Soalan
Bagaimanakah caranya Rasulullah SAW turun untuk sujud ketika solat? Adakah Baginda SAW mendahulukan kedua tangannya atau kedua lututnya?
Penjelasan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Sujud merupakan salah satu rukun di dalam solat. Tanpa bersujud, maka tidak dinamakan ianya sebagai solat. Begitu juga jika tidak dipenuhi syarat-syaratnya maka ianya tidak dinamakan sebagai sujud. Pensyariatan sujud telah sabit di dalam Al-Quran, hadith dan ianya juga adalah ijmak para ulama’.
Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱرۡكَعُواْ وَٱسۡجُدُواْۤ وَٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمۡ وَٱفۡعَلُواْ ٱلۡخَيۡرَ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadatlah kepada Tuhan kamu (dengan mentauhidkanNya), serta kerjakanlah amal-amal kebajikan; supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
(Al-Hajj 22:77)
Dalam sebuah hadith riwayat Al-Bukhari, telah masuk ke dalam masjid seorang lelaki dan kemudiannya telah solat namun telah ditegur oleh Nabi SAW bahawa solatnya tidak sah dan Baginda SAW menyuruh lelaki tersebut untuk mengulangi solatnya. Ianya berlarutan sehingga Nabi SAW menegurnya sebanyak tiga kali dan akhirnya lelaki tersebut meminta Nabi SAW untuk mengajarnya solat.
Sabda Nabi SAW di dalam sebahagian hadith tersebut:
…ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِيَ وَتَطْمَئِنَّ جَالِسًا، ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا
Maksudnya: “…kemudian sujud (dengan toma’ninah), kemudian angkatlah kepala mu dan duduk dalam keadaan toma’ninah kemudian sujud (buat kali kedua juga dalam keadaan toma’ninah)…”
Riwayat Al-Bukhari (6667)
Begitu juga telah berlaku ijmak dikalangan muslimin dari kalangan salaf dan khalaf dan tidak ada siapapun yang mengingkarinya.
Kaifiat Sujud
Nas-nas menunjukkan bahawa sujud telah sabit di dalam Al-Quran, hadith dan juga ijmak. Namun, terdapat beberapa pandangan yang berbeza mengenai kaifiat sujud di dalam solat dan ianya terdapat di dalam perbahasan fiqh. Antara perkara yang menjadi khilaf dikalangan para ulama’ adalah sifat ketika ingin turun sujud, adakah perlu diturunkan kedua tangan dahulu ataupun kedua lutut?
Di dalam permasalahan ini, terdapat dua pendapat yang masyhur:
- Pertama: Hendaklah mendahulukan kedua lutut dahulu kemudian barulah kedua tangan. Ini merupakan pendapat mazhab al-Hanafiah, al-Syafi’eyyah dan juga al-Hanabilah.
- Kedua: Hendaklah mendahulukan kedua tangan dahulu kemudian barulah kedua lutut. Ini pula merupakan pendapat mazhab al-Imam Malik, al-Imam al-Auza’ie dan juga salah satu dari pendapat al-Imam Ahmad bin Hanbal Rahimahumullah.
Kesimpulan
Melihat kepada kedua-dua pendapat, kami katakan di sini bahawa isu samaada ingin turun tangan ataupun lutut terlebih dahulu adalah permasalahan khilaf yang muktabar yang padanya terdapat dalil-dalil serta pendapat para ulama’ yang digunakan bagi menyokong kedua-dua pendapat.
Ini jelas apabila al-Imam al-Nawawi Rahimahullah sendiri menyebutkannya di dalam Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab yang mana beliau menyebut: “tidak jelas tarjih bagi salah satu mazhab di dalam permasalahan ini dari aspek sunnah”, kemudian beliau mendatangkan kedua-dua pendapat di dalam permasalahan ini beserta dengan dalilnya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, 3/421)
Begitu juga dengan pendapat Syeikh Abd al-Aziz Marzuq al-Tarifi Hafizahullah di awal perbincangan mengenai permasalahan ini di dalam kitabnya Sifat Solat al-Nabi, yang mana beliau mengatakan: “Adapun dalam al-marfu’ (mengenai keadaan hadith-hadith di dalam permasalahan ini), tidak satupun yang sabit padanya”.
Kami nukilkan di sini pendapat daripada Syeikh Abd al-Aziz Marzuq al-Tarifi Hafizahullah yang mana setelah beliau membincangkan permasalahan ini di dalam kitabnya, Sifat Solat al-Nabi lantas mengatakan di akhir perbincangan: “Para ulama’ terhadap permasalahan ini panjang perbahasannya dan orang yang menunaikan solat boleh memilih apa yang sesuai dengan keadaannya (samaada ingin mendahulukan kedua lutut kemudian kedua tangan atau sebaliknya). Itulah yang paling utama. Sebahagian manusia ada yang bertubuh besar, ada juga yang berbadan kecil maka bolehlah dipilih mana yang memudahkan mereka. Oleh itu, dalam hal ini tidak sahih suatupun yang marfu’ padanya”. (Lihat Sifat Solat al-Nabi. Maktabah Dar al-Minhaj, hlm. 130)
Kami juga berpendapat bahawa mereka yang solat boleh memilih di antara dua pendapat yang telah dinukilkan seperti di awal perbincangan dan bagi kami keduanya boleh diamalkan.
Berkeras di dalam hal ini dengan mengatakan hanya satu pendapat sahaja yang betul dan wajib mengikutinya serta mengatakan solat orang lain tidak sah adalah pendapat yang ekstrim yang mana boleh menutup pintu-pintu serta ruang perbincangan ilmiah.
Adapun para ulama’ yang telah berbeza pendapat di dalam permasalahan ini, mereka telahpun berijtihad dan ijtihad mereka itu bukanlah ijtihad yang kosong tanpa memerah keringat untuk memahami nas dan seharusnya mereka diberikan kredit di atas usaha yang telah dilakukan. Jika benar dan tepat ijtihadnya, maka mereka mendapat dua pahala dan jika mereka tersilap hanya mendapat satu pahala sahaja sesuai dengan sabda Nabi SAW:
إِذَا حَكَمَ الْحَاكِمُ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَصَابَ، فَلَهُ أَجْرَانِ، وَإِذَا حَكَمَ فَاجْتَهَدَ ثُمَّ أَخْطَأَ، فَلَهُ أَجْرٌ
Maksudnya: Jika menghukum seorang hakim dan dia telah berijtihad, jika benar (apa yang diijtihadkan) baginya dua ganjaran. Jika dia mengeluarkan hukum dan dia telah berijtihad kemudian tersalah (ijtihadnya), baginya hanya satu ganjaran.
Riwayat Al-Bukhari (7352) & Muslim (1716)
Wallahu a’lam.
Sumber: PMWP
Leave a comment