Teks Khutbah Jumaat (WP): Zakat Dan Al-Quran Menjana Kesejahteraan

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

وَهَـٰذَا كِتَـٰبٌ أَنزَلْنَـٰهُ مُبَارَكٌۭ فَٱتَّبِعُوهُ وَٱتَّقُوا۟ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ(١٥٥)

Maksudnya: “Dan ini sebuah Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya; dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.”

(Surah Al An’am 6:155)

Sidang Hadirin Solat Jumaat sekalian,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sepenuh kesungguhan. Syukuri nikmat kehidupan dengan taat melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan. Hindari perkara-perkara lagha seperti tidur, berbual-bual dan berinteraksi dengan telefon bimbit ketika khutbah disampaikan. Berikan tumpuan, mudah-mudahan kita meraih kesempurnaan ganjaran solat Jumaat di bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Antara peristiwa agung yang berlaku dalam bulan Ramadan ialah Nuzul al-Quran iaitu turunnya al-Quran. Ia disambut pada 17 Ramadan setiap tahun. Selaras sambutan ini, khutbah Jumaat hari ini membicarakan tajuk, “Zakat dan Al-Quran Menjana Kesejahteraan.”

Sidang Jemaah yang berbahagia,

Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT kepada utusan-Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW sebagai pembimbing manusia di atas jalan kebenaran. Selain peristiwa penurunan al-Quran ini menzahirkan keagungan dan kebesaran Allah SWT, ia juga adalah bukti rahmat dan kasih sayang-Nya kepada seluruh manusia. Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dan berperingkat-peringkat mengambil masa kira-kira selama 23 tahun. Ia menjadi sumber keberkatan dan menjana kesempurnaan dalam kehidupan manusia. 

Firman Allah SWT di dalam Surah al-An‘am, ayat 155 yang dibacakan pada permulaan khutbah sebentar tadi, yang bermaksud: “Dan ini sebuah kitab (al-Quran) yang Kami turunkan, yang ada berkatnya (banyak manfaatnya). Oleh itu, hendaklah kamu menurutnya, dan bertaqwalah (kepada Allah), mudah-mudahan kamu beroleh rahmat.” 

Ayat tersebut memberi penekanan kepada kepentingan al-Quran sebagai sumber petunjuk bagi manusia. Selain itu, ia turut menegaskan bahawa al-Quran adalah kitab yang penuh barakah dan menyeru agar manusia mengikutinya untuk mencapai kejayaan dan rahmat Allah SWT.

Hadirin Jumaat yang dikasihi,

Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai wahyu terakhir bagi membimbing manusia ke jalan yang benar. Di dalamnya terkandung prinsip keimanan, akhlak, hukum-hakam, dan kisah-kisah umat terdahulu sebagai iktibar. Ia juga mengandungi panduan dalam semua aspek kehidupan, termasuk ekonomi, sosial, politik dan pendidikan yang menjana kesempurnaan hidup insan. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Israa’, ayat 9:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

إِنَّ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ يَهْدِى لِلَّتِى هِىَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ ٱلْمُؤْمِنِينَ ٱلَّذِينَ يَعْمَلُونَ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْرًۭا كَبِيرًۭا(٩)

Maksudnya: “Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (syariat Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.”

(Surah Al-Israa’ 17:9)

Maka, jika manusia ingin berjaya di dunia dan akhirat, mereka mestilah menjadikan al-Quran sebagai pedoman utama dalam setiap tindakan dan keputusan yang mereka ambil.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sayangnya, ramai dalam kalangan umat Islam hari ini hanya membaca al-Quran tetapi tidak menghayati dan mengamalkannya. Imam al-Bukhari rahimahullah telah meriwayatkan daripada Uthman bin ‘Affan radiallahuanhu bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling utama dalam kalangan kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.”

Hadis ini menekankan bahawa keutamaan bukan hanya membaca al-Quran tetapi juga memahami dan menyebarkan ajarannya. Dua tanggungjawab ini; mempelajari dan mengajarkan al-Quran adalah tergalas di atas pundak setiap orang yang beriman. 

Mengajarkan al-Quran itu termasuklah mengajar cara membacanya dan mengajarkan cara beramal dengan kandungannya.

Hadirin Muslimin yang dimuliakan,

Ingatlah, ibadah puasa Ramadan yang kita laksanakan tidak lengkap sekiranya kewajipan zakat fitrah tidak ditunaikan. Islam mewajibkan zakat fitrah ke atas umatnya dengan hikmah dan tujuan yang tersendiri. Sesungguhnya, ia pembersihan diri orang yang berpuasa. Imam Abu Daud meriwayatkan hadis daripada Ibn Abbas radiallahuanhuma, beliau berkata yang maksudnya: “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa daripada perkara yang lalai dan perkataan keji, juga memberi makan bagi orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat (Aidilfitri), maka zakatnya diterima. Namun, sesiapa yang menunaikannya selepas solat, maka ia dianggap sebagai sedekah.”

Marilah kita semarakkan bulan Ramadan yang mulia ini dengan amalan sedekah, zakat dan wakaf. Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah menyediakan pelbagai kemudahan dan saluran pembayaran. Kaunter cawangan zakat di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibuka setiap hari sepanjang bulan Ramadan ini. PPZ-MAIWP juga menyediakan perkhidmatan konsultasi dan taksiran zakat secara dalam talian menerusi kaunter zakat digital, di samping kemudahan kaunter van bergerak, potongan zakat bulanan, laman web dan aplikasi zakat. Umat Islam juga boleh menunaikan kewajipan zakat fitrah menerusi 969 orang Ketua Penolong Amil dan Penolong Amil yang dilantik.

Hasil daripada zakat harta yang ditunaikan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan lebih daripada RM1.1 bilion dana kutipan zakat yang disalurkan kepada asnaf menerusi skim-skim yang merangkumi bantuan kebajikan, pendidikan, pembangunan ummah, perlindungan, perubatan dan ekonomi, selain daripada agihan menerusi skim wakalah, pembangunan asnaf, prasarana umat Islam, institusi pendidikan dan kebajikan. Selain itu, mimbar juga menyarankan para jemaah agar berwakaf dengan PPZ-MAIWP untuk kelestarian dan pembangunan umat Islam di Wilayah Persekutuan. Selain menikmati potongan cukai 10% daripada pendapatan, pewakaf juga berpeluang melihat hasil manfaat wakaf yang berterusan menerusi projek-projek yang merangkumi sektor sosial, ekonomi, kesihatan, pendidikan, hartanah dan kecemasan. Ingatlah, ibadah wakaf akan menjadi sedekah jariah yang berpanjangan pahala dan manfaatnya meskipun setelah meninggal dunia.

Sidang Hadirin yang dikasihi,

Beberapa saranan untuk tindakan kita semua daripada khutbah hari ini:

Pertama: Jadikan al-Quran sebagai pedoman hidup dalam semua aspek kehidupan untuk menjamin kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Kedua: Baca, fahami dan amalkan isi kandungan al-Quran. Yakinlah ia akan membawa rahmat, keberkatan dan kejayaan dalam kehidupan.

Ketiga: Tunaikanlah zakat fitrah. Ia pembersihan jiwa dan bantuan untuk golongan yang memerlukan, agar kita semua dapat merayakan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran.

Hayati firman Allah SWT dalam Surah Yunus, ayat 57 dan 58:

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ قَدْ جَآءَتْكُم مَّوْعِظَةٌۭ مِّن رَّبِّكُمْ وَشِفَآءٌۭ لِّمَا فِى ٱلصُّدُورِ وَهُدًۭى وَرَحْمَةٌۭ لِّلْمُؤْمِنِينَ(٥٧) قُلْ بِفَضْلِ ٱللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِۦ فَبِذَٰلِكَ فَلْيَفْرَحُوا۟ هُوَ خَيْرٌۭ مِّمَّا يَجْمَعُونَ(٥٨) 

Bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, juga menjadi hidayah serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah (wahai Muhammad): “Kedatangan al-Quran adalah dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayang-Nya, maka dengan kandungan al-Quran itulah hendaknya mereka bergembira kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan.”

Tarikh Bacaan: 13 Ramadan 1446H | 14 Mac 2025M
Disediakan Oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑