أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَـٰرَةٍۢ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍۢ(١٠) تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَتُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌۭ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ(١١)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang menyelamatkan kamu dari azab yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela agama Allah dengan harta dan diri kamu; yang demikian lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.” (Surah As-Saf 61: 10-11)
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah, laksanakan segala perintah dan hindari segala yang ditegah. Semoga kehidupan kita sentiasa dalam naungan rahmat, maghfirah dan barakah. Berikan tumpuan seketika kepada khutbah yang disampaikan dan tinggalkan semua perlakuan yang sia-sia. Alangkah rugi jika ruang zikrullah yang menjanjikan ketenangan ini kita sia-siakan dengan minda dan jiwa yang masih leka dengan dunia.
Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: “Pembelaan Palestin, Menuntut Prihatin”.
Kaum Muslimin yang berbahagia,
Alhamdulillah, pada 19 Januari 2025 lalu, persetujuan gencatan senjata di antara Hamas dan regim Zionis Israel dimeterai. Sepanjang tempoh 15 bulan, Kementerian Kesihatan Gaza merekodkan lebih 46 ribu penduduk Gaza terbunuh. Agensi antarabangsa pula menganggarkan jumlah sekitar 60 ribu orang kerana banyak jenazah yang masih tertimbus di bawah runtuhan. Bilangan yang mengalami kecederaan pula mencecah 110 ribu orang.
Meskipun diserang bertubi-tubi, diusir ke selatan Gaza, terkepung dan kehabisan bekalan makanan, Israel gagal menghapuskan Hamas dan Angkatan Pertahanan Briged al-Qassam untuk menduduki Gaza. Sebaliknya Israel akhirnya berundur keluar dan menerima kekalahan yang memalukan sehingga Ketua Turus Angkatan Tentera Israel melepaskan jawatannya. Netanyahu juga terpaksa akur dan bersetuju membebaskan 2000 rakyat Palestin yang dipenjara dengan pertukaran 100 rakyat Israel tawanan Hamas.
Kini hampir 2 juta penduduk sudah mula bergerak ke utara Gaza, pulang ke kediaman mereka yang sudah musnah dibedil rejim Zionis. Mereka termasuk kanak-kanak tanpa penjaga, wanita hamil, warga emas, individu yang cedera dan menghidap penyakit kronik, orang kurang upaya dan mereka yang masih memerlukan rawatan perubatan. Sesungguhnya mereka perlukan bantuan dan sokongan untuk bangkit semula meneruskan kehidupan, sedang ia tawaran besar daripada Allah SWT buat kita semua.
Renungi firman Allah dalam Surah as-Saf ayat 10 dan 11 yang menjadi mukadimah khutbah, bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang menyelamatkan kamu dari azab yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela agama Allah dengan harta dan diri kamu; yang demikian lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”
Hadirin Jumaat yang dikasihi,
Malu kita di hadapan Allah apabila saudara-saudara kita dizalimi sedemikian rupa tanpa kita dapat melakukan apa-apa. Kita hanya menyaksikan mereka dibunuh dan dibakar hidup-hidup tanpa mampu membela. Setiap hari ratusan kanak-kanak dan wanita mati bergelimpangan di jalanan akibat diserang tanpa rasa kesal di jiwa. Khutbah ini bukan bertujuan untuk mengulas kisah penderitaan penduduk Gaza. Sekadar ingin memaparkan kisah-kisah iman dan keberanian mereka agar menjadi muhasabah buat diri kita. Untuk menilai sejauh manakah keyakinan kita terhadap Allah SWT.
Ulangan watak al-Khansa, ibu yang kehilangan semua tiga orang anak lelakinya di medan jihad al-Qadisiyah bagaikan terpapar semula di Gaza. Subhanallah, ibu-ibu di Gaza saling mengucapkan tahniah kepada mereka yang anak-anak dan suaminya gugur syahid. Seorang ibu bernama Ummu Ahmad, yang kematian empat anak lelaki, seorang anak perempuan dan suaminya yang masih tidak dijumpai setelah menjadi sasaran serangan bom Israel, mengungkapkan kata-kata, “Kami masih memiliki kain putih untuk mengkafankan jenazah-jenazah kami, namun kami tidak temui secebis pun kain putih untuk menyerah kalah kepada musuh.”
Inilah kemenangan sebenar. Warga Palestin di Gaza telah menang di sisi Allah SWT. Mereka yang gugur sebagai syahid kerana mempertahankan tanah air pasti memenangi syurga yang abadi. Sementara yang masih hidup juga menang lantaran meraih ganjaran besar di atas kesabaran dan keteguhan iman dalam menghadapi ujian hebat ini. Allah SWT tidak pernah meninggalkan mereka. Malah sentiasa memerhatikan gelagat musuh-musuh-Nya dan pasti menurunkan azab tepat pada waktunya. Lantaran keyakinan itu, mereka sering mengulangi zikir yang menyatakan penyerahan hanya kepada Allah SWT semata;
”Cukup bagi kami Allah dan Dia-lah sebaik-baik Wakil.”
Benarlah janji Allah di dalam Surah Ali Imran ayat 160:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
إِن يَنصُرْكُمُ ٱللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا ٱلَّذِى يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعْدِهِۦ ۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ(١٦٠)
Maksudnya: “Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu dan jika Dia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.”
(Surah Ali Imran 3:160)
Saudara-saudaraku yang dikasihi,
Kita di sini bagaimana? Bersama keamanan dan keselesaan usahlah kita lupa pada saudara kita di sana. Sesungguhnya kita punya tanggungjawab untuk membantu dan membela saudara seagama. Tuntutan ukhuwah Islamiah tidak pernah mengenal batas-batas negara dan bangsa. Sebagai umat Islam kita semua bersaudara untuk saling membantu, membela dan menghapuskan kezaliman yang dilakukan ke atas mereka. Gambaran jiwa mukmin dinyatakan dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim daripada an-Nu’man bin Basyir radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Perumpamaan orang-orang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi ibarat satu tubuh. Jika satu anggota sakit, maka seluruh tubuh akan tidak tidur malam dan mengalami demam.”
Islam menuntut keprihatinan umatnya kepada saudara seagama yang kesakitan. Marilah bersama hulurkan bantuan, sumbangan dan sokongan moral kepada saudara-saudara kita di Palestin. Terharu melihat anak-anak Gaza menikmati makanan berkhasiat dan masakan panas sebaik gencatan senjata dilaksanakan. Ratusan trak bantuan kemanusiaan mula memasuki Gaza setiap hari membekalkan makanan, air minuman, ubat-ubatan dan keperluan asas di saat mereka menghadapi musim sejuk. Namun, masih banyak yang perlu kita lakukan untuk mereka meneruskan kehidupan.
Semoga seluruh umat Islam akan terus menghulurkan bantuan untuk mendokong pembangunan semula Gaza dan kehidupan saudara kita di bumi barakah ini. Kita juga sentiasa dan terus mendoakan kesejahteraan dan keamanan berpanjangan buat bumi Palestin dan seluruh negara umat Islam di dunia.
Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah, beberapa saranan dititipkan untuk perhatian dan tindakan bersama;
Pertama: Pembelaan saudara-saudara kita di Palestin suatu tawaran daripada Allah. Membela nasib mereka di dunia adalah jaminan keselamatan nasib kita di akhirat.
Kedua: Warga Palestin telah berjaya membuktikan keyakinan dan iman mereka kepada Allah dengan syahid dan kesabaran. Usah leka lantaran kita juga sedang diuji dengan keamanan yang menuntut bukti kesyukuran.
Ketiga: Buktikan kita insan beriman. Bersamalah merasa kesakitan yang mereka alami dengan keprihatinan, bantuan dan sokongan yang berterusan.
Firman Allah SWT dalam surah Ghafir ayat 51:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
إِنَّا لَنَنصُرُ رُسُلَنَا وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَيَوْمَ يَقُومُ ٱلْأَشْهَـٰدُ(٥١)
Maksudnya: “Sesungguhnya Kami tetap membela serta mempertahankan Rasul-rasul Kami dan orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia ini dan pada saat bangkitnya saksi-saksi (pada hari kiamat).” (Surah Ghafir 40:51)
Tarikh Bacaan: 8 Syaaban 1446H | 7 Februari 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment