أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَٱلَّذِينَ إِذَآ أَنفَقُوا۟ لَمْ يُسْرِفُوا۟ وَلَمْ يَقْتُرُوا۟ وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًۭا(٦٧)
Maksudnya: “Dan mereka (yang diredhai Allah) apabila membelanjakan harta, tiada melampaui batas dan tiada pula kedekut; dan perbelanjaan mereka adalah sederhana di antara kedua-dua cara itu.”
(Surah Furqan 25:67)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangnya-Nya. Berikan sepenuh perhatian terhadap khutbah yang disampaikan dan tinggalkan perlakuan yang melalaikan seperti berbual-bual dan bermain telefon bimbit. Semoga Allah SWT mengganjari pahala atas amal ibadah yang kita laksanakan.
Pada hari yang berbahagia ini, marilah kita renungkan satu isu besar yang sering dipandang ringan oleh masyarakat. Ia amat memberi kesan kepada kehidupan di dunia bahkan menjadi penentu nasib kita di akhirat. Satu amanah yang tidak terhapus dengan solat, puasa atau jihad. Itulah hutang.
Justeru, bicara khutbah kita pada hari ini bertajuk: “Lunaskan Hutang, Pemborosan Ditentang.”
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Hari ini, hampir semua kita terlibat dengan hutang. Kebanyakan pemilikan terhasil melalui hutang seperti rumah, kenderaan, pendidikan bahkan perbelanjaan harian. Hutang telah menjadi sebahagian daripada gaya kehidupan moden. Persoalannya, adakah kita benar-benar memahami batasan dan tanggungjawab dalam berhutang? Adakah amalan berhutang ini memberi kemudahan atau menjerat kehidupan kita?
Lantaran itu Allah SWT mengingatkan kita agar sentiasa bersederhana dan tidak boros dalam berbelanja. Renungi maksud firman Allah di dalam Surah al-Furqan ayat 67 pada mukadimah khutbah tadi; “Dan mereka (yang diredhai Allah) apabila membelanjakan harta, tiada melampaui batas dan tiada pula kedekut; dan perbelanjaan mereka adalah sederhana di antara kedua-dua cara itu.”
Hutang bukanlah suatu kesalahan di sisi undang-undang mahupun agama. Namun ia perlu mengikut garis panduan syariat. Islam membenarkan hutang sebagai satu jalan keluar bagi mereka yang berada dalam kesulitan. Hutang boleh menjadi sesuatu yang bermanfaat jika dilaksanakan dengan betul dan diurus dengan bijak. Namun ia sering mengundang mudarat apabila menjadi tabiat untuk memenuhi keinginan di luar batas kemampuan.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Kita harus sedar bahawa hutang bukan perkara remeh yang boleh dipandang ringan. Dalam sebuah hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Rasulullah SAW memberi amaran keras kepada mereka yang berhutang tetapi berniat untuk tidak membayarnya dengan bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, Allah akan menunaikannya untuknya. Namun sesiapa yang berhutang dengan niat untuk membinasakannya (tidak membayar semula), Allah pasti membinasakannya.”
Ingatlah, walaupun seseorang telah meninggal dunia, hutangnya tetap perlu dilunaskan. Waris si mati bertanggungjawab menyelesaikan hutang tersebut menggunakan harta peninggalan si mati sebelum difaraidkan kepada waris yang berhak. Begitulah besarnya hak hutang yang perlu dilunaskan.
Perkara ini jelas diingatkan dalam hadis riwayat Imam at Tirmizi daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutangnya.”
Selain itu, mengabaikan hutang juga memberi kesan buruk kepada kestabilan emosi dan mental. Ia juga menghilangkan kepercayaan ahli keluarga, rakan dan masyarakat kepada kita. Malah, tindakan undang-undang seperti saman atau muflis boleh diambil terhadap mereka. Semua ini sudah pasti menggangu kententeraman dan ketenangan hidup kita.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Sesungguhnya Islam tidak pernah melarang umatnya berbelanja tetapi mendidik kita dengan panduan berbelanja secara berhemah iaitu dengan memberikan keutamaan dan mendahulukan perkara-perkara yang penting sahaja. Ingatlah, hutang adalah alat dan bukan matlamat. Yang menentukan baik buruknya hutang adalah cara kita mengurusnya. Oleh itu, mari kita hayati beberapa panduan untuk mengurus hutang dengan bijak:
Pertama: Tetapkan Matlamat Kewangan.
Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah merancang perbelanjaan dengan baik. Ia bertujuan untuk mengelakkan pemborosan dan mengutamakan perbelanjaan keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan kenderaan. Di samping itu, hindari tabiat pembelian apa yang tidak perlu dan elakkan penggunaan kad kredit secara berlebihan.
Kedua: Urus Hutang dengan Bijak
Jika mempunyai lebih daripada satu hutang, utamakan bayaran bagi hutang yang mempunyai kadar faedah tertinggi. Jangan takut untuk menghubungi pihak bank atau pihak yang kita berhutang dan jelaskan keadaan kewangan kita. Institusi kewangan lazimnya bersedia membantu dengan menawarkan pelan pembayaran yang lebih fleksibel jika kita jujur dan berusaha menyelesaikan hutang.
Ketiga: Kuasai Ilmu Pengurusan Kewangan
Tingkatkan pengetahuan kita dalam mengurus kewangan dan hutang termasuk seminar dan kursus yang disediakan oleh agensi kerajaan dan swasta seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Ia langkah penting untuk mengelakkan masalah kewangan berulang.
Berusahalah mencari sumber pendapatan tambahan seperti berniaga kecil-kecilan atau kerja sampingan. Dengan pengurusan perbelanjaan yang baik semua usaha ini akan membantu kita untuk segera menyelesaikan hutang.
Sidang Jemaah Yang Dimuliakan,
Sedarlah betapa kita bertanggungjawab untuk membayar semua hutang sama ada hutang peribadi, kenderaan, rumah atau hutang kepada individu walaupun jumlahnya kecil. Termasuklah kewajipan membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menurut laporan terkini, lebih 430,000 peminjam tidak membuat sebarang bayaran balik pinjaman, sehingga menyebabkan jumlah hutang tertunggak PTPTN mencecah RM5.46 bilion. Ini bukan sekadar isu kewangan tetapi juga amanah yang akan dipersoalkan di akhirat. Ingatlah! di samping memenuhi kewajipan, melunaskan hutang juga akan membuka pintu rezeki dan memberikan ketenangan jiwa. Jangan biarkan hutang menjadi beban yang menghalang keberkatan hidup. Imam at-Tirmidzi meriwayatkan daripada Saidina Ali bin Abi Talib doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW:
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah aku dengan kurniaan-Mu, tanpa aku mengharapkan kepada selain-Mu.”
Mengakhiri khutbah, mari kita lihat tiga saranan berikut sebagai panduan bersama:
Pertama: Hutang perlu dilunaskan. Ia tanggungjawab yang perlu ditunaikan demi menjamin keberkatan hidup di dunia dan kesejahteraan di akhirat.
Kedua: Rancang perbelanjaan dan elakkan pemborosan. Perancangan kewangan yang bijak dapat mengelakkan hutang yang membebankan.
Ketiga: Bersungguh-sungguhlah berusaha untuk segera membayar hutang selaras perjanjian. Ia pasti akan ditanya dan dipertanggungjawabkan.
Renungkan firman Allah SWT di dalam surah al Isra’ ayat 34:
وَلَا تَقْرَبُوا۟ مَالَ ٱلْيَتِيمِ إِلَّا بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُۥ ۚ وَأَوْفُوا۟ بِٱلْعَهْدِ ۖ إِنَّ ٱلْعَهْدَ كَانَ مَسْـُٔولًۭا(٣٤)
Maksudnya: “Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik, sehingga dia baligh dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.”
(Surah Al Isra’ 17:34)
Tarikh Bacaan: 22 Syaaban 1446H | 21 Februari 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment