Pendidikan Agama Sebagai Asas Pembentukan Generasi Muslim Berkualiti

Pendidikan agama penting dalam kehidupan manusia. Ia adalah suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan. Menurut Imam al-Ghazali pendidikan bermaksud mengeluarkan perangai buruk yang ada dalam diri manusia dan menggantikannya dengan menyemai sifat-sifat peribadi yang baik. Pendidikan juga bertujuan untuk menghasilkan perubahan positif khususnya dalam membentuk pemikiran, gaya bertindak dan perilaku seseorang. 

Menurut Buya Hamka, pendidikan bukan hanya membantu manusia memperolehi penghidupan yang sebaiknya bahkan melalui ilmu pengetahuan manusia akan mengenal dirinya sebagai hamba, memperbaiki akhlaknya dan berupaya mencari keredaan Allah SWT dalam setiap amal perbuatannya. Buya Hamka seterusnya menghuraikan bahawa, pendidikan Islam adalah usaha yang dilakukan oleh pendidik untuk membentuk watak, budi, akhlak, peribadi sehingga individu yang dididik tahu membezakan perkara yang baik dan buruk. Individu yang diasuh dengan didikan Islam akan berupaya menjadi muslim sejati, beriman, beramal soleh dan berakhlak mulia sehingga menjadi ahli masyarakat yang berbakti kepada agama, bangsa dan tanah airnya. 

Membentuk Khaira Ummah

Dalam bidang pembangunan insan, pendidikan Islam bertujuan untuk melahirkan insan kamil (sempurna) yang berakhlak mulia hingga akhirnya melahirkan generasi muslim berkualiti atau umat terbaik yang disebut sebagai khaira ummah. Generasi khaira ummah adalah umat yang mempunyai dua sifat utama iaitu mengajak kepada kebaikan (maaruf) dan dalam masa yang sama mereka mencegah kemungkaran, jiwa mereka sentiasa tunduk patuh dan beriman kepada Allah SWT serta mencintai Rasulullah SAW. Generasi khaira ummah ini digambarkan oleh Baginda Nabi Muhammad SAW seperti sabda Baginda Rasulullah SAW:

“Sebaik-baik manusia ialah generasiku, kemudian generasi berikutnya, kemudian generasi berikutnya.” [HR : al-Bukhari dan Muslim] 

Kehebatan generasi awal Islam dalam kalangan sahabat Baginda Rasulullah SAW ini diperincikan secara jelas dalam kitab suci al-Quran melalui firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 110:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ

Maksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” 

(Surah Ali-Imran 3:110)

Pendidikan Islam yang diberi secara sempurna khususnya kepada golongan muda merangkumi gabungan ilmu duniawi dan ukhrawi (akhirat) akan membentuk peribadi unggul yang melahirkan generasi Muslim Berkualiti atau disebut sebagai ‘The Golden Generation’.

Generasi Emas Islam

Generasi Emas Islam adalah golongan yang lahir dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW, Tabi’in, dan seterusnya generasi Tabi’ut-Tabi’in. Generasi ini telah memberi sumbangan yang sangat besar dan signifikan terhadap perkembangan Islam serata dunia. Berikut dinyatakan beberapa sumbangan utama generasi tersebut: 

1. Penyebaran Ajaran Islam: 

  • Para sahabat Radhiallahu Anhum (RH): Mereka secara langsung menerima wahyu dan ajaran daripada Nabi Muhammad SAW. Mereka menyebarkan agama Islam ke seluruh Jazirah Arab dan ke wilayah-wilayah lain. Mereka juga memainkan peranan utama dalam pertempuran dan penaklukan yang bertujuan untuk mempertahankan kesucian Islam daripada pihak musuh yang menceroboh dan membantu menyebarkan dakwah Islamiah. 
  • Golongan Tabi’in dan Tabi’ut Tabi’in: Generasi ini meneruskan kesinambungan tugas dakwah daripada para sahabat RH hinggalah penyebaran Islam ke seluruh pelosok dunia meliputi wilayah yang lebih luas dari Tanah Arab hingga ke benua Asia, Afrika, dan Eropah. Mereka menyebarkan ajaran Islam melalui perdagangan, misi keagamaan, diplomasi politik, aktiviti sosio ekonomi, kebudayaan dan pendidikan. 

2. Pengumpulan dan Penyampaian adis Nabi SAW sebagai sumber hukum selepas al- Quran alKarim: 

  • Generasi Sahabat: Mereka adalah perawi pertama hadis, yang menyampaikan ucapan, tindakan, perlakuan dan persetujuan atau ikrar Baginda Nabi Muhammad SAW kepada generasi seterusnya. Antara mereka termasuk golongan sahabat RH seperti Abu Hurairah, Saidatina Aisyah, dan Ibn Abbas. 
  • Generasi Tabi’in: Mereka memainkan peranan penting dalam mengumpulkan hadis melalui hafazan, penulisan dan menyebarluaskan hadis yang diterima dari sahabat RH melalui majlismajlis ilmu dan kemudiannya menerbit kitabkitab hadis sebagai rujukan umat. Mereka juga mula memperkenalkan dan mengembangkan metodologi ulum al-Hadis (ilmu-ilmu berkaitan hadis) untuk memastikan keabsahan hadis. 

3. Pembentukan dan Pengembangan Hukum Islam (Fiqh): 

  • Generasi Sahabat RH: Mereka terlibat dalam bidang pentafsiran hukum berdasarkan wahyu dan sunnah Baginda Nabi SAW yang menjadi rujukan utama kepada generasi seterusnya (Tabi’in).  
  • Tabi’in: Generasi ini telah memperluas dan mengembangkan prinsip-prinsip hukum Islam sehinga mengembangkan sekolah-sekolah fikih (mazhab), dan menulis karya-karya penting dalam bidang hukum dan teologi (ilmu berkaitan agama). 

4. Kepemimpinan dan Pemerintahan: 

  • Generasi Sahabat RH: Khalifah utama yang diangkat memimpin umat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW iaitu Saidina Abu Bakar, Umar, Uthman, dan Ali RH, mereka memimpin umat muslim dan menjalankan pemerintahan berdasarkan prinsip-prinsip Islam ajaran Baginda Nabi SAW. 
  • Generasi Tabi’in: Mereka juga berperanan dalam pemerintahan dan pentadbiran dengan menerapkan prinsip-prinsip Islam dalam menguruskan negara dan mentadbir Masyarakat dengan seadil-adilnya. 

5. Pendidikan dan Penulisan: 

  • Generasi Sahabat RH: Mereka memperteguh dan menerapkan keimanan berteraskan ajaran Baginda Rasulullah SAW kepada generasi awal dan mengajar ilmu agama kepada generasi seterusnya. 
  • Generasi Tabi’in dan Tabi’ut Tabi’in: Mereka menulis dan menerbit karya- karya Islam dalam pelbagai disiplin ilmu sebagai rujukan kepada generasi seterusnya. Antaranya termasuk tafsir al-Qur’an, hadis, feqah, falsafah, perundangan, pendidikan, perubatan, ekonomi dan sejarah Islam. Karya-karya ini menjadi sumber penting bagi umat Islam dalam memahami dan mengamalkan ajaran agama. 

Sumbangan-sumbangan ini membentuk dasar bagi perkembangan peradaban Islam dan pemahaman keagamaan yang mendalam, serta mempengaruhi banyak aspek kehidupan Muslim, ketamadunan dan peradaban manusia hingga ke saat ini.

Sebagai kesimpulan, matlamat pendidikan Islam bukan sahaja ingin melahirkan generasi yang baik, keturunan yang baik, seorang yang taat pada peraturan, mahir dalam bidang-bidang yang diceburinya malah matlamat pendidikan Islam adalah melahirkan seorang manusia yang mempunyai sifat kemanusiaan, beriman, mendatangkan manfaat terhadap diri sendiri, orang lain, keluarga, masyarakat dan negara.

Oleh: Ahmad Shahrom bin Zamri 
Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dasar Kemajuan Islam, JAKIM
Untuk Majalah Sinar Rohani

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑