Hukum Wanita Haid Menahan Diri Daripada Makan Dan Minum Di Siang Hari Ramadan

Soalan

Saya seorang isteri yang mempunyai dua orang anak lelaki dan suami. Saya akan masak untuk makan sahur dan berbuka. Bolehkah sekiranya saya yang dalam keadaan haid bersahur kemudian ikut berpuasa bersama iaitu dengan tidak makan dan minum pada waktu siang serta berbuka bersama-sama keluarga saya?

Penjelasan

Wanita dalam keadaan haid DIHARAMKAN berpuasa dengan niat ibadah, namun mereka disunatkan menahan diri daripada perkara membatalkan puasa di siang hari Ramadan tanpa disertakan dengan niat puasa kerana haram disertakan dengan niat puasa.

Antara syarat yang mewajibkan seseorang wanita itu berpuasa adalah suci daripada haid. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Mua’azah RA, beliau bertanya kepada Saidatina ‘Aishah RA tentang kenapa diperintahkan untuk qada puasa kerana kedatangan haid namun tidak diperintahkan ke atas solat. Lalu Saidatina ‘Aishah RA menjawab:

كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ وَلاَ نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلاَةِ ‏.‏

Maksudnya: Hal ini pernah berlaku kepada kami, lalu kami diperintahkan untuk qada puasa, namun kami tidak diperintahkan untuk qada solat

(Riwayat Muslim)

Wanita haid diharamkan berpuasa iaitu menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa (imsak) disertakan dengan niat ibadah berpuasa sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi. Menurut beliau, wanita dalam keadaan haid ibadat puasanya tidak sah bahkan diharamkan berpuasa.

Namun sekiranya wanita tersebut menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa seperti makan atau minum tanpa niat ibadah puasa maka hukumnya harus dan tidak berdosa. 

Dalam hal ini juga, Syeikh Muhammad Zuhaili menyebut bahawa:

ويحرم على الحائض أو النفساء الصيام، ويحرم عليها الإمساك بنية الصوم، ولا ينعقد، ولو أمسكت لا بنية الصوم لم تأثم

Maksudnya: Haram ke atas wanita haid atau nifas berpuasa. Begitu juga haram ke atasnya imsak(menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa) dengan disertakan niat berpuasa serta tidak sah. Sekiranya wanita haid menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa tanpa berniat puasa, maka tidak berdosa”.

Imam al-Syarawani menyatakan bahawa wanita haid tidak diwajibkan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa akan tetapi sunat menahan diri bagi menghormati bulan Ramadan. Tambahan lagi, Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut bahawa bagi wanita haid yang hendak makan atau minum disunatkan makan dan minum dalam keadaan tersembunyi agar tidak dilihat oleh orang ramai supaya dapat mengelakkan fitnah.

Kesimpulan

Wanita dalam keadaan haid diharamkan berpuasa dengan niat ibadat, namun mereka disunatkan menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa di siang hari Ramadan tanpa disertakan dengan niat ibadat puasa.

Wallahu a’lam.

Sumber: PMWP

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑