4 Tip Mengemudi Rumahtangga

Oleh Ida Natasha

Bagi pasangan-pasangan muda yang baru mendirikan rumahtangga, perjalanan kamu berdua baru sahaja bermula. Menguruskan hal-hal majlis persandingan itu akhirnya nanti akan terlihat mudah sekali berbanding dengan cabaran yang bakal ditempuh di tahun-tahun mendatang. Sekarang kamu berdua sudah menjadi ‘kita’, bukan lagi ‘aku dan engkau’. Bila bicara tentang kita, tentu sahaja keduanya perlu memikirkan sosok yang satu lagi kerana jika tidak, kau hanya sendiri, bukan berpasangan. 

4 tip di bawah ini dititip kepada pasangan muda agar dipraktikkan dalam kehidupan berumahtangga, agar akhirnya membawa bahagia sehingga ke syurga. 

Menerima Peranan Masing-Masing

Berhati-hatilah agar jangan terpedaya dengan dakyah Barat yang terlalu meminta saksama antara dua peranan jantina dalam rumahtangga. Kita dilahirkan berlainan kerana peranan kita amat berlainan dalam rumahtangga dan kehidupan. Suami perlu menjadi qawwam, menyediakan keperluan isteri dan anak-anak, menjadi pelindung, membuat mereka rasa aman dan selamat di bawah kepimpinannya. Ini tidak bermakna suami tidak perlu membantu dalam urusan rumahtangga.

Dan, walaupun ramai para isteri zaman ini yang menyumbang kepada ekonomi keluarga, menguruskan hal rumahtangga itu masih lagi peranan besar para isteri. Mengapa? Kerana wanita itu lembut sifatnya dan berperanan membentuk ahli keluarga menjadi insan yang berguna. Anak-anak perlu kepada ibu yang peka, menyedia makanan, mengusap ketika sakit demam, tempat bermanja bila terjatuh, kecewa dan sebagainya. Ibu itu besar peranannya dalam mendidik anak bangsa, membentuk suasana dalam rumahtangga. Jika isteri dan ibu itu lalai hal ini, pincang keseimbangan keluarga. Berkomunikasilah dengan baik dalam rumahtangga dan terimalah peranan masing-masing seikhlas jiwa untuk memperoleh sakinah dalam rumahtangga.   

Analisis SWOT

Rumahtangga juga perlu dianalisa agar kita mengenali kekurangan dan kekuatan pasangan masing-masing agar kita tidak mudah lemah dan tewas separuh jalan. Strength, weakness, opportunity, threat (SWOT). Kalau dalam bisnes kita sering diminta untuk melakukan  SWOT, jadi tidak salah untuk kita membedah yang sama dalam perkahwinan. Sebagai contoh, apakah kekuatan suami? Seorang yang pandai mengurus kewangan, seorang penyabar, seorang pembersih, penyayang dan sebagainya. Apa pula kekuatan isteri? Pandai mengurus pelbagai perkara, bijak menyelesaikan masalah, peramah. 

Apa pula kelemahan masing-masing? Suami tidak pandai komunikasi, isteri tak pandai komunikasi, selalu menangis, contohnya. Lihat pula peluang, suami suka menabung, isteri berbakat dalam banyak bidang, isteri bijak mendisiplinkan anak-anak dan sebagainya. Bagaimana pula ancaman? Suami senang baik dengan orang yang menyebabkan orang senang. Suami peramah, wanita lain mudah tergoda, contohnya. Jadi bila masing-masing dah kenal kekuatan, kelemahan dan sebagainya, tugas-tugas rumahtangga mudah diberi, awak urus ini, kita urus itu. Lebih teratur, lebih efisyen. Dan peringatan juga perlu diberi sebaiknya kepada kedua-dua. 

Pantau Emosi!

Apabila berhadapan dengan insiden-insiden yang melibatkan pasangan, emosi itu timbul secara semulajadi. Bila bahagia, kita mudah gembira, ketawa, rasa penuh cinta. Bila terasa perkahwinan tergugat, cemburu mula bercambah, prasangka, tidak percaya mula meresapi jiwa. Apabila pasangan berkata atau melakukan perkara yang kita tidak suka, emosi yang sebaliknya akan memenuhi jiwa. Masalah tercetus dan meledak apabila kita respon jam-jam itu juga. 

Sebaik mungkin, elakkan menjawab dan respon ketika emosi negatif sedang memuncak. Perbuatan ini ibarat bom jangka yang akan membuat pasangan bertengkar dan berantakan sentiasa. Jika perlu masuk ke bilik sebentar untuk bertenang, pergi. Jika perlu berwudhu, usahakan. Jika perlu keluar sekejap  bawa kereta, hilangkan diri. 

Adalah sangat penting untuk kita mengawal emosi diri sendiri, tenangkan dia, berbicara dengan hati dan saksikan bagaimana emosi akan tunduk dengan kawalan diri sendiri. Banyak masalah yang pergi begitu sahaja jika pasangan pandai mengawal perasaan. Ramai yang akan kata, “easier said than done”. Betul. Tetapi apabila kita menjadi manusia yang pandai mengawal emosi diri, banyak konflik rumahtangga yang boleh diatasi. 

Jangan Membesarkan Perkara-Perkara Kecil

Kadang-kadang perkara yang timbul itu tidak besar tetapi kerana kita terlalu memikirkannya dan tidak boleh let go, ianya akan menjadi besar dan sulit untuk ditangani. Sebagai contoh, suami menegur solekan isteri yang dirasakan sedikit tebal. Reaksi biasa ialah isteri akan bengang dengan teguran sebegini kerana merasakan suami melihat dia tidak cantik. Sebaliknya, apa yang perlu dilakukan ialah menerima teguran kerana niat suami itu tentu sekali tidak mahu menyakitkan isteri. Bersikap husnuzon selalu, bersangka baik kepada pasangan.  Oh ye ke? Foundation saya tebal sangat ke bang? Kening i ke? Abang tak suka lipstick warna camni ke? Untuk suami pun sama. Jika ditegur isteri, jadikan ianya sebagai perbincangan dan bukan asbab pertengkaran. Tapi pastikanlah cara kita menegur pun janganlah sampai mengguris hati pasangan dan elakkan memerli tentang fizikal sehinggakan pasangan terasa hati. Dan paling penting, jangan dibawa berdiskusi di ruangan media sosial, di Threads, di X dan sebagainya. Walaupun ramai yang memberi ‘nasihat’, natijahnya akan buruk kepada perkahwinan kerana ianya umpama membuka pekung di dada.

Apabila sudah berumahtangga, sudah berdua, bergeraklah seperti satu unit. Bukan lagi bercerita tentang ‘aku’ dan ‘engkau’, sentiasalah memikirkan masa depan ‘kita’ bersama sehingga kita melangkah ke Jannatulfirdausi. Kita adalah ‘pakaian’ kepada pasangan kita. Seperti pakaian, ianya melindungi daripada aib, daripada disakiti, daripada elemen luar yang merbahaya. Pakaian juga mencantikkan, memberi penampilan yang baik kepada sesiapa yang memandang.  Pakaian yang buruk, tidak sopan dan mencolok mata itu memberi akibat yang tidak baik kepada perkahwinan. 

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑