أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ(١٨٣)
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa”.
(Surah Al-Baqarah 2:183)
Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,
Bertakwalah kepada Allah SWT dengan takwa yang sebenar. Laksanakan segala perintah Allah dan jauhi segala larangan-Nya. Telah hampir seminggu kita berpuasa. Ramadan adalah anugerah istimewa yang diberikan oleh Allah untuk melahirkan insan yang bertakwa. Ia begitu mulia kerana perintah puasa di dalamnya. Justeru suburkan iman dan rebutlah peluang yang terhidang di depan mata, selagi kita memiliki masa.
Di kesempatan ini marilah kita bersama menghayati khutbah bertajuk “Bagaimana Seharusnya Menjalani Ramadan”.
Tetamu Allah yang dikasihi,
Ramadan bukan hanya sekadar berpuasa menahan lapar dan dahaga, tetapi juga momentum untuk mendekatkan diri kepada Allah. Kehadiran Ramadan adalah sebagai madrasah tarbiah terbaik untuk meningkatkan kualiti ibadah kita. Matlamatnya jelas iaitu untuk meningkatkan ketakwaan dalam kalangan orang beriman sepertimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah, ayat 183 yang dibacakan pada permulaan khutbah tadi yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa”.
Ibadah puasa adalah wasilah dalam menuju takwa. Ia merupakan salah satu cara yang mampu membina, mempertingkat, serta memperkukuhkan iman. Ramadan hadir dengan rahmat, maghfirah dan jaminan pembebasan dari neraka. Inilah bulan yang mengajar kita erti kesabaran dan memupuk sifat ihsan dan kedermawanan. Bulan yang Allah melipatgandakan pahala dan membuka pintu syurga seluas-luasnya. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah radiallahuanhu bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya:
“Apabila datangnya Ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan”.
Namun persoalannya, sejauh mana usaha kita untuk mengisi Ramadan ini untuk mendekatkan diri kepada Allah? Apakah tahap ibadah kita sama sahaja seperti bulan-bulan sebelumnya? Atau ia menjadi semakin kurang lantaran dek kerana alasan letih berpuasa?
Berikut adalah beberapa panduan untuk bagaimana seharusnya kita mengisi Ramadan agar kita mampu meraih anugerah takwa yang dijanjikan Allah SWT.
Pertama: Konsisten dalam Ibadah Wajib
Percaya atau tidak, di bulan Ramadan pahala ibadah wajib digandakan sebanyak 70 kali ganda. Maka seharusnya kita memastikan solat lima waktu kita tepat pada waktunya, lengkap dengan semua perkara rukun dan sunatnya. Puasa yang kita lakukan hendaklah penuh keikhlasan semata-mata kerana Allah. Ia bukan sahaja menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkannya, malah mampu menanam sifat iman, taat dan reda. Bagi memastikan ibadah tersebut terus konsisten, perbanyakkan berdoa mohon pertolongan kepada Allah. Antaranya doa yang diajar Rasulullah SAW kepada sahabatnya bernama Mu’az bin Jabal yang maksudnya: “Ya Allah, bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan melakukan ibadah terbaik kepada-Mu”.
Kedua: Memperbanyakkan Ibadah Sunat
Memperbanyakkan ibadah sunat sepanjang Ramadan adalah cara yang sangat baik untuk mendekatkan diri kepada Allah dan meraih pahala berganda. Rancang dengan sebaiknya jadual ibadah seharian kita. Ia mampu untuk mendisiplinkan kita dalam melaksanakan ibadah sunat. Tentukan waktu khusus untuk bacaan Al-Qur’an, berzikir dan bukan hanya melakukannya mengikut waktu terluang dan lapang. Solat sunat tahajud, dhuha, rawatib, tarawih dan witir pastikan dibuat setiap hari tanpa gagal.
Kita perlu ingat kita sedang berada dalam tarbiah intensif Ramadan. Kita ingin meraih keampunan Allah, maka kita perlu berusaha dengan sebaiknya. Tak usah kita terlalu berkira dengan Allah untuk beribadah kepadanya, sedangkan Allah telah membuka seluas-luas peluang keampunan dan ganjaran untuk kita. Perkara ini selaras dengan hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah radiallahunahu, Sabda Nabi SAW yang maksudnya:
“Sesiapa yang mendirikan Ramadan dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu”.
Ketiga: Menjaga Hati dan Lisan
Puasa Ramadan mampu menjadi perisai daripada melakukan perbuatan keji, perkataan yang nista apatah lagi mencetuskan permusuhan ke atas orang lain. Isilah Ramadan dengan memperbanyakkan istighfar, serta menjaga lisan dan hati kita daripada segala bentuk kemaksiatan. Peliharalah ibadah puasa agar tidak dirosakkan dengan sebarang perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Nabi SAW bersabda yang maksudnya:
“Puasa itu perisai. Apabila pada hari seorang kamu berpuasa, janganlah dia mengucapkan kata-kata kotor dan memaki mencela. Jika seseorang memakinya atau mengajak berkelahi, maka hendaklah dia berkata, “Sesungguhnya aku sedang berpuasa”.
Keempat: Memperbanyak Sedekah dan Infak
Ramadan mengajar umat Islam untuk lebih peduli dengan sesama manusia. Maka berinfaqlah dan bersedekah membantu masjid, surau dan orang yang memerlukannya. Dengan infaq kita, masjid dan surau pasti akan meriah dengan pelbagai program pengimarahan. Dengan infak kita juga ia dapat memperkuatkan rasa empati dan kasih sayang sesama insan. Harta yang diinfakkan itulah yang akan kekal memberikan manfaat kepada kita di hari akhirat kelak. Maka pupuklah sifat kedermawanan dalam diri, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.
Kelima: Memperkuat Hubungan dengan Allah
Allah bersifat Maha Mendengar dan Maha Pengampun. Allah amat suka mendengar doa para hambanya. Bulan Ramadan adalah waktu yang istimewa di mana doa-doa memiliki peluang lebih besar untuk dikabulkan. Maka perbanyakkan doa kita di bulan Ramadan khususnya waktu mustajab seperti sebelum terbit fajar, ketika sedang berpuasa dan sebelum azan maghrib untuk berbuka. Dengan doa, seseorang Muslim akan lebih meningkat iman dan takwanya serta mendekatkan diri kepada pencipta-Nya.
Kaum Muslimin Yang Berbahagia,
Kesimpulan yang boleh kita ambil daripada khutbah pada hari ini ialah:
Pertama: Tingkatkan takwa kita dengan memperbanyakkan ibadah di bulan Ramadan samada ibadah wajib dan sunat.
Kedua: Puasa yang paling istimewa di sisi Allah SWT ialah mereka yang dapat menahan lapar dan dahaga serta menjaga segala pancaindera mereka daripada melakukan maksiat dan dosa.
Ketiga: Usah biarkan Ramadan berlalu begitu sahaja tanpa kita berusaha mendapat keampunan, rahmat dan ganjaran pahala daripada Allah SWT.
Marilah bersama kita hayati firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 186:
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِى عَنِّى فَإِنِّى قَرِيبٌ ۖ أُجِيبُ دَعْوَةَ ٱلدَّاعِ إِذَا دَعَانِ ۖ فَلْيَسْتَجِيبُوا۟ لِى وَلْيُؤْمِنُوا۟ بِى لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ(١٨٦)
Maksudnya: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir, Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul”.
Tarikh Bacaan: 6 Ramadan 1446H | 7 Mac 2025M
Disediakan Oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
Leave a comment