Teks Khutbah Jumaat:  Suburkan Iman, Cintai Wilayah Persekutuan

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

إِنَّ ٱللَّهَ يَأْمُرُ بِٱلْعَدْلِ وَٱلْإِحْسَـٰنِ وَإِيتَآئِ ذِى ٱلْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ ٱلْفَحْشَآءِ وَٱلْمُنكَرِ وَٱلْبَغْىِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ (٩٠)

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan Dia melarang kamu dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”

(Surah Al-Nahl 16:90)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Bersyukurlah kita masih diberikan peluang hidup hari ini. Teruskanlah perkukuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Tetaplah melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Bersegeralah masuk ke masjid. Tinggalkan segala gajet. Tumpukan khutbah disampaikan khatib. 

Ayuh bersama hayati khutbah bertajuk “Suburkan Iman, Cintai Wilayah Persekutuan”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Tiga dalam satu. Itulah ungkapan ringkas yang menggambarkan kebijaksanaan pemimpin kita apabila tiga buah kawasan diurus tadbir oleh satu pentadbiran yang diberi nama Wilayah Persekutuan. Sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari setiap tahun bertujuan bagi memperingati hari pengisytiharan gabungan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Hari demi hari, kotaraya ini terus menggamit anak muda untuk berkehidupan di sini. Demi mencari rezeki, langkah terus diatur seawal pagi, terkadang pulang menjelang dinihari, buat menafkahi anak dan isteri, lantaran mengharap redha Ilahi. Jika ditanya, siapakah yang ingin hidup sengsara?

Pastinya, kita semua mengharapkan untuk hidup dengan aman dan bahagia. Begitu jugalah aspirasi dan matlamat pemimpin kita. Mentadbir negara ini dengan mengambil ibrah peringatan daripada firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 90 yang dibacakan pada permulaaan khutbah, bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi bantuan kepada kaum kerabat, dan Dia melarang kamu dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.”

Selaras tuntutan ini, hari ini kita dapat melihat negara kita amnya dan Wilayah Persekutuan kita khasnya, telah dan sedang membangunkan kemakmuran secara mampan lagi seimbang antara sosio budaya, agama dan ekonomi.

Tetamu Allah Yang Diberkati,

Sagu tidak akan dinikmati jika ruyungnya tidak dipecahkan. Begitulah dengan segala nikmat dan kejayaan yang dicapai oleh Wilayah Persekutuan hari ini. Sudah tentunya adalah hasil garapan dan peranan semua pihak termasuklah komitmen kerajaan, sektor korporat, pemain-pemain industri dan komuniti setempat dalam menggembleng tenaga memastikan kemajuan pembangunan dan perkembangan sosio-ekonomi sentiasa seiring. Ironinya, kita seluruh rakyat menikmati kehidupan yang sejahtera, harmoni, kondusif dan mampan.

Wilayah Persekutuan merupakan nadi yang menjana pertumbuhan ekonomi negara serta menjadi lubuk peluang pekerjaan bagi komuniti Wilayah Persekutuan malah seluruh Negara. Di sini jugalah terletaknya pusat pentadbiran kerajaan yang menjadi pemacu pemerintahan Negara. 

Justeru, sebagai warga Wilayah Persekutuan, kita hendaklah bertekad dan berganding bahu menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai sebuah wilayah yang penuh dengan nilai perpaduan, keharmonian dan mempunyai pembangunan yang seimbang. Sesungguhnya, nikmat kurniaan Allah SWT ini perlu dicintai, dipelihara dan dihargai.

Jika kita tidak mampu mencurah keringat untuk membersihkan, usahlah kita menjadi tangan yang membuat kekotoran. Andai benar anda cintakan tanah air, tidak perlu menunggu untuk kita menjadi pemimpin utama mahupun arkitek ternama. Cukup sekadar warga biasa yang bertanggungjawab memelihara kebersihan, keamanan dan keharmonian bersama. Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT dalam Surah Saad ayat 26:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰدَاوُۥدُ إِنَّا جَعَلْنَـٰكَ خَلِيفَةًۭ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱحْكُم بَيْنَ ٱلنَّاسِ بِٱلْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ ٱلْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌۭ شَدِيدٌۢ بِمَا نَسُوا۟ يَوْمَ ٱلْحِسَابِ(٢٦)

Bermaksud: “Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar (hukum syariat) dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan apa yang mereka lupakan itu.”

(Surah Saad 38:26)

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,

Kita seharusnya menyemat rasa kekitaan (sense of belongings) dan bersyukur kerana menjadi warga “Wilayah Bumi Bertuah” ini. Tanpa mengira bangsa dan agama, kita hendaklah bersama-sama berganding bahu menjadikan Wilayah Persekutuan lebih maju dan lestari untuk didiami. 

Aspek kebersihan misalnya hendaklah dititikberatkan selaras dengan tuntutan agama. Kempen Bersih Setiap Tempat (BeST) adalah satu inisiatif Wilayah Persekutuan yang bertujuan memberi galakan kepada masyarakat untuk menjaga kebersihan di setiap ruang sama ada di rumah, tempat kerja, sekolah, taman awam dan kawasan persekitaran kita. Kempen ini dapat mendidik dan memberi kesedaran agar semua anggota masyarakat bertanggungjawab terhadap kebersihan di seluruh tempat yang disinggahi dan diami.

Aspek kesejahteraan dan kebajikan rakyat pula sentiasa menjadi keutamaan di Wilayah Persekutuan. Satu inisiatif pembasmian kemiskinan telah dilakukan iaitu Program Usaha Jaya Insan (PUJI), bertujuan menjana sosio ekonomi melalui aktiviti penjanaan pendapatan rakyat yang menumpukan kepada pengupayaan golongan miskin supaya dapat meningkatkan potensi pendapatan mereka. PUJI merupakan program flagship di Jabatan Wilayah Persekutuan, sebagai satu strategi menoktahkan kemiskinan tegar secara berterusan di Wilayah Persekutuan. Insya Allah, mereka akan keluar dari kepompong kemiskinan dan dapat menyumbang pula kepada komuniti melalui pembayaran zakat khasnya dan sumbangan lain secara umum.

Di samping itu, pelbagai program dan acara telah disusun dan akan dianjurkan bagi menghargai kemakmuran dan kesejahteraan yang telah dikecapi bersama warga Wilayah Persekutuan. Penganjuran program Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 ini bermula pada Januari hingga penghujung Februari 2025 bertujuan menghargai dan apresiasi kepada seluruh warga komuniti yang menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran Wilayah Persekutuan. Ia juga bertujuan menyemarakkan semangat muhibbah, rasa sayangkan Wilayah Persekutuan dan menerapkan semangat kekitaan yang menjadi asas kepada perpaduan antara kaum.

Kaum Muslimin Yang Berbahagia,

Ayuh bersama kita tanamkan rasa cinta dan kasih terhadap Bumi Bertuah Wilayah Persekutuan ini. Bersama rasa cinta, kita akan lebih bersungguh-sungguh memelihara dan membangunkan wilayah indah ini.

Sesungguhnya, cintakan tanah air adalah lambang iman. Lihatlah bagaimana cinta Rasulullah SAW terhadap bumi Mekah sepertimana gambaran hadis riwayat Imam al-Tirmidzi daripada Ibnu Abbas radiallahuanhuma, sabda Baginda yang maksudnya: 

“Alangkah baiknya dirimu wahai Makkah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, nescaya aku tidak akan tinggal selain daripadamu.”

Akhir kalam, khutbah hari ini menekankan perkara berikut:

Pertama: Allah SWT memerintahkan kita untuk berlaku adil dalam semua perkara termasuklah kepada tanah air yang kita diami.

Kedua: Jalinkan kebersamaan dan berikan komitmen dengan semua pihak yang berkaitan bagi memacu kemajuan, keamanan dan kestabilan di seluruh Wilayah Persekutuan.

Ketiga: Tanamkanlah rasa cinta terhadap bumi bertuah ini kerana itulah lambang keimanan sebagaimana yang dianjurkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Marilah bersama kita hayati firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 117:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَمَا كَانَ رَبُّكَ لِيُهْلِكَ ٱلْقُرَىٰ بِظُلْمٍۢ وَأَهْلُهَا مُصْلِحُونَ(١١٧)

Bermaksud: “Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri”.

(Surah Hud 11:117)

Tarikh Bacaan: 1 Syaaban 1446H | 31 Januari 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan MasjidJabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑