah yang membekalkan ketenangan kepada setiap insan dalam mengharungi segala cabaran hidup di dunia. Hakikat ini jelas dinyatakan firman Allah dalam Surah ar-Ra’d ayat 28;

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ(٢٨)

Maksudnya: Mereka itulah orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah (ingatan kepada Allah). Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.

(Surah Ar-Ra’d 13:28)

Inilah matlamat solat, anugerah terindah buat Rasulullah SAW dan umat Baginda yang menjana ketenangan jiwa dalam menghadapi apa juga ketentuan takdir di sepanjang perjalanan hidup kita di dunia. Namun persoalannya, sudahkan kita memperolehinya?

Saudara-saudaraku yang dikasihi,

Hargailah anugerah ini. Jadikanlah ia azimat yang kita genggam erat dan pelihara sebaiknya. Berbahagialah mereka yang sentiasa memelihara, menyempurnakan dan memperelokkan solatnya. Selaras itu, beberapa langkah perlu disusun bagi memastikan anugerah solat ini kekal terpelihara dan memberkati hidup kita, antaranya:

Pertama: Kuasai Ilmu untuk Mendirikan Solat dengan Sempurna

Hadiri kelas-kelas pengajian untuk memastikan kita mendapat suluhan ilmu untuk bersolat sepertimana solat baginda Rasulullah SAW. Lihatlah apa yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW kepada orang yang mendirikan solat dengan sempurna, lahir dan batinnya. Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin ‘Affan radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Tiada seorang Muslim yang menghadiri solat fardu, lalu dia memperelokkan wuduknya, khusyuknya dan rukuknya, melainkan itu menjadi penghapus apa yang telah lalu daripada dosa-dosanya, selagi dia tidak berbuat dosa besar. Ketetapan ini kekal sepanjang masa.

Kedua: Hadiri Solat Berjemaah

Terlalu banyak hikmah dan kelebihan solat berjemaah yang masih diabaikan oleh kaum Muslimin secara khususnya. Meninggalkannya bererti membuka ruang kehidupan kita untuk dikuasai syaitan. Jelas peringatan ini dalam hadis riwayat Abu Daud daripada Abu ad-Dardak, sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: Tiadalah yang tinggal bertiga, samada di kampung atau di pedalaman yang tidak didirikan solat (berjemaah) di penempatan mereka, melainkan mereka akan dikuasai syaitan. Maka hendaklah kamu berjemaah, kerana sesungguhnya serigala itu hanya memakan kambing yang bersendirian (menjauhi kumpulannya).

Ketiga: Wariskan Solat Kepada Anak Cucu

Jangan mati melainkan setelah pasti anak cucu kita adalah zuriat yang mendirikan solat. Ia anugerah terbesar warisan para rasul yang perlu diwariskan kepada mereka. Dengan memelihara solat, mereka akan menjadi zuriat soleh yang sentiasa mendoakan kita.

Para Tetamu Allah yang diberkati,

Bersama sambutan Israk dan Mikraj yang akan kita diraikan pada 27 Rejab saban tahun dan sambutan Hari Kastam Sedunia Kali Ke-43, kita mengambil kesempatan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT dan mendoakan perlindungan dan keselamatan kaum muslimin di seluruh negara, khasnya buat seluruh warga kastam, yang berkhidmat dengan penuh dedikasi untuk terus memacu kesejahteraan dan menuju kemakmuran negara kita Malaysia. Semoga segala jasa dan sumbangan yang dicurahkan dalam memelihara kestabilan ekonomi dan keharmonian negara akan diganjari dan dinilai sebagai amal bakti di sisi Allah SWT.

Renungi firman Allah SWT di dalam Surah Ibrahim ayat 40:

رَبِّ ٱجْعَلْنِى مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِى ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَآءِ(٤٠)

Maksudnya, “Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim 14:40)

Tarikh Bacaan: 24 Rejab 1446H | 24 Januari 2025M
Disediakan Oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑