Asmaul Husna yang ke 89 ialah Al-Mughni (المغني), iaitu Tuhan yang Berkuasa memberikan kekayaan kepada hambanya, kerana Tuhan itu Maha Kaya. Kekayaan itu sama ada berupa kekayaan harta benda ataupun kaya hati ataupun kaya dengan ilmu ma’rifatullah.
Iktibar daripada sifat Allah SWT yang Al-Ghaniyyu dan juga Al-Mughni itu sewajarnya manusia juga merasa bahawa dirinya kaya. Maksudnya ialah mereka tidak berhajat kepada kekayaan orang lain kerana hatinya kaya, memadai dengan kurnian Allah SWT kepada dirinya meskipun tidak seberapa.
Hubungan sesama manusia atas nama persaudaraan Islam atau atas nama kemanusian, saling hormat- menghormati antara satu sama lain. Sebab itu, mereka tidak perlu untuk merendah diri atau menghina diri dengan mengampu orang lain kerana mereka tidak berhajat kepada pemberian orang lain. Dia hanya menyembah atau mengabdikan diri kepada Allah SWT dan mengharap pertolongan-Nya.
Sesama manusia dianjurkan agar saling bantu-membantu, kerana Allah SWT menganjurkan supaya bantu-membantu atas jalan kebajikan dan takwa. Sebaliknya dilarang membantu orang lain dengan jalan kejahatan dan permusuhan. Walaupun orang lain cuba memaksanya untuk berbuat demikian.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a comment