Soalan
Saya telah kematian suami 6 tahun yang lalu dan saya mempunyai seorang anak bersamanya. Keluarga mertua arwah suami saya masih ada, termasuk ibu dan bapa mertua. Saya juga telah berkahwin lain pada 3 tahun yang lepas dan mempunyai seorang anak. Siapakah yang bertanggungjawab menafkahi anak sulung saya? Adakah dia tanggungjawab suami baharu, datuk atau bapak saudara terdekatnya? Saya bekerja dan saya besarkan anak saya selama 6 tahun sendiri. Adakah salah apabila saya tidak menuntut hak nafkah anak saya?
Penjelasan
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Firman Allah SWT:
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا فَضَّلَ اللَّهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”
(Surah An-Nisa’ 4:34)
Ayat ini menunjukkan bahawa lelakilah yang bertanggungjawab untuk memberi dan menyediakan nafaqah iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal kepada wanita yang di bawah tanggungannya. Pemberian nafkah pula terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu:
- Nafkah atas dirinya sendiri.
- Nafkah furuk kepada usul seperti anak memberi nafkah kepada ibu.
- Nafkah usul kepada furuk seperti bapa memberi nafkah kepada anak.
- Nafkah suami kepada isteri.
- Nafkah-nafkah yang lain
(Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, jld.4, ms. 169)
Kewajipan nafkah ke atas isteri adalah wajib secara sepakat semua ulama berdasarkan firman berdasarkan firman Allah SWT:
وَالْوَالِدَاتُ يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.
(Surah al-Baqarah 2:233)
Nafkah seorang isteri tidak lagi ditanggung oleh suami yang mati dan nafkahnya adalah daripada harta perwarisan suami tersebut sepertimana yang disebut di dalam al-Mu’tamad fi al-fiqh al-Syafi’e:
“ولا تجب نفقة الحاضنة بعد الموت ولأن حق المعتدة صار بالميراث فتنفق على نفسها مما ترثه من زوجها”
Maksudnya: “Nafkah kepada ibu yang menjaga anak (hadhanah) tidak diwajibkan selepas kematian suami (bapa kepada anak-anak), kerana hak isteri yang dalam tempoh idah sudah berpindah kepada harta pusaka. Oleh itu, dia menafkahi dirinya daripada apa yang diwarisinya daripada suaminya.” (Rujuk al-Muktamad fi al-fiqh al-Syafi’e, jld. 4 hlm. 265).
Nafkah anak yang ditanggung oleh seorang bapa juga tergugur apabila ayah tersebut meninggal dunia sepertimana yang disebut di dalam al-Fiqh al-Manhaji:
فالصغير الفقير يكلّف أبوه، بالإنفاق عليه، فإن لم يكن أبوه فجده
Maksudnya: “Maka seorang anak kecil yang miskin wajib dinafkahi oleh bapanya. Jika bapanya tiada, maka kewajiban itu jatuh kepada datuknya.” (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji, jld.4, hlmn. 172).
Anak kecil yang kematian bapa dan tidak memiliki harta maka nafkahnya ditanggung oleh datuk sebelah bapa sehinggalah anak tersebut baligh ataupun menikah kerana nafkahnya akan ditanggung oleh suaminya.
Golongan yang wajib menafkahi anak atau cucu selepas kematian bapanya dapat disenaraikan seperti yang telah disebut dalam al-Muktamad fi al-fiqh al-Syafi’e:
يجب على الأصل وهو الوالد والجد وان علا و الأم والجدة وان علت نفقة الولد: الابن و ابن الابن وان نزل، والبنت و بنت الابن و ابن البنت وبنت البنت وان نزلت
Maksudnya: “Kewajipan nafkah berada pada ahli keluarga terdekat, iaitu bapa,(jika ketiadaan bapa) maka datuk dan ke atas, kemudian ibu, nenek dan ke atas, untuk menafkahi anak-anak, sama ada anak lelaki atau cucu lelaki dan ke bawah, anak perempuan atau cucu perempuan dan ke bawah.” (Rujuk al-Muktamad fi al-fiqh al-Syafi’e, jld. 4 hlm. 286)
Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebut:
وإنما تجب على ذي قرابة بعضية وتجب له وهم الفروع وإن نزلوا والأصول وإن علوا فقط، أي دون سائر القرابات كالأخ والأخت والعم والعمة، ذكوراً وإناثاً وارثين وغير وارثين.
Maksudnya: Sesungguhnya yang hanya diwajibkan nafkah kepada kaum kerabat yang bersifat punca dan cabang keturunan(qarabah ba’diyyah) iaitu furuk(anak, cucu, cicit) dan yang ke bawah dan usul(bapa kandung, ibu kandung, datuk, nenek) dan yang ke atas sahaja, iaitu tidak termasuk kaum keluarga yang lain seperti adik beradik lelaki, adik beradik perempuan, pakcik, makcik samaada lelaki mahupun perempuan, samaada yang tergolong daripada pewaris harta atau tidak. (Rujuk Asna al-Matalib fi Syarh Raud al-Talib, jld. 3, hlm. 443)
Duit Sedekah Pada Hari Kematian
Masyarakat Malaysia terkenal dengan sikap pemurah dalam membantu, terutamanya ketika berlakunya musibah kematian. Ini dapat dilihat melalui amalan memberi sumbangan kepada keluarga si mati. Wang yang disumbangkan ketika kematian berlaku ini boleh dikategorikan sebagai sedekah dan bukan sebahagian daripada harta pusaka, dan boleh digunakan oleh penerima mengikut niat pemberi atau mengikut keperluan mereka jika tiada niat khusus dinyatakan.
Syeikh Jamal dalam hasyiahnya menyebut:
وَلَوْ دَفَعَ لَهُ تَمْرًا لِيُفْطِرَ عَلَيْهِ تَعَيَّنَ لَهُ عَلَى مَا يَظْهَرُ فَلَا يَجُوزُ اسْتِعْمَالُهُ فِي غَيْرِهِ نَظَرًا لِغَرَضِ الدَّافِعِ
Maksudnya: “Sekiranya si pemberi memberikan kepadanya buah tamar untuk berbuka puasa dan pemberi menjelaskan tujuan pemberiannya, maka si penerima tidak harus menggunakannya pada tujuan yang lain. Perkara ini kerana melihat kepada tujuan pemberi.” (Rujuk Hasyiah Jamal Ala Syarhil Minhaj, jld. 2, hlmn. 328)
Justeru, wang yang diterima oleh ahli keluarga pada hari kematian arwah tidak dikira sebagai harta pusaka dan tidak perlu difaraidkan. Wang itu juga boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan ahli keluarga termasuk anak kepada arwah.
Kesimpulan
Berdasarkan soalan yang diajukan oleh penanya dan hujah-hujah yang telah dinyatakan di atas, kami merumuskan bahawa nafkah anak yatim yang tidak memiliki harta yang cukup bagi menampung nafkah sehariannya wajib ditanggung oleh datuknya iaitu ayah kepada arwah ayahnya. Jika si datuk tidak mempunyai kemampuan untuk menanggung sepenuhnya nafkah anak yatim tersebut maka ibu kepada anak tersebut boleh menampung ketidakcukupan nafkah anak yatim itu.
Demi menjaga keharmonian penanya dan kerabat anak yatim tersebut, kami mencadangkan supaya perkara berkaitan nafkah anak tersebut dapat dibincangkan dengan baik dan penuh hikmah bersama ahli keluarga arwah agar hubungan silaturahim antara kedua keluarga tidak terjejas.
Terdapat hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari R.A, Rasulullah SAW pernah ditanya berkenaan amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga, lalu Baginda SAW menjawab:
تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا ، وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ ، وَتُؤْتِى الزَّكَاةَ ، وَتَصِلُ الرَّحِمَ
Maksudnya: “Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik pada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan jalinlah tali silaturrahim.
(Riwayat al-Bukhari: 5983)
Jelas di sini bahawa menjaga silaturahim antara kaum kerabat adalah sebahagian daripada perkara yang dianjurkan oleh syarak dan padanya terdapat kebaikan di dunia dan di akhirat.
Semoga Allah SWTmmengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.
Waallahu’alam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment