Status Halal Rempah Campuran Buatan Non Muslim 

Soalan

Bolehkah kita membeli rempah-rempah campuran di kedai non muslim? Adakah rempah yang dibuat itu halal?

Penjelasan 

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah baginda Nabi SAW hingga ke hari Kiamat.

Tuntutan Mencari Makanan yang Halal

Secara umumnya, umat Islam dituntut untuk mencari rezeki daripada sumber yang baik lagi halal. Selain itu, umat Islam juga digesa supaya berwaspada dan berhati-hati dalam mencari rezeki kerana ia adalah zat yang akan bersatu menjadi darah daging manusia itu. Hal ini sejajar dengan perintah Allah SWT;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, Makanlah daripada benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu…”

[Surah al-Baqarah 2:172]

Bukan itu sahaja, Nabi SAW mengajar umatnya menjauhi perkara syubhat sepertimana yang terdapat di dalam sebuah hadis;

إنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، وَإِنَّ الْحَرَامَ بَيِّنٌ، وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ، فَمَنْ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقْد اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وَعِرْضِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara syubhat (samar-samar) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Maka sesiapa yang menjaga dirinya daripada perkara syubhat maka sesungguhnya dia telah membersihkan agamanya dan maruah dirinya.

[Riwayat al-Tirmidhi 1205]

Membeli atau Memakan Masakan Non-Muslim

Umat Islam harus memakan makanan yang dimasak atau disediakan oleh bukan Islam (bukan ahli kitab) bersumberkan susu, sayur-sayuran, buah-buahan dan segala macam jenis makanan yang lain kecuali sembelihan mereka. Hal ini berdasarkan kepada athar salaf yang membenarkan perkara tersebut. Menurut Qatadah:

لَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامٍ الْمَجُوسِ مَا خَلَا ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Tidak mengapa dengan memakan makanan orang Majusi selain daripada sembelihan mereka.” [Rujuk, al-Musannaf li ‘Abd al-Razzaq, No. 10155]

Al-Qurtubi juga turut menukilkan perkara yang sama:

وَقَالَ أَبُو عُمَرَ: وَلَا بَأْسَ بِأَكْلِ طَعَامِ عَبَدَةِ الْأَوْثَانِ وَالْمَجُوسِ وَسَائِرِ مَنْ لَا كِتَابَ لَهُ مِنَ الْكُفَّارِ مَا لَمْ يَكُنْ مِنْ ذَبَائِحِهِمْ

Maksudnya: “Telah berkata Abu Umar: dan tidak mengapa dengan memakan makanan  golongan penyembah berhala, orang Majusi dan sekalian yang tiada kitab (bukan ahli kitab) dari kalangan kuffar  selain dari sembelihan mereka.”

[Rujuk Tafsir al-Qurtubi, jld. 6 hlm. 77]

Bahkan terdapat petunjuk daripada Saidatina ‘Aishah RA yang menunjukkan bahawa dibolehkan untuk menjamah makanan yang diberikan oleh golongan bukan Islam pada hari perayaan mereka berdasarkan sebuah pertanyaan yang diajukan kepada beliau:

إِنَّ لَنَا أَطيارًا مِنَ الْمَجُوسِ، وَإِنَّهُ يَكُونُ لَهُمُ الْعِيدُ فَيُهْدُونَ لَنَا؟ فَقَالَتْ: أَمَّا مَا ذُبِحَ لِذَلِكَ الْيَوْمِ فَلاَ تَأْكُلُوا، وَلَكِنْ كُلُوا مِنْ أَشْجَارِهِمْ

Maksudnya: “Kami mempunyai jiran daripada orang Majusi, mereka merayakan perayaan keagamaan mereka lalu dihadiahkan ia kepada kami?” Saidatina Aisyah R.A menjawab: “Adapun apa yang disembelih pada hari itu, maka janganlah di makan, tetapi makanlah yang berasal daripada pokok-pokok mereka (buah-buahan).”

[Rujuk Musannaf Ibn Abi Shaybah, No. 24737]

Berbalik kepada persoalan, rempah ratus adalah termasuk dalam makanan yang disediakan campurannya bersumberkan tumbuh-tumbuhan. 

Hukum membeli rempah dari kedai yang dimiliki oleh bukan Islam adalah diharuskan, kerana rempah tersebut biasanya diperbuat daripada bahan-bahan tumbuh-tumbuhan yang halal. 

Namun, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan:

  1. Bahan Tambahan: Pastikan tiada bahan lain yang mungkin mengandungi unsur haram atau syubhah dicampurkan dalam rempah tersebut. Sebagai contoh, pastikan tiada bahan tambahan berasaskan alkohol atau bahan haram lain.
  2. Kebersihan Penyediaan: Pastikan rempah tersebut disediakan dengan cara yang bersih dan tidak tercemar dengan bahan-bahan yang haram atau najis.
  3. Sumber dan Pengendalian: Walaupun rempah tersebut datang dari kedai bukan Islam, selagi bahan utamanya adalah tumbuh-tumbuhan dan tidak melibatkan unsur haram atau syubhah, ia adalah harus untuk dibeli dan digunakan.

Secara keseluruhan, membeli rempah dari kedai bukan Islam adalah dibenarkan, selagi kita memastikan kebersihannya dan tiada bahan haram yang terlibat dalam proses penyediaannya

Kesimpulan

Umat Islam diwajibkan mencari rezeki daripada sumber yang halal dan baik, seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT. Mereka juga perlu berhati-hati terhadap perkara yang syubhah, iaitu yang meragukan, kerana ia dapat mempengaruhi agama dan maruah diri. 

Mengenai makanan yang disediakan oleh golongan bukan Islam, umat Islam dibenarkan untuk memakan makanan selain sembelihan mereka, seperti buah-buahan, sayur-sayuran, dan rempah ratus, dengan syarat kebersihan dan bahan yang digunakan turut diperhatikan. Oleh itu, dalam memilih makanan, kebersihan dan status halalnya tetap perlu diutamakan.

Wallahu a’lam.

Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑