أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَ ٱلَّيْلَ وَٱلنَّهَارَ خِلْفَةًۭ لِّمَنْ أَرَادَ أَن يَذَّكَّرَ أَوْ أَرَادَ شُكُورًۭا (٦٢)
“Dan Dia lah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaran-Nya), atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmat-Nya itu).”
(Surah Al-Furqan 25:62)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar ketakwaan. Laksanakan segala perintah dan tinggalkan segala yang ditegah. Usah lelah dalam mentaati perintah Allah. Takwa menjadi sumber kekuatan, motivasi dan harapan. Semoga kita beroleh redha Tuhan serta syurga idaman. Suka juga khatib memberi peringatan. Dengarlah khutbah ini dengan sepenuh jiwa. Lapangkan sebentar hati dan minda daripada hal dunia.
Marilah kita bersama menghayati khutbah yang bertajuk “Sambutlah Ramadan Dengan Kesyukuran”.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Kepada Allah SWT kita panjatkan kesyukuran. Kini kita berada di ambang Ramadan, bulan yang penuh keberkatan dan keampunan. Hanya beberapa hari lagi, kita bakal memasuki bulan ke sembilan dalam kalendar hijrah.
Ramadan, satu-satunya bulan yang disebut namanya di dalam al-Quran. Ramadan al-Mubarak, bulan yang amat dirindui para Nabi, para sahabat dan orang-orang soleh. Begitulah Allah menjadikan pergantian hari, minggu, dan bulan untuk menguji siapa yang mahu beringat dan bersyukur. Inilah maksud firman Allah dalam Surah al-Furqan ayat 62 yang dibacakan di awal khutbah tadi: “Dan Dia lah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaran-Nya), atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmat-Nya itu).”
Ramadan bukan bulan biasa yang dilalui sekadar rutin. Ramadan adalah bulan kemuncak ibadah yang dipersiapkan sebelum dan diteruskan selepasnya. Contohilah Rasulullah SAW, Baginda tidak hanya menunggu, namun menanti dengan doa dan harapan, bersiap-siap dengan hati penuh rindu serta kesyukuran. Malah Saidina Umar ibn al-Khattab radiallahuanhu juga menangis apabila tibanya Ramadan kerana merasa takut sekiranya ia menjadi Ramadan yang terakhir.
Kaum Muslimin yang Berbahagia,
Apakah kita semua pasti sempat bertemu Ramadan? Ya, belum tentu! Namun yang pasti, sebahagian ahli keluarga dan sahabat handai yang berada bersama-sama kita pada Ramadan tahun lalu, tidak lagi tersenarai nama mereka kali ini. Atas dasar itu, persiapan bagi menghadapi Ramadan, perlu di lakukan dengan bersungguh-sungguh. Ia habuan besar yang perlu mesti kita sambut dan hargai.
Imam Ahmad meriwayatkan sebuah hadis daripada Talhah bin Ubaidillah radiallahuanhu meriwayatkan bahawa dua orang lelaki dari satu kabilah telah memeluk Islam pada zaman Rasulullah SAW. Seorang daripada mereka gugur syahid dalam perang, manakala yang seorang lagi meninggal dunia setahun kemudian. Talhah berkata: “Aku bermimpi, melihat lelaki yang meninggal setahun kemudian itu dimasukkan ke dalam syurga lebih dahulu daripada rakannya yang syahid.
Lantaran hairan dengan mimpi itu, aku menceritakannya kepada Nabi SAW. Baginda menjelaskan dengan bersabda: “Bukankah dia sempat berpuasa sebulan penuh Ramadan setelah kematian temannya dan menunaikan lebih banyak solat?”
Subhanallah! Lihatlah bagaimana Ramadan menjadi sebab seseorang diangkat darjatnya di sisi Allah. Maka bersyukurlah kerana Allah SWT masih memanjangkan umur kita hingga ke saat ini dan bakal memasuki Ramadan yang dinanti, insya Allah.
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Apakah bentuk syukur yang perlu kita zahirkan? Pastinya ia tidak cukup dengan melafazkan kalimah Alhamdulillah di lisan. Maka mari kita fahami dan jayakan tiga tuntutan syukur berikut:
Pertama: Hargai Kurniaan Ramadan dengan Kesungguhan
Syukuri nikmat kehidupan yang masih diberi bersama kesihatan dan kecukupan. Di sana ramai yang masih diuji dengan pelbagai kepayahan, sakit, kesempitan hidup, ditimpa bencana dan sebagainya, sehingga tidak mampu menunaikan ibadah dengan sempurna. Jika kita mampu menyambut Ramadan dan menunaikan segala ibadah di dalamnya dalam keadaan sihat dan dipermudahkan, itulah nikmat terbesar yang perlu kita syukuri. Tidak cukup dengan lafaz Alhamdulillah, tetapi gunakanlah nikmat ini untuk menjana lebih banyak kebaikan.
Ambillah peluang membuktikan kesyukuran dengan benar-benar menjaga puasa zahir dan batin dengan penuh kesungguhan, memelihara setiap ibadah wajib dan menambah ibadah sunat, membaca al-Quran, bersolat tarawih dan qiamullail serta memperbanyakkan infak dan bersedekah. Pasakkan di hati dan minda, “Barangkali ini Ramadanku yang terakhir.”
Kedua: Syukuri Ramadan Dengan Taubat dan Memohon Ampunan
Ramadan adalah peluang meraih penghapusan dosa dan penjernihan jiwa. Syukurilah nikmat ini dengan bersungguh-sungguh menjayakan apa yang melayakkan kita meraih keampunan. Imam at-Tirmidzi meriwayatkan daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sungguh rugi, seseorang yang memasuki bulan Ramadan, kemudian keluar berlalu sebelum dosanya diampunkan.”
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa alangkah ruginya, Ramadan yang dilalui tanpa taubat, mengislahkan diri dan beramal soleh. Gaya hamba-hamba Allah yang gagal meraih ampunan masih dikekalkan. Mereka inilah yang di saat berpuasa menahan lapar dan dahaga, tetapi mata masih rakus melayani dosa dan maksiat, sementara lidah masih petah membicarakan aib insan lain. Ada pula yang berpuasa, tetapi solat fardu diabaikan. Berbuka dengan beraneka juadah hingga mengabaikan solat Maghrib dan Isyak. Bagaimana puasa sebegini dapat menganugerahkan ampunan?
Ketiga: Syukuri Ramadan Dengan Memperbaiki Jiwa Kehambaan
Puasa disyariatkan untuk menyedarkan betapa kita hamba Allah yang serba kekurangan. Dengan lapar dan dahaga, kita diajak untuk mengenangkan kepayahan yang bakal diharungi di akhirat kelak. Namun ketika jiwa dididik dengan berpuasa, tiada juga usaha untuk melangkah ke masjid untuk berjemaah dan beribadat. Ketika tangan menghulurkan sedekah, lisan masih tajam menyakiti. Ketika berbuka, hidangan bagaikan pesta juadah, lupa nasib mereka yang tiada apa-apa makanan untuk dijamah.
Sidang Muslimin Yang Dimuliakan,
Di malam pertama Ramadan nanti, sujud syukur dan berdoalah semoga Ramadan kali ini lebih bererti dan memberikan keberkatan. Sebuah doa yang masyhur dinukilkan daripada al-Tabarani di dalam al-Du’a dan Abu Nu’aim al-Asbahani di dalam Hilyah al-Auliya’ elok diamalkan yang maksudnya: “Ya Allah, sejahterakanlah aku untuk Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah daripadaku (ibadatku).”
Mengakhiri khutbah, hayati beberapa saranan berikut:
Pertama: Hargai Kurniaan Ramadan. Gunakan nikmat ini dengan beribadah bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan.
Kedua: Ramadan Peluang Meraih Ampunan. Pastikan kita tidak ketinggalan meraih anugerah ini. Mungkin ini Ramadan terakhir buat kita.
Ketiga: Buktikan Kesyukuran. Bersyukur bukan hanya di lisan. Buktikan dengan peningkatan amal, ketakwaan dan doa yang dititipkan.
Hayati firman Allah SWT dalam Surah Luqman, ayat 12:
أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا لُقْمَـٰنَ ٱلْحِكْمَةَ أَنِ ٱشْكُرْ لِلَّهِ ۚ وَمَن يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِۦ ۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌۭ (١٢)
Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah berikan Luqman hikmah kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan): Bersyukurlah kepada Allah. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang kufur (tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.”
(Surah Luqman 31:12)
Tarikh Bacaan: 29 Syaaban 1446H | 28 Februari 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment