Adakah Istimna’ Pada Bulan Ramadan Wajib Dikenakan Kaffarah?

Soalan

Setahu saya perbuatan jimak pada bulan Ramadan wajib dikenakan kaffarah, tapi bagaimana pula dengan mengeluarkan mani dengan sengaja, adakah ia turut dikenakan kaffarah? 

Penjelasan

Perbuatan istimna’(mengeluarkan mani dengan sengaja) pada bulan Ramadan merupakan salah satu perkara yang membatalkan puasa namun tidak diwajibkan kaffarah puasa ke atasnya.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Pada dasarnya, perbuatan mengeluarkan air mani atau dalam bahasa arabnya istimna’, yang melibatkan sentuhan seperti onani dengan tangan sendiri atau isteri, tanpa lapik atau berlapik, yang disengajakan, tanpa dipaksa dan diketahui merangsang pengeluaran air mani, adalah membatalkan puasa.

Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa istimna’ yakni mengeluarkan mani dengan sengaja merupakan perkara yang membatalkan puasa secara mutlak meskipun berlapik. Jelas di sini bahawa ia membatalkan puasa, namun adakah ia sampai kepada tahap sebagaimana persetubuhan yang diwajibkan kaffarah puasa?

Menurut mazhab Syafi‘i, tidak diwajibkan kaffarah ke atasnya. Imam al-Nawawi berkata:

إذَا اسْتَمْنَى مُتَعَمِّدًا بَطَلَ صَوْمُهُ وَلَا كَفَّارَةَ

Maksudnya: “Jika seseorang beristimna’ secara sengaja, maka batallah puasanya dan tiada kaffarah ke atasnya.”

Beliau berkata lagi bahawa sekiranya puasa seseorang itu terbatal oleh sebab selain daripada jimak(persetubuhan) seperti makan, minum, istimna’ atau pergaulan yang membawa kepada keluarnya air mani, maka tiada kaffarah ke atasnya. Hal ini kerana nas kewajipan kaffarah tersebut hanya diturunkan buat mereka yang melakukan jimak dan kesemua perkara ini tidak termasuk dalam konteks hadis.

Kesimpulan

Dapat kita simpulkan di sini bahawa perbuatan istimna’ (mengeluarkan mani dengan sengaja) pada bulan Ramadan merupakan salah satu perkara yang membatalkan puasa namun tidak diwajibkan kaffarah puasa ke atasnya.

Wallahu A‘lam.

Sumber: PMWP

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑