Asmaul Husna yang ke-90 ialah Al-Manik’ iaitu Tuhan yang berkuasa menghalang atau mencegah. Apabila sesuatu kemudaratan dapat dihalang dan setiap perbuatan jahat dapat ditegah, bukan bererti manusia tersebut begitu bijak sehingga berjaya menghalangnya. Sebaliknya Allah SWT yang berkuasa menghalang atau mencegah segala kerja jahat manusia yang ditujukan kepada seseorang. Walaupun sekalian makhluk bersatu untuk mendatangkan kemudaratan itu.
Orang-orang yang beriman wajib berusaha untuk mengelak daripada sebarang kemudaratan. Tidak wajar mereka menjadikan alasan bahawa segala kemudaratan itu daripada Allah SWT, lalu mereka melakukan sesuatu yang sudah jelas akan menempuh bahaya. Manusia diberi tanggungjawab oleh agama untuk berusaha mengelak daripada sebarang kemungkinan bahaya, selepas berusaha secukupnya barulah bertawakal kepada Allah SWT.
Apabila Allah SWT bersifat Al-Manik’ iaitu Maha Mencegah atau Menghalang, maka ikhtiar daripada sifat itu ialah manusia mesti melaksanakan sedaya mungkin mencegah atau menghalang segala sifat buruk yang didorong oleh hawa nafsu dan juga syaitan. Manusia hendaklah sentiasa sedar bahawa mereka sentiasa berhadapan dengan musuh dari dalam iaitu hawa nafsu mereka sendiri, dan juga musuh dari luar iaitu syaitan. Justeru itu manusia mesti menyediakan benteng pertahanan yang mampu menghalang segala serangan musuh dalaman dan juga musuh luaran itu. Usaha menyekat atau menghalang kejahatan musuh dalam diri dan musuh luaran itu adalah suatu sifat ditiru daripada sifat Tuhan yang Al-Manik.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a comment