أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَٱلْعَصْرِ(١) إِنَّ ٱلْإِنسَـٰنَ لَفِى خُسْرٍ(٢) إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلْحَقِّ وَتَوَاصَوْا۟ بِٱلصَّبْرِ(٣)
Maksudnya: “Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan- pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”. (Surah Al-’Asr 103:1-3)
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar ketakwaan. Laksanakan segala perintah dan tinggalkan segala larangan. Ketahuilah, termasuk sebahagian dari ketakwaan itu adalah diam dan mendengar dengan teliti khutbah yang akan disampaikan.
Marilah kita bersama menghayati khutbah yang bertajuk “Nisfu Syaaban, Persiapan Menyambut Ramadan.”
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sedar tidak sedar, hari ini kita telah memasuki hari yang ke-15 Syaaban. Inilah hari yang dikenali sebagai Nisfu Syaaban. Ini bermakna, berbaki dua minggu sahaja lagi kita akan memasuki bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Menurut Imam Ibnu Qudamah Al-Maqdisi, malam dan siang hari Nisfu Syaaban merupakan dua waktu yang mempunyai kelebihan.
Kita digalakkan untuk menghidupkan malam dan siangnya dengan ibadah. Beliau turut memberikan satu analogi yang menarik tentang Syaaban sebagai bulan keuntungan dengan berkata: “Jika seorang peniaga mengabaikan musim-musim keuntungan, maka bilakah masanya dia akan memperoleh keuntungan?”
Hakikatnya, bersama peredaran masa, setiap manusia akan berada dalam kerugian jika tidak memanfaatkannya dengan amalan kebaikan dan ketaatan. Inilah yang ditekankan dalam Surah Al-Asr ayat 1 hingga 3 yang dibacakan pada permulaan khutbah sebentar tadi, yang bermaksud: “Demi masa, sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan- pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”.
Para Tetamu Allah Yang Dimuliakan,
Setiap kita perlu berusaha memastikan agar hari-hari yang masih berbaki di dalam bulan Syaaban ini dipenuhi dengan amalan sebagai persediaan menuju Ramadan. Antara persiapan awal yang boleh dilakukan adalah, melazimi bacaan doa agar dipanjangkan usia untuk bertemu Ramadan. Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Anas bin Malik radiallahuanhu,
bahawa Rasulullah SAW berdoa:
اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبٍ وَشَعْبَانَ، وَبَارِكْ (وَبَلِّغْنَا) لَنَا فِي رَمَضَانَ
Maksudnya: Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan.
Saat membaca dan mendengar bacaan doa ini, persoalan utama yang perlu kita fikirkan adalah, bagaimanakah caranya untuk kita mendapatkan keberkatan dalam bulan Rejab dan Syaaban? Bagi menjawab persoalan ini, marilah kita meneliti dan menghayati firman Allah SWT di dalam Surah Al-A’raf ayat 96:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ (٩٦)
Maksudnya: “Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab siksa disebabkan apa yang telah mereka kerjakan.”
(Surah Al-A’raf 7:96)
Dapat difahami dari ayat ini, keberkatan diraih dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Justeru, untuk mendapatkan keberkatan di dalam bulan Syaaban, hendaklah kita memenuhkan bulan ini dengan memperbanyakkan kebaikan dan ketaatan serta meninggalkan dosa dan kemaksiatan.
Para Tetamu Allah Yang Dikasihi,
Antara amalan kebaikan yang sangat digalakkan kepada kita untuk dilakukan dalam bulan Syaaban ini ialah, memperbanyakkan puasa. Ini kerana Rasulullah SAW sangat banyak berpuasa di dalam bulan Syaaban. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, daripada ‘A’isyah radiallahuanha beliau berkata yang maksudnya:
“Nabi SAW tidak pernah berpuasa sebulan, lebih banyak dari puasa baginda dalam bulan Syaaban. Sesungguhnya baginda seolah-olah berpuasa pada bulan Syaaban seluruhnya.”
Rasulullah SAW menyatakan sebab mengapa Baginda banyak berpuasa dalam bulan Syaaban menerusi sebuah hadis riwayat Imam Al-Nasaie daripada Usamah bin Zaid radiallahuanhu, sabda Baginda yang maksudnya: “Inilah bulan yang ramai manusia lalai terhadapnya lantaran berada di antara Rejab dan Ramadan. Ia juga bulan diangkat amalan kepada Allah Tuhan sekalian alam. Maka aku suka ketika amalanku diangkat aku sedang berpuasa.”
Hikmah di sebalik galakan berpuasa sunat pada bulan Syaaban, dapat dikaitkan dengan peranan dan kepentingan solat sunat qabliyyah sebelum pelaksanaan solat fardu. Sebagaimana solat qabliyyah dapat membantu tubuh untuk lebih bersedia untuk mendirikan solat fardu, demikianlah puasa sunat Syaaban dapat membantu persiapan mental dan fizikal untuk menjalani puasa fardu di bulan Ramadan.
Kaum Muslimin Yang Dimuliakan,
Selain berpuasa, antara persiapan yang perlu kita usahakan di dalam bulan Syaaban adalah, membersihkan diri dari segala dosa dan sifat yang tercela. Imam Ibnu Majah meriwayatkan daripada Abu Musa Al-Asy’ari radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam nisfu syaaban, dan Dia mengampunkan semua hamba-Nya, kecuali orang yang musyrik atau orang yang kuat bermusuhan.”
Berdasarkan hadis ini, kita dapat melihat betapa luasnya rahmat Allah SWT terhadap sekalian hamba-Nya. Dia mengampunkan seluruh hamba-Nya, kecuali dua kumpulan manusia, iaitu golongan yang mensyirikkan-Nya serta golongan yang terus berbalah dan bertelagah. Justeru, ambillah peluang keberkatan bulan Syaaban ini, untuk kita memperteguhkan akidah dan memperkukuhkan ukhwah Islamiah sesama kita. Elakkanlah perbalahan, dan hentikan persengketaan. Alangkah malangnya mereka yang sempat berada di malam Nisfu Syaaban, namun masih gagal meraih keampunan.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Mengakhiri khutbah, marilah kita hayati beberapa saranan berikut:
Pertama: Hindari diri daripada kerugian. Kita kini berada di pertengahan kedua bulan Syaaban. Masa begitu pantas berlari meninggalkan insan-insan yang hanyut dibuai kelalaian.
Kedua: Persiapkan diri dari sudut rohani dan jasmani untuk menyambut Ramadan. Mesrakan jiwa dengan ketaatan dengan melazimi ibadah dan berpuasa di bulan Syaaban.
Ketiga: Bersihkan diri daripada dosa di bulan Syaaban dengan bersungguh-sungguh bertaubat dan memohon ampunan. Semoga ia menjadi pemangkin untuk meraih kesempurnaan menjalani ibadah di bulan Ramadan.
Renungilah firman Allah SWT dalam Surah Al-Nazi’at, ayat 40 dan 41:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِۦ وَنَهَى ٱلنَّفْسَ عَنِ ٱلْهَوَىٰ(٤٠) فَإِنَّ ٱلْجَنَّةَ هِىَ ٱلْمَأْوَىٰ (٤١)
Maksudnya: “Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya) serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.”
(Surah Al-Nazi’at 79:40-41)
Tarikh Bacaan: 15 Syaaban 1446H | 14 Februari 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment