Soalan
Ayah saya telah meninggal dunia pada 2024 dan ayah tidak pernah mengerjakan haji. Adakah saya perlu simpan sedikit daripada harta atau wang peninggalan arwah ayah untuk kos badal hajinya?
Penjelasan
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT, tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak Langkah baginda hingga hari kiamat.
Apabila seseorang itu mempunyai kemampuan untuk mengerjakan ibadat haji namun tidak sempat untuk mengerjakannya, maka menjadi tanggungjawab ahli waris untuk mengerjakan badal haji bagi pihaknya.
Hal ini sepertimana yang terdapat dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA ketika mana Rasulullah SAW didatangi oleh seorang wanita lalu bertanya:
إِنَّ أُمِّي نَذَرَتْ أَنْ تحجَّ، فَمَاتَتْ قَبْلَ أَنْ تحجَّ، أفأحجُّ عَنْهَا؟ قَالَ: (نَعَمْ، حُجِّي عَنْهَا، أرأيتِ لَوْ كَانَ عَلَى أُمِّكِ دَيْنٌ أكنتِ قاضِيَتَهُ). قَالَتْ: نعم، فقال: (فاقضوا اللهَ الَّذِي لَهُ، فإنَّ اللهَ أحقُّ بِالْوَفَاءِ)
Maksudnya: “Sesungguhnya ibuku bernazar untuk menunaikan ibadat haji, namun dia meninggal sebelum sempat menunaikan haji. Adakah aku boleh menunaikan haji bagi pihaknya? Baginda menjawab: Ya, tunaikanlah haji untuknya. Apakah pendapatmu sekiranya ibumu memiliki hutang, adakah kamu akan melunaskannya? Di menjawab: Ya. Baginda bersabda: Kamu tunaikanlah hak Allah yang menjadi milik-Nya kerana sesungguhnya hak Allah itu lebih patut untuk ditunaikan.”
(Riwayat Bukhari)
Berdasarkan hadis di atas, Ibn Hajar al-Haitami di dalam kitabnya Tuhfat al-Muhtaj menyatakan bahawa ibadat haji disamakan dengan hutang serta terdapat tuntutan untuk melunaskannya, maka ia menunjukkan kewajipan mengerjakan haji bagi pihak si mati dan perbelanjaannya diambil daripada harta si mati. Jelas beliau lagi, sekiranya si mati tidak meninggalkan harta pusaka, maka gugurlah kewajipan haji ke atasnya begitu juga ahli waris tidak wajib mengerjakan haji bagi pihaknya. Namun bagitu, sunat bagi para waris mahupun orang asing mengerjakan haji bagi pihak si mati.
Selain itu, permasalahan ini juga telah dibincang serta diputuskan dalam Resolusi Muzakarah Haji Tahun 2005 yang menyebut:
“Apabila berlaku kematian seseorang yang belum sempat mengerjakan haji semasa hayatnya sedangkan dia sudah mampu mengerjakan haji, ahli warisnya berkewajipan menolak jumlah yang mencukupi untuk badal hajinya sebelum harta peninggalan tersebut diagihkan mengikut faraid”.
Perihal berkaitan kadar perbelanjaan badal haji bagi si mati juga turut dinyatakan Muzakarah Haji Tahun 2010 yang meyatakan bahawa:
“Perbelanjaan badal haji wajib tidak terbatas kepada 1/3 harta peninggalan si mati.”
Oleh yang demikian, jelas bahawa perbelanjaan atau upah untuk melaksanakan badal haji bagi si mati yang meninggal dunia yang telah mempunyai kemampuan untuk mengerjakan haji semasa hidupnya adalah diambil dari harta peninggalan si mati.
Kesimpulan
Seseorang yang mempunyai kemampuan untuk mengerjakan haji namun tidak sempat untuk mengerjakannya semasa hidup, maka wajib bagi pihak waris melaksanakan hajinya. Adapun berkenaan perbelanjaan atau upah badal haji, ia hendaklah diambil dari sebahagian harta peninggalannya kerana ibadat haji adalah sama seperti hutang yang perlu diselesaikan.
WallahuA’lam.
Sumber: PMWP
Leave a comment