Soalan
Saya bekerja sebagai food rider. Saya ada hantar makanan yang tidak halal di mana saya ambil makanan dari kedai tidak halal dan hantar makanan tersebut kepada yang bukan muslim. Sebagai food rider kami tiada pilihan untuk ambil id halal sahaja. Walaupun bila kami dapat order tidak halal kami boleh cancel tetapi apabila kerap sangat cancel order, rating kami akan jatuh dan id kami akan digantung. Adakah pekerjaan kami ini haram, dan kami dah tak boleh kerja dah?
Penjelasan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam dunia pekerjaan moden, ramai umat Islam terlibat dalam industri penghantaran makanan termasuk GrabFood. Persoalan timbul apabila seorang rider Muslim perlu menghantar makanan yang mengandungi unsur tidak halal seperti daging babi atau alkohol kepada pelanggan bukan Islam.
Larangan Secara Langsung dari Al-Quran dan Hadis
Pekerjaan menghantar makanan dan minuman yang haram kepada pelanggan tersebut, dikira sebagai pertolongan (bantuan) kepada pelanggan itu untuk melakukan perbuatan yang haram. Sedangkan Allah SWT sudah melarang seorang Muslim untuk memberi pertolongan kepada orang lain untuk berbuat dosa atau maksiat, sesuai firman Allah SWT:
وَلَا تَعَاوَنُوْا عَلَى الْاِثْمِ وَالْعُدْوَانِۖ
Maksudnya: “…dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan permusuhan…”
(Surah al-Ma’idah 5:2)
Terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawasanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika berada di Makkah pada tahun pembukaan kota Makkah:
إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ شُحُومَ المَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَالَ: لاَ، هُوَ حَرَامٌ. ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: قَاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ إِنَّ اللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ.
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan patung-patung berhala. Ditanyakan (oleh seseorang): ‘Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu dengan lemak bangkai, sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat perahu, meminyakkan kulit dan dijadikan lampu oleh orang ramai?’ Nabi SAW bersabda: ‘Tidak boleh, itu adalah haram.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda saat itu juga: ‘Semoga Allah memerangi (melaknat) orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah mengharamkan lemak bangkai, tetapi mereka mencairkannya, kemudian menjualnya, lalu memakan daripada hasil jualannya.’”
(Riwayat al-Bukhari, 2236)
Berdasarkan ayat dan hadis ini, sebahagian ulama berpendapat bahawa segala bentuk pertolongan terhadap urusan yang haram adalah dilarang, termasuk penghantaran makanan yang tidak halal.
Rezeki yang halal datangnya dari jalan yang halal dan tidak syubhah. Walaupun tidak menjual namun terlibat dalam penghantaran makanan yang rata-ratanya adalah haram dan juga syubhah, maka wang yang diterima akan terkesan syubhah jua. Sabda Rasulullah SAW;
عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ يَقُولُ : إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، والْحَرَامَ بَيِّنٌ، وبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وعِرْضِهِ، ومَنْ وقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وقَعَ فِي الْحَرَامِ، كَالرَّاعِي يَرْعَى حَوْلَ الْحِمَى، يُوشِكُ أَنْ يَقَعَ فِيهِ، أَلَا وإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى، أَلَا وإِنَّ حِمَى اللَّهِ مَحَارِمُهُ، أَلَا وإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وهِيَ الْقَلْبُ. .
[رواه البخاري ومسلم]
Maksudnya: Daripada Abi Abdillah Nu’man bin Basyir, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhah (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhah bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhah, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembala binatang gembalanya di sekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun binatang-binatang tersebut akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika dia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika dia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahawa dia adalah hati”.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Pandangan Mazhab dan Fatwa Ulama
Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitabnya Al-Nizhām Al-Iqtishādi fī Al-Islām menyatakan bahawa pekerjaan menghantar makanan haram adalah dilarang kerana objek akad (al-ma’qūd ‘alayhi) dalam akad ijarah itu sendiri adalah haram. Menghantar babi atau khamr tetap haram sama ada kepada Muslim atau bukan Muslim. (Lihat: Al-Nizhām Al-Iqtishādi fī Al-Islām, hlm. 93)
Imam Abu Ishaq Al-Syirazī dalam kitabnya Al-Muhadzdzab dan Imam dalam kitabnya Al-Majmū’ sebagai syarah untuk kitab Al-Muhadzdzab, mengemukakan kaedah fikh:
لاَ تَجُوْزُ اْلإِجاَرَةُ عَلىَ الْمَناَفِعِ الْمُحَرَّمَةِ
Maksudnya: “Tidak boleh ada akad ijarah pada segala bentuk manfaat [perkhidmatan] yang diharamkan syariah.” (Rujuk; Imam Abu Ishaq Al-Syirazī, Al-Muhadzdzab fī Fiqh Al-Imām Al-Syāfi’ī, Juz 2, hlm. 243; Imam Nawawi, Al-Majmū’ Syarah Al-Muhadzdzab, Juz 15, hlm. 251).
Muhammad Shidqi Al-Burnu dalam Mausū’ah Al-Qawā’id Al-Fiqhiyyah menyatakan bahawa pekerjaan penghantar makanan yang membawa kepada yang haram termasuk dalam kategori perantaraan (al-wasīlah) yang haram. Ini berdasarkan kaedah fiqh:
اَلْوَسِيْلَةُ إِلىَ الْحَرَامِ حَرَامٌ
Maksudnya: “Segala perantaraan (al-wasīlah) kepada yang haram, hukumnya haram juga.” (Mausū’ah Al-Qawā’id Al-Fiqhiyyah, Juz 8, hlm. 775)
Dr. Wahbah al-Zuhayli, seorang ulama kontemporari menyebut dalam kitab Fiqh al-Islami wa Adillatuhu: “Jika seseorang dipaksa oleh keadaan (darurat) untuk bekerja dalam bidang yang melibatkan perkara haram, maka dia hendaklah berusaha mencari alternatif lain secepat mungkin.” (Lihat; Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/276)
Keadaan Darurat dan Kaedah Fiqh
Dalam situasi di mana rider Muslim tiada pilihan lain dan hanya pekerjaan ini yang tersedia, maka kaedah fiqh boleh diterapkan:
الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ
Maksudnya: “Keadaan darurat mengharuskan perkara yang dilarang.”
Namun, ini hanya dibolehkan sementara, dengan syarat individu berusaha mencari pekerjaan lain yang lebih halal seperti penghantaran barangan atau makanan halal sahaja. Adapun jika hal itu adalah sesuatu yang mendatang atau berlaku secara tiba-tiba yang tidak dapat dielakkan sedangkan asas pekerjaannya melibatkan pemindahan atau penghantaran benda-benda yang baik (yakni yang halal), maka diharapkannya mendapat pengampunan Allah SWT dengan syarat dia mengeluarkan sebahagian pendapatannya yang sepadan dengan penghantaran yang diharamkan itu. (Lihat; Mausu‘ah Fatawa al-Mughtaribin, jld. 5, hlm. 445).
Seterusnya pendapatannya yang sepadan dengan penghantaran yang diharamkan boleh disalurkan atau digunakan untuk kepentingan dan maslahat umat Islam. Hal ini sebagaimana fatwa Imam al-Ghazali yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa sekiranya bersama seseorang itu suatu harta haram dan dia ingin bertaubat dan melepaskan diri daripada harta haram itu, maka jika harta itu mempunyai pemilik yang tertentu, hendaklah dipulangkan kepadanya atau kepada wakilnya.
Jika dia sudah mati, wajib diserahkan kepada warisnya. Jika tidak diketahui siapa warisnya dan sudah berputus asa daripada mengetahuinya, maka wajib orang tadi menggunakan harta itu bagi keperluan umat Islam yang umum, seperti untuk (keperluan) jambatan, ribat-ribat (kandang kuda, tempat pengajian, atau tempat golongan Sufi berkumpul), masjid-masjid, dan keperluan jalan raya Makkah, dan seumpamanya dari segi boleh dikongsi bersama orang Islam.
Begitu juga Imam al-Ghazali menukilkan daripada Mu‘awiyah bin Abu Sufyan, dan selainnya daripada kalangan ulama salaf seperti Imam Ahmad bin Hanbal, al-Harith al-Muhasibi dan ulama yang warak selain mereka berdua, kerana tidak dibenarkan untuk menghapuskan harta haram itu dan mencampakkannya ke dalam laut. Maka tiada pilihan melainkan digunakan untuk kepentingan atau maslahat umat Islam. (Lihat; al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, jld. 9, hlm. 351).
Kesimpulan
Seorang Muslim yang bekerja sebagai penghantar makanan tidak boleh menghantar makanan berasaskan babi atau barang haram lain, walaupun kepada pelanggan bukan Islam. Jika keadaan ini berterusan, dia perlu berusaha mencari pekerjaan yang lebih halal dan diredhai Allah SWT.
Namun, jika pekerjaan utamanya adalah menghantar makanan halal tetapi dalam situasi tertentu dia terpaksa menghantar makanan tidak halal untuk mengelakkan kehilangan pekerjaan, maka dibolehkan dengan harapan Allah SWT mengampuni ketergelincirannya.
Dalam keadaan ini, dia hendaklah menyucikan sebahagian pendapatannya yang diperoleh daripada penghantaran haram itu dengan menyalurkannya untuk kepentingan umat Islam.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a’lam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment