Soalan
Saya was-was sama ada sudah berniat puasa atau tidak kerana malam saya bekerja dan pagi tadi saya tidak bersahur, jadi bagaimana dengan puasa saya hari ini?
Penjelasan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhamad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Niat Adalah Rukun Puasa
Rukun puasa ada 3 iaitu niat, menahan diri dari melakukan perkara membatalkan puasa dan orang yang berpuasa. Dalil bahawa niat merupakan rukun puasa bersandarkan hadis, daripada Amirul Mukminin Abi Hafs, Umar bin al-Khattab RA katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya”.
(Riwayat al-Bukhari dalam permulaan kitab Sahihnya, dan riwayat Muslim no 1907)
Syarat Niat
Terdapat beberapa syarat niat di sisi Mazhab al-Syafie dalam isu puasa Ramadan:
- At-ta’yin iaitu menjelaskan apakah jenis puasa tersebut sama ada puasa Ramadan atau nazar atau sebagainya.
- Al-Jazam: iaitu benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu
- At-Tajdid iaitu memperbaharuinya setiap hari. Ini kerana ianya ibadah yang tersendiri.
- At-Tabyiit iaitu menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat). Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW riwayat Hafsah RA:
مَنْ لَمْ يُجْمِعِ الصِّيَامَ قَبْلَ الْفَجْرِ فَلاَ صِيَامَ لَهُ
Maksudnya: Barang siapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).
(Riwayat Abu Daud, 2454)
Tempat Niat
Tempatnya adalah di hati. Tidak disyaratkan untuk melafazkan niat. Perkara ini tidak terdapat khilaf padanya. Adapun melafazkan niat, ianya untuk memastikan bahawa kita telah berniat.
Bersahur Boleh Dikira Berniat
Menurut pendapat yang muktamad (utama) dalam mazhab Syafie sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Syirwani ketika beliau mengulas tulisan Ibnu Hajar al-Haithami dalam kitab Tuhfatul Muhtaj:
لَوْ تَسَحَّرَ لِيَصُومَ أَوْ امْتَنَعَ مِنْ الْفِطْرِ خَوْفَ طُلُوعِ الْفَجْرِ مَعَ خُطُورِ الصَّوْمِ بِبَالِهِ كَذَلِكَ كَفَاهُ ذَلِكَ؛ لِأَنَّ خُطُورَ الصَّوْمِ بِبَالِهِ كَذَلِكَ مَعَ فِعْلِ مَا يُعِينُ عَلَيْهِ أَوْ تَرْكِ مَا يُنَافِيهِ يَتَضَمَّنُ قَصْدَ الصَّوْمِ
Maksudnya: Sekiranya bersahur untuk tujuan berpuasa atau menghalang (dirinya) daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa kerana bimbang terbitnya fajar ditambah pula muncul dalam fikirannya untuk berpuasa, maka sudah cukup (dikira sebagai niat), kerana terdetiknya untuk berpuasa pada fikirannya bersama dengan perbuatan yang mendorong ke atasnya (untuk berpuasa) atau dengan meninggalkan perbuatan yang menafikan (orang tersebut berpuasa) (secara tidak langsung) telah mengandungi niat puasa.
Dalam konteks puasa Ramadan, termasuk dan dianggap juga telah berniat puasa Ramadan jika kita merancang atau terdetik hasrat untuk bersahur walaupun tidak bangun bersahur. Ini kerana secara praktikalnya, bilamana telah masuk bulan Ramadan dan kita menyedari kita dalam bulan ini dan mengetahui kewajipan berpuasa padanya, kita akan senantiasa berfikir untuk berpuasa, dan tidak ada puasa lain yang berlegar di fikiran melainkan puasa Ramadan.
Manakala antara situasi yang berkemungkinan kita dikira tidak berniat puasa Ramadan ialah seperti seseorang meyakini hari esok adalah hari raya, namun ternyata masih bulan Ramadan, atau seorang wanita yang sedang haid menyangka haidnya bersambung esoknya namun ternyata telah berhenti sebelum subuh dan pelbagai lagi.
Perkara ini berbeza jika berazam dan berniat untuk bersahur pada bukan bulan Ramadan. Ini kerana syarat niat adalah keinginan untuk berpuasa dan menjelaskan kategori puasa sama ada puasa Ramadan, nazar dan sebagainya. Jika kita berniat untuk bersahur namun tidak bangun bersahur pada bulan lain, keinginan bersahur boleh dianggap sebagai niat berpuasa, namun tidak boleh dianggap sebagai puasa Ramadan kerana boleh jadi kita berniat puasa nazar, sunat dan sebagainya.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, perkara yang perlu ada untuk memastikan kesahihan puasa adalah niat dan tempatnya adalah di hati. Namun untuk memastikan adakah kita telah berniat merupakan sesuatu yang sukar untuk ditentukan kerana ia merupakan perkara yang tersembunyi. Oleh yang demikian para ulama mengajar untuk melafazkan niat, supaya dapat dijadikan penanda aras bahawa kita telah berniat. Selain melafazkan niat, perkara-perkara lain juga boleh menjadi petanda bahawa seseorang itu telah pun mempunyai niat seperti bangun untuk bersahur dan sebagainya.
Kami berpandangan sekiranya saudara sedar bahawa masih berada dalam bulan Ramadan, berniat untuk bersahur (walaupun tidak bangun sahur) dan pelbagai lagi petanda-petanda yang menunjukkan saudara bersedia untuk berpuasa, maka itu sudah dianggap berniat puasa Ramadan.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan segala titah perintah-Nya. Amin.
Wallahua’lam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang
Leave a comment