Soalan
Saya ada beberapa soalan tentang niat. Contohnya ketika berwuduk, niat yang diajar di sekolah, masa basuh muka pertama tu kita baca niat dalam hati dan jika tak buat macam ini ibadah wudhuk tu tidak sah wuduk. Tetapi, timbul ada pula ustaz lain yang kata bahawa niat itu ialah keazaman melakukan sesuatu, lintasan dalam hati, dan setiap perbuatan itu ada niatnya dan ustaz kata niat itu bukanlah mengatur perkataan. Jadi saya nak tahu, yang mana satu betul kerana saya ada masalah was2 apabila apabila berniat di dalam hati dan kemudian lidah terikut sekali apa yang diniatkan sehingga saya tidak yakin niat saya sah atau tidak.
Penjelasan
Dalam mazhab Imam al-Syafie, niat merupakan rukun utama dalam sesuatu ibadah. Ia bermaksud seseorang mesti menghadirkan azam dalam hati untuk melaksanakan ibadah ketika memulakan perbuatan wajibnya itu. Sebagai contoh, dalam wuduk, niat mesti hadir sewaktu membasuh muka, manakala dalam solat, niat dilakukan ketika bertakbiratul ihram. Jika seseorang berniat sebelum atau selepas memulakan ibadah, maka ibadah tersebut dianggap tidak sah. Namun, bagi menghindari waswas, para fuqaha menyarankan agar niat dilafazkan terlebih dahulu sebelum dihadirkan dalam hati, sebagai satu amalan yang disunatkan.
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Niat Satu Rukun Bagi Ibadah
Menurut dewan bahasa dan pustaka, niat adalah maksud atau tujuan sesuatu perbuatan. Manakala dari segi syarak fuqaha telah mendefinisikan niat seperti berikut:
والنية معناها لغة: القصد، وشرعاً: قصد الشيء مقروناً بفعله .محل النية: ومحل النية القلب، ويسن التلفظ بها باللسان
Maksudnya: Niat dari sudut bahasa bererti keinginan dan dari sudut syarak niat bermaksud keinginan untuk melakukan sesuatu seiring dengan awal perbuatan ibadah itu. Dan tempat untuk berniat ini di dalam hati dan disunatkan untuk melafazkannya. [Rujuk al-Fiqh al-Manhaji jld 1 hlmn 53]
Hal ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:
إِنَّمَا الْأَعْمَال بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لكل امْرِئ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوِ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهجرَته إِلَى مَا هَاجر إِلَيْهِ
Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.
[Riwayat al-Bukhari, 1]
Berdasarkan kenyataan di atas, dapat difahami bahawa niat ialah lintasan hati yang dihadirkan seseorang ketika memulakan ibadah. Sebagai contoh, seseorang perlu menghadirkan niat dalam hati untuk menunaikan solat fardu sewaktu bertakbiratul ihram atau berniat mengangkat hadas kecil atau berwuduk ketika membasuh muka dalam wuduk.
Niat memainkan peranan penting dalam menentukan martabat sesuatu ibadah, sama ada wajib atau sunat, serta membezakan antara amalan adat dan ibadat. Sebagai contoh, mandi semata-mata untuk menyejukkan badan berbeza dengan mandi yang dilakukan dengan niat mengangkat hadas besar. Hal ini seperti mana yang disebutkan di dalam kitab Buysra Karim syarh Muqadimmah al-Hadramiyyah:
والمقصود بها : تمييز العبادة من العادة ، أو تمييز رتب العبادة ككون العبادة صلاة ، وكونها فرضاً.
Maksudnya: Tujuannya ialah membezakan antara ibadah dan adat, atau membezakan tingkatan ibadah, seperti menentukan perbuatan ibadah sebagai solat dan menetapkannya sebagai fardu.
[Rujuk Buysra Karim syarh Muqadimmah al-Hadramiyyah hlmn. 92]
Maka niat yang dimaksudkan dengan makna di atas adalah diwajibkan kerana ia menjadi rukun bagi kebanyakan ibadat seperti berwuduk, mandi janabah, solat dan sebagainya. Ini selaras dengan apa yang telah disebutkan di dalam kitab Fath al-Rahman bi syarh Zubad Ibn Ruslan:
هل هي ركن أو شرط ؟ والمرجح : أن إيجادها ذُكراً في أول العمل . . ركنٌ ، واستصحابها حكماً بألا يأتي بمنافٍ لها . . شرط ؛
Maksudnya: Persoalan yang timbul adalah sama ada niat tersebut merupakan rukun atau syarat. Pendapat yang lebih kuat menyatakan bahawa menghadirkannya di hati pada awal perbuatan dianggap sebagai rukun, manakala mengekalkannya dengan tidak meniatkan sesuatu yang membatalkannya dianggap sebagai syarat pada niat.
[Rujuk Fath al-Rahman bi syarh Zubad Ibn Ruslan hlmn. 56]
Kesahihan Niat dan Melakukannya Di Awal Perbuatan
Para Fuqaha’ telah menjelaskan kepada kita bahawa niat dengan maksud menghadirkan keinginan untuk melakukan sesuatu ibadah itu wajib dilakukan pada awal perbuatan wajib, seperti berniat ketika membasuh muka atau berniat ketika mengangkat takbir ihram. Maka bagi seseorang yang berniat sebelum atau selepas melakukan ibadah tersebut maka niatnya tidak sah dan ibadahnya tidak dikira. Ini seperti mana yang disebut di dalam oleh Imam al-Ramli di dalam kitabnya:
يجب علىٰ من أراد عملاً تصحيح نيته قبل عمله ، وقرنها بأوله ؛ أي : بأول واجب منه؛ كالوجه في الوضوء، فلا يكفي قرنها بما بعده؛ لخلو أول الواجبات عنها، ولا بما قبله؛ لأنه سنة تابعة للواجب الذي هو المقصود،
Maksudnya: Wajib bagi seseorang yang ingin melakukan sesuatu amalan untuk membetulkan niatnya sebelum melakukannya dan mengiringinya dengan permulaan amalan tersebut. Contohnya, pada permulaan kewajipan seperti membasuh muka dalam wuduk. Tidak memadai jika niat itu disertakan selepasnya kerana permulaan kewajipan akan terlepas daripadanya, dan tidak juga sebelum itu kerana ia hanya sunat yang mengikuti kewajipan yang menjadi tujuan utama.
[Rujuk Fath al-Rahman bi syarh Zubad Ibn Ruslan hlmn. 57]
Imam al-Ramli menyambung lagi kenyataannya:
وإنما لم يوجبوا المقارنة في الصوم؛ لعسر مراقبة الفجر، وتطبيق النية عليه؛ فيصح بنيَّة متراخية عن العمل إن كان تطوعاً، ومتقدمة عليه إن كان فرضاً.
Maksudnya: Namun, dalam ibadah puasa, ulama tidak mensyaratkan niat mesti dilakukan secara serentak dengan permulaan puasa kerana sukar untuk memantau waktu fajar dan menyesuaikan niat dengannya. Namun, bagi puasa sunat, niat boleh dilakukan setelah masuk waktu puasa, manakala bagi puasa fardu, niat mesti dilakukan sebelum fajar.
[Rujuk Fath al-Rahman bi syarh Zubad Ibn Ruslan hlmn. 57]
Imam Badr al Din al Zarkasyi menaqalkan kenyataan pengarang kitab al-Khisal:
لا يجوز تقديم النية إلا في خصلتين: الصوم، والكفارة.
Maksudnya: Tidak dibolehkan mendahulukan niat kecuali dalam dua keadaan: puasa dan kafarah (denda penebus kesalahan).
Imam Jurjani juga menyebutkan perkara yang sama di dalam kitabnya al Shafiy
لا يجوز تقديم النية إلا في خصلتين: الصوم، والكفارة، وفرض الزكاة والكفارة علىٰ أصح الوجهين.
Maksudnya: Dalam ibadah, tidak ada yang dibolehkan mendahulukan niat sebelum pelaksanaannya selain puasa secara sepakat. Adapun zakat dan kafarah, terdapat dua pandangan, dan yang lebih sahih adalah juga dibolehkan mendahulukan niat sebelum pelaksanaannya.
[Rujuk: al Manthur Fi al Qawaid al Fiqhiyah jld 3 hlmn 294]
Maka dapat disimpulkan bahawa, secara umumnya niat perlulah dilakukan seiring dengan awal perbuatan wajib sesuatu ibadah. Adapun sekiranya kita mendahulukannya atau melambatkannya daripada waktunya maka niat tidak sah dan ibadah yang kita lakukan tidak dikira.
Hukum Melafazkan Niat Sebelum Menunaikan Ibadat
Dalam mazhab Syafi‘i, melafazkan niat tidak menjadi syarat sah ibadat, dengan maksud ia tidaklah diwajibkan. Namun begitu, ia termasuk dalam perbuatan yang dianjurkan oleh syarak(mustahab). Tambahan lagi, galakan melafazkan niat sebelum mengangkat takbiratul ihram dapat membantu hati untuk berniat serta dapat mengelakkan dari perkara yang boleh mendatangkan waswas. Imam al-Khatib Syirbini menjelaskan isu ini dengan berkata
وَينْدب النُّطْق بالمنوي قبيل التَّكْبِير ليساعد اللِّسَان الْقلب وَلِأَنَّهُ أبعد عَن الوسواس
Maksudnya: Disunatkan melafazkan niat sebelum takbir agar lidah dapat membantu hati serta dapat menghindari waswas dengan lebih berkesan.
[Rujuk Al-Iqna’ Fi Hil Alfaz Abi Syuja‘ Jld. 1 hlm 129.]
Selain itu, Imam Nawawi turut menjelaskan bahawa amalan melafazkan niat adalah lebih afdal berbanding tidak dilafazkan, kata beliau:
النية الواجبة في الوضوء هي النية بالقلب ولا يجب اللفظ باللسان معها: ولا يجزئ وحده وان جمعها فهو آكد وأفضل هكذا قاله الأصحاب واتفقوا عليه
Maksudnya: Niat yang wajib ketika berwuduk ialah niat di dalam hati. Tidak wajib melafazkan niat dengan lisan dan tidak sah jika hanya melafazkan niat sahaja. Oleh itu, apabila digabungkan niat dalam hati dengan lafaznya secara lisan maka itu lebih kuat dan afdal. Hal ini sepertimana yang disepakati ulama mazhab Syafi‘i. [Rujuk al-Majmuk Syarh al-Muhazzab jld 1 hlmn. 316]
Maka disunatkan bagi seseorang untuk melafazkan niat sebelum memulakan ibadah, kerana perbuatan ini dapat membantu menghadirkan niat di dalam hati dengan lebih jelas dan mantap. Selain itu, ia juga berperanan dalam menguatkan kesungguhan serta menghindarkan diri daripada waswas atau keraguan dalam niat.
Kesimpulan
Bagi menjawab soalan yang diajukan maka kami rumuskan seperti berikut:
- Niat dengan maksud menghadirkan keinginan di dalam hati bagi melakukan ibadah seiringan dengan awal perbuatan wajib merupakan satu rukun bagi kebanyakan ibadah.
- Niat secara hakikatnya adalah lintasan di dalam hati, adapun menyebut lafaz niat sebelum melakukan ibadah itu adalah sunat bagi memudahkan seseorang untuk menghadirkan niatnya pada awal perbuatan wajib.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.
Wallahu a’lam.
Sumber: eKemusykilan, Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang
Leave a comment