Siapakah Yang Dimaksudkan Dengan “Umat Terdahulu” Dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 183

Soalan

Merujuk kepada ayat ke-183 daripada Surah al-Baqarah, siapakah yang dimaksudkan dengan “orang-orang yang dahulu daripada kamu” dalam ayat tersebut? Adakah terdapat persamaan dalam bentuk ibadah puasa?

Penjelasan

Ayat ke-183 daripada Surah al-Baqarah mengandungi perintah Allah SWT kepada orang beriman untuk berpuasa bagi meraih ketakwaan. Selain itu, ayat ini turut menjelaskan bahawa umat terdahulu juga turut diperintahkan untuk berpuasa. Firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ (١٨٣)

Terjemahan:Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

(Surah Al-Baqarah 2:183)

Imam al-Tabari menjelaskan bahawa para ulama berbeza pandangan mengenai siapakah yang dimaksudkan dengan orang yang terdahulu dalam ayat ini, dan begitu juga para ulama berbeza pandangan mengenai apakah persamaan yang dimaksudkan?.

Imam al-Alūsi merumuskan pandangan-pandangan dalam tafsiran “orang-orang terdahulu” seperti berikut:

أيِ: الأنْبِياءِ والأُمَمِ مِن لَدُنْ آدَمَ – عَلَيْهِ الصَّلاةُ والسَّلامُ – إلى يَوْمِنا كَما هو ظاهِرُ عُمُومِ المَوْصُولِ. وعَنِ ابْنِ عَبّاسٍ ومُجاهِدٍ – رَضِيَ اللَّهُ تَعالى عَنْهُما – أنَّهم أهْلُ الكِتابِ. وعَنِ الحَسَنِ والسُّدِّيِّ والشَّعْبِيِّ أنَّهُمُ النَّصارى.

Terjemahan:Iaitu: para nabi dan umat-umat sejak zaman Nabi Adam AS hingga hari ini, seperti yang jelas daripada keumuman perkataan “كَما”. Menurut riwayat daripada Ibn Abbās dan Mujāhid RA: mereka yang dimaksudkan adalah Ahli Kitab. Manakala menurut Hasan, al-Suddi, dan al-Sha‘bi, mereka adalah orang-orang Nasrani”.

Imam Ibn ‘Ashur pula berpandangan bahawa mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah merujuk kepada golongan Yahudi, kerana mereka merupakan golongan yang dikenali oleh para sahabat dan tinggal bersama mereka di sekitar Madinah dahulu.

Berkenaan dengan bentuk persamaan pula, al-Shaʻbi dan Qatādah menyatakan bahawa persamaan tersebut adalah pada waktu dan kadar tempoh masa berpuasa. Hal ini merujuk kepada perintah yang diberikan kepada kaum Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS yang juga turut diwajibkan untuk berpuasa pada bulan Ramadan, namun mereka mengubah kewajipan tersebut.

Selain itu, terdapat juga pandangan bahawa persamaan yang dimaksudkan adalah merujuk kepada aspek kewajipan itu sendiri. Imam al-Razi juga turut menjelaskan hal yang sama seperti berikut:

أنَّهُ عائِدٌ إلى أصْلِ إيجابِ الصَّوْمِ، يَعْنِي هَذِهِ العِبادَةَ كانَتْ مَكْتُوبَةً واجِبَةً عَلى الأنْبِياءِ والأُمَمِ مِن لَدُنْ آدَمَ إلى عَهْدِكم، ما أخْلى اللَّهُ أُمَّةً مِن إيجابِها عَلَيْهِمْ لا يَفْرِضُها عَلَيْكم وحْدَكم

Terjemahan:Ia kembali kepada asal pensyariatan kewajipan puasa, iaitu ibadah ini telah diwajibkan ke atas para nabi dan umat-umat sejak zaman Nabi Adam hingga zaman kalian. Allah tidak pernah meninggalkan mana-mana umat tanpa mewajibkan puasa ke atas mereka, dan Dia tidak hanya mewajibkannya ke atas kalian sahaja”.

Terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa persamaan tersebut adalah pada tatacara berpuasa seperti menahan diri daripada makan, minum dan berhubungan antara suami dan isteri.

Walaupun terdapat banyak tafsiran berkenaan ayat ke-183 daripada Surah al-Baqarah, namun ayat ini juga tidak menafikan fakta bahawa amalan berpuasa turut dilakukan oleh pelbagai penganut agama lain, yang pastinya masing-masing mempunyai tatacara dan tujuannya yang tersendiri berbeza dengan ajaran Islam. Walaubagaimanapun, hanya ibadah puasa yang dilakukan oleh orang Islam dan mengikut tatacara yang ditetapkan oleh syarak sahaja yang akan diterima oleh Allah SWT.

Bagi mengetahui perbezaan antara ibadah puasa dalam agama Islam dan pelbagai agama lain, para pembaca boleh merujuk kepada Artikel Irsyad Fatwa #229

Perbezaan Ibadat Berpuasa Dalam Islam Dan Pelbagai Agama

WaLlāhu A’lam

Sumber: PMWP

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑