Sifat 20 Allah SWT Berserta Maksudnya

1. Wujud (وجود)

Sifat wujud merujuk kepada Diri (Zat) Allah yang ada. Zat Allah itu ghaib dan tidak boleh dilihat makhluk hingga ke akhirat. Hanya ahli Syurga sahaja yang akan dapat  melihat Allah dengan mata sendiri. Inilah nikmat terbesar yang dijanjikan Allah untuk hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Zat Allah yang ghaib itu wujud. Dikatakan bahawa sifat nafsiah ini tidak maujud (tidak ada) pada mata iaitu tidak dapat dilihat mata kasar. 

Namun ia maujud (ada) pada akal iaitu akal dapat menerima bahawa Zat Allah itu wujud. Jika Allah tidak wujud ertinya Allah itu bersifat adam (tiada). Ini adalah mustahil pada akal kerana tidak mungkin alam terjadi tanpa ada yang menjadikannya. 

Allah lah yang menjadikan alam semesta. Ia merupakan bukti utuh akan kewujudan Allah SWT sebagai Pencipta segalanya.

Dalil:

ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا فِى سِتَّةِ أَيَّامٍۢ

“Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa..”

(Surah As-Sajdah 32:4)

2. Qidam (قدم)

Allah sedia adanya. Allah tidak ada permulaan. Allah tidak dijadikan. Allah tidak dari sesuatu. Sifat qidam menafikan dan menolak bahawa Allah itu ada permulaan (dari tidak ada menjadi ada) atau Allah dijadikan dari sesuatu.

Dalil:

هُوَ ٱلْأَوَّلُ وَٱلْـَٔاخِرُ

“Dia lah Yang Awal dan Yang Akhir..”

(Surah Al-Hadid 57:3)

3. Baqa’ (بقاء)

Allah adalah kekal. Allah tidak berubah. Allah tidak akan musnah. Sifat baqa’ menafikan dan menolak bahawa Allah itu berubah iaitu dari tiada menjadi ada, atau dari kecil menjadi besar, atau dari muda menjadi tua dan seterusnya. Sifat baqa’ juga menolak Allah ada kesudahannya (musnah). Allah tidak berubah maka Allah akan kekal berterusan tanpa awal tanpa akhir.

Dalil: 

وَيَبْقَىٰ وَجْهُ رَبِّكَ ذُو ٱلْجَلَـٰلِ وَٱلْإِكْرَامِ 

“Dan akan kekalah Zat Tuhanmu yang mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan” 

(Surah Ar-Rahman 55:27)

4. Mukhlafatuhu lil hawaditsi (ﻣﺨﺎﻟﻔﺘﻪ ﻟﻠﺤﻮﺍﺩﺙ)

Allah tidak bersifat baharu. Sifat baharu adalah sifat alam (makhluk). Allah tidak sama dengan makhluk. Maka sifat mukhalafatuhu lil hawadits menafikan dan menolak bahawa Allah bersifat sama dengan makhluk (alam).

Dalil:

لَيْسَ كَمِثْلِهِۦ شَىْءٌۭ

“Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya, dan pentadbiranNya)”

(Surah Ash-Shuraa 42:11)

5. Qiyamuhu Binafsihi (ﻗﻴﺎﻣﻪ ﺑﻨﻔﺴﻪ)

Allah berdiri dengan sendirinya bererti Allah tidak perlu kepada sesuatu. Allah tidak perlu kepada tempat. Allah tidak perlu kepada masa. Segala sesuatu adalah ciptaan Allah. Allah tidak perlu kepada apa yang diciptakanNya. Sifat kiamuhu binafsi menafikan dan menolak bahawa Allah perlu kepada sesuatu.

Dalil:

 إِنَّ ٱللَّهَ لَغَنِىٌّ عَنِ ٱلْعَـٰلَمِينَ

“..Sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.”

(Surah Al-Ankabut 29:6)

6. Wahdania (ﻭﺣﺪﺍﻧﻴﺔ)

Allah itu esa atau tunggal. Tidak ada yang sama seperti Allah. Sifat wahdania menafikan dan menolak bahawa ada yang lain yang sama seperti Allah.

Dalil: 

قُلْ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ

“Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;”

(Surah Al-Ikhlas 112:1)

7. Qudrah (ﻗﺪﺭﺓ)

Qudrah ertinya berkuasa/penguasa. Sifat ini menunjukkan Allah lah yang maha berkuasa. Allah berkuasa mengadakan dan meniadakan tiap-tiap suatu tanpa memerlukan alat dan bahan. Adapun kita hendak membuat suatu memerlukan  bahan, seperti kerusi yang memerlukan kayu, dan lainnya. 

Dalil:

إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ

“…sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(Surah Al-Baqarah 2:20)

8. Iradah (ﺇﺭﺍﺩﺓ)

Sifat iradah Allah ertinya Allah berkehendak dan pekehendak. Setiap sesuatu yang ada dan berlaku di dalam alam ini semuanya adalah kehendak dan kemahuan Allah bukan kerana terpaksa, tersalah, lalai dan lainnya.

Dalil:

فَعَّالٌۭ لِّمَا يُرِيدُ 

“Yang berkuasa melakukan segala yang dikehendakinya.”

(Surah Al-Buruj 85:16)

9. Ilmu (ﻋﻠﻢ)

Sifat ilmu Allah bermaksud Allah mengetahui segala-galanya samada yang lepas, yang sedang dan yang akan datang, Dia mengetahui yang tersembunyi dan yang nyata, tidak ada suatu perkara yang terlepas dari pengetahuanNya.

Dalil: 

وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ

“…dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.

(Surah Al-Hujurat 49:16)

10. Hayat (ﺣﻴﺎﺓ)

Hayat bermaksud hidup. Allah hidup tidak seperti hidup makhluk, Dia hidup tidak dengan perantaraan daging darah, bernafas dan sebagainya. HidupNya tiada permulaan dan kesudahan.

Dalil: 

وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱلْحَىِّ ٱلَّذِى لَا يَمُوتُ

“Dan berserahlah engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati;”

(Surah Al-Furqan 25:58)

11. Sama’ (ﺳﻤﻊ)

Sama’ bermaksud Allah maha mendengar/pendengar. Allah mendengar tidak dengan gegendang telinga dan tidak dengan perantaran gelumbang bunyi. Berkata Imam Abu Hasan Asy’ari, “Allah mendengar yang bersuara dan yang tiada bersuara”.

Mustahil Allah SWT tuli / pekak (ىانص), tidak jelas pendengaranNya atau pendengaranNya ada had.

Dalil:

وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

“Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah Al-Baqarah 2:256)

12. Basar (ﺑﺼﺮ)

Basar bermaksud Allah maha melihat/pelihat. Penglihatan Allah tidak dengan mata, tidak  terdinding, dan tidak dengan perantara cahaya. Mustahil Allah buta atau kabur penglihatanNya atau pengelihatanNya terdinding.

Dalil:

وَٱللَّهُ بَصِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

“dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan”

(Surah Al-Hujurat 49:18)

13. Kalam (ﻛﻼ ﻡ)

Kalam bermaksud berkata-kata yakni Allah berkata-kata tidak berhuruf, dan tidak bersuara. Allah SWT berkata-kata dengan sifat pekata yang ada pada zatnya, Dia tidak berkata-kata dengan mulut. Mustahil Allah bisu atau kelu yang membawa kepada kekurangan.

Dalil:

وَكَلَّمَ ٱللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيمًۭا

“Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).”

(Surah Al-Nisa’ 4:164)

14. Kaunuhu Qadiran (ﻛﻮﻧﻪ ﻗﺎﺩﺭﺍ)

Kaunuhu Qadiran ertinya Allah dalam keadaan berkuasa. Allah SWT bersifat dengan keadaan-Nya yang Maha Berkuasa dan bersifat Penguasa.

Dalil: 

إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍۢ قَدِيرٌۭ

“…sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(Surah Al-Baqarah 2:20)

15. Kaunuhu Muridan (ﻛﻮﻧﻪ ﻣﺮﻳﺪﺍ)

Kaunuhu Muridan ertinya Allah SWT dalam keadaan berkemahuan/berpekehendak.

Dalil:

إِنَّ رَبَّكَ فَعَّالٌۭ لِّمَا يُرِيدُ 

“Sesungguhnya Tuhanmu, Maha Kuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.”

(Surah Hud 11:107)

16. Kauhunu ‘Aliman (ﻛﻮﻧﻪ ﻋﺎﻟﻤﺎ)

Kaunuhu ‘Aliman ertinya Allah SWT dalam keadaan mengetahui, mempunyai sifat pengetahuan.

Dalil:

وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌۭ

“…dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.

(Surah Al-Hujurat 49:16)

17. Kaunuhu Haiyan (ﻛﻮﻧﻪ ﺣﻴﺎ)

Kaunuhu Hayyan ertinya Allah SWT dalam keadaan hidup. 

Dalil: 

وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱلْحَىِّ ٱلَّذِى لَا يَمُوتُ

“Dan berserahlah engkau kepada Allah Tuhan Yang Hidup, yang tidak mati;”

(Surah Al-Furqan 25:58)

18. Kaunuhu Sami’an (ﻛﻮﻧﻪ ﺳﻤﻴﻌﺎ)

Kaunuhu Sami’an ertinya Allah SWT dalam keadaan mendengar.

Dalil:

وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

“Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah Al-Baqarah 2:256)

19. Kauhuhu Basiran (ﻛﻮﻧﻪ ﺑﺼﻴﺭﺍ)

Kaunuhu Basiran ertinya Allah SWT dalam keadaan melihat.
Dalil:

وَٱللَّهُ بَصِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ

“dan Allah Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan”

(Surah Al-Hujurat 49:18)

20. Kaunuhu Mutakaliman (ﻛﻮﻧﻪ ﻣﺘﻜﻠﻤﺎ)

Kaunuhu Mutakalliman ertinya Allah SWT dalam keadaan berkata-kata.

Dalil: 

وَكَلَّمَ ٱللَّهُ مُوسَىٰ تَكْلِيمًۭا

“Dan Allah telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan).”

(Surah Al-Nisa’ 4:164)

Rujukan: Sifat 20 Satu Pengenalan Asas. Ustaz Muhadir Haji Joll.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑