Ramadan, Bulan Penuh Keistimewaan

Ramadan merupakan bulan Islam yang ke sembilan selepas bulan Syaaban dan terletak padanya kewajipan berpuasa ke atas seluruh umat Islam. Ia merupakan bulan yang ditunggu-tunggu berikutan terdapat ganjaran yang cukup istimewa kepada umat Islam. Terdapat beberapa nama lain bulan Ramadan yang menggambarkan kelebihannya, antaranya ialah:

1. Syahrul Quran (Bulan Quran)

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185:

شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ

Maksudnya: “Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai hidayah (petunjuk) kepada manusia dan keterangan-keterangan tentang petunjuk dan pemisah antara yang hak dan yang batil”. 

(Surah Al-Baqarah 2:185)

2. Saiyidus Syuhur (Penghulu Sekalian Bulan)

Bulan Ramadan mendapat gelaran sebagai Penghulu sekalian bulan kerana kelebihan dan keistimewaannya.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan” 

(HR al-Thabrani, Ibnu Khuzaimah & al-Baihaqi)

3. Syahrul Syiam (Bulan Puasa)

Bulan Ramadan turut dikenali sebagai ‘Bulan Puasa’.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 183:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ(١٨٣)

Maksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu mudah-mudahan kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa”.

(Surah Al-Baqarah 2:183)

4. Syahrul Sabr (Bulan Kesabaran) 

Ibadah puasa adalah ibadah yang perlu dilakukan dengan kesabaran. Allah menjanjikan ganjaran pahala yang tidak terbatas kepada orang-orang yang bersabar. 

FirmanNya dalam Surah Al-Zumar ayat 10:

إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّـٰبِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍۢ

Maksud: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan (ganjaran) pahala mereka tanpa batas”

(Surah Al-Zumar 39:10)

5. Syahrul Magfirah (Bulan Keampunan)

“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu”.

(HR al-Imam Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Habban dan al-Baihaqi.)

6. Syahrul Rahmah (Bulan Rahmat)

Daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud:

“Suatu ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda bersabda: Amin, Amin, Amin. Baginda  SAW  ditanya: Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin. Maka Rasulullah  SAW  bersabda: Sesungguhnya Jibril a.s. telah datang kepadaku, lalu Jibril berkata: Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT Katakanlah Amin (wahai Muhammad). Maka aku katakan: Amin.”

(HR Ibnu Hibban)

7. Syahrul Barakah (Bulan Berkat)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadan (dengan kelebihan yang lain): Bulan penuh keberkatan, Allah memfardhukan puasa atas kamu, dibuka pintu-pintu Syurga, dikunci pintu-pintu neraka, dibelenggu Syaitan (supaya tidak mengganggu umat Muhammad SAW daripada melakukan pelbagai ibadat), di dalamnya ada Malam Qadar iaitu satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tiada diberikan kebajikan malam itu maka sesungguhnya dia tidak diberikan kebajikan kepadanya”

(HR al- Nasai’e)

8. Syahrul Najah (Bulan Kemenangan)

Dalam sejarah Islam, terdapat beberapa peperangan dan perjuangan jihad menentang musuh-musuh Islam yang dimenangi dalam bulan Ramadan seperti perang Badar al-Kubra, perang Ahzab, perang Hittin dan perang Ain Jalut. 

9. Syahrul Jud (Bulan Murah Hati)

Nabi Muhammad SAW telah bersabda dalam hadisnya yang bermaksud:

“Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapat pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya.”

(HR al-Tirmidzi)

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑