Kehidupan Nabi Ayub A.S penuh dengan nikmat yang melimpah ruah serta ujian yang hebat. Baginda dikurniakan Allah SWT harta yang banyak termasuk binatang ternakan, hamba sahaya, dan tanah-tanah yang luas. Kemudiannya baginda juga telah diuji Allah SWT dengan ujian yang hebat yang menyebabkan bukan sahaja baginda menderita penyakit yang kronik sehingga semua orang menjauhinya kerana merasa jijik tetapi juga baginda kehilangnya anak-anak dan harta benda. Dalam menghadapi ujian yang sangat berat ini, tidak ada seorang pun yang mahu mendekatinya kecuali isterinya.
Walaupun ditimpa ujian yang maha berat, Nabi Ayyub AS sentiasa bersabar dan sentiasa mengharapkan pahala daripada Allah. Ketika sakit baginda tidak lekang daripada berzikir kepada Allah SWT di setiap waktu. Isterinya pernah berkata: “Wahai Ayyub, sekiranya engkau berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan memberikan kelapangan bagimu.” Namun, Nabi Ayyub AS menjawab: “Aku telah menjalani hidup dengan sihat selama tujuh puluh tahun. Sangat sedikit sekali bagi Allah bila aku bersabar untuk menghadapi ujian ini selama tujuh puluh tahun.”
Disebabkan kesukaran hidup yang melanda, isteri Nabi Ayyub telah mengambil upah dengan bekerja dengan orang lain. Sehinggalah satu masa, dia tidak lagi menemui orang yang mahu mengambilnya bekerja. Lalu, dia menjual tocang rambutnya untuk membeli makanan yang baik dan banyak sehingga kepalanya botak.
Doa Nabi Ayyub AS Ketika Ditimpa Penyakit Yang Berat
Apabila mengetahui hal tersebut, Nabi Ayyub AS berdoa sepertimana firman Allah SWT:
رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ
Maksudnya: Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”.
(Surah al-Anbiya’ 21:83)
Lantas, sebagai umat manusia yang sentiasa diuji, jadikanlah kisah Nabi Ayyub AS ini sebagai panduan dan teladan tentang kesabaran, keimanan, dan keteguhan hati dalam menghadapi ujian daripada Allah.
1. Kesabaran dalam Menghadapi Ujian
Nabi Ayyub AS menunjukkan tahap kesabaran yang luar biasa meskipun mengalami ujian yang sangat berat; kehilangan harta dan keluarganya serta diuji dengan sakit yang parah. Kesabaran ini menjadi teladan bagi kita agar tetap tabah menghadapi ujian hidup.
2. Keteguhan Iman
Walaupun dalam keadaan yang diuji, Nabi Ayyub AS tetap teguh dalam imannya kepada Allah. Tidak pernah mengeluh atau meragukan keadilan dan kasih sayang Allah, melainkan terus berserah diri dan memohon pertolongan kepada-Nya.
3. Kekuatan Doa dan Taubat
Nabi Ayyub AS menunjukkan kekuatan doa dan taubat dalam menghadapi ujian Allah SWT.
4. Tawakkal kepada Allah
Nabi Ayyub AS menunjukkan kepercayaan yang mendalam kepada Allah dengan bertawakal sepenuhnya dalam setiap keadaan. Nabi Ayyub AS tidak putus asa dan mempercayai perancangan Allah.
Kisah Nabi Ayyub AS merupakan kisah teladan bagi mereka yang ditimpa sakit yang kronik dan menyeksakan. Dengan doa yang tidak putus-putus kepada Allah SWT serta tawakkal yang tidak berbelah bagi, Nabi Ayyub AS telah dipulihkan dan dikurniakan semula kesihatan dan kekayaan yang melimpah ruah.
Amalkan doa Nabi Ayyub AS ini sekiranya kita diuji dengan kesihatan yang merudum. Semoga dengan keyakinan dan keimanan yang teguh, Allah SWT memberikan semula kesihatan yang baik kepada kita. Amin.
Leave a comment