Teks Khutbah Jumaat (WP): Lailatulqadar, Dambaan Para Abrar

Sidang Hadirin Solat Jumaat sekalian,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan sebenar-benar ketakwaan. Laksanakan segala perintah dan tinggalkan segala larangan. Ketahuilah, dengan ketakwaan, dosa-dosa kita diampunkan dan ganjaran pahala kita pula dibesarkan. Tinggalkan seketika semua perkara sia-sia untuk kita bersama mendengar dan menghayati khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk, “Lailatulqadar, Dambaan Para Abrar”.

Para Tetamu Allah Yang Dikasihi,

Alhamdulillah, kita telah melewati 20 hari Ramadan dan kini berada di fasa terakhir bulan penuh keberkatan. Bulan yang pada setiap malamnya terdapat hamba-hamba Allah SWT yang dibebaskan daripada neraka. Oleh itu, wahai pendamba kebaikan, tampillah dengan amal dan ketaatan! Wahai pendamba kemungkaran, berhentilah daripada kealpaan dan kemaksiatan!

Pada 10 hari terakhir Ramadan terdapat satu malam yang amat istimewa sebagaimana mafhum surah al-Qadr yang dibacakan di awal khutbah. Lailatulqadar, malam yang diturunkan padanya al-Quran, malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan, malam yang turunnya para Malaikat dengan rahmat serta keberkatan dan malam yang sehingga terbit fajarnya dilimpahi dengan ketenangan serta keselamatan.

Terdapat pelbagai pandangan dalam menentukan malam Lailatulqadar sehingga al-Hafiz Ibn Hajar menghimpunkan 46 pendapat dalam kitabnya Fath al-Bari. Meskipun pendapat yang kuat mengatakan Lailatulqadar berlaku pada salah satu malam ganjil daripada 10 malam terakhir Ramadan, namun pendapat yang lebih tepat ialah tiada kepastian mutlak mengenai waktunya yang sebenar. 

Hikmah kepastian malam tersebut disembunyikan agar semangat beribadah kekal di sepanjang Ramadan tanpa tertumpu pada malam-malam tertentu. Bahkan, ternyata malam-malam ganjil itu berbeza di antara satu negara dengan negara yang lain. Oleh itu, marilah kita memburu Lailatulqadar di setiap malam 10 terakhir Ramadan. 

Peluang ini hanya datang sekali setahun. Ganjaran gandaan pahala beribadah 1,000 bulan ini tidak wajar dilepaskan. 1,000 bulan yang bernisbah selama 83 tahun 4 bulan, satu tempoh masa beribadah yang cukup panjang! Hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Sa’id al-Khudri radiallahuanhu menceritakan kesungguhan Rasulullah SAW mencari malam al-Qadr. 

Pada mulanya Baginda beriktikaf pada 10 hari pertama Ramadan. Kemudian, Baginda beriktikaf pula pada 10 hari pertengahan Ramadan. Namun, akhirnya Baginda diberitakan bahawa Lailatulqadar berada dalam 10 malam terakhir Ramadan. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Sayidatina A’ishah radiallahuanha menyatakan bahawa Rasulullah SAW beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan dan Baginda berpesan:

تحََّر ْوا لَيْلَةَالقَ ْدرِ في العَشْرِ الأوَا ِخرِ مِن رَمَ َضان

Maksudnya: “Carilah malam al-Qadr pada 10 terakhir Ramadan.”

Hadirin yang dikasihi Allah sekalian,

Apabila menjelang 10 malam terakhir Ramadan Rasulullah SAW akan mengikat kain sarungnya untuk fokus menghidupkan malam dengan amal ibadah dan membangunkan ahli keluarganya untuk turut serta beribadah. Kesungguhan sebegini tidak Baginda lakukan pada malam-malam yang lain.

Lantaran itu, Baginda memberi peringatan agar kita semua tidak lalai terhadap Lailatulqadar dan tidak mengabaikan kesempatan untuk menghidupkannya. Ibnu Majah meriwayatkan daripada Anas bin Malik radiallahuanhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 

“Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu dan di dalamnya terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa yang terhalang daripadanya maka dia telah terhalang daripada segala kebaikan, dan tiada yang dihalang daripada kebaikannya kecuali orang yang benar-benar rugi.”

Kaum Muslimin yang berbahagia,

Antara amalan yang dapat ditumpukan dalam menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan untuk memburu Lailatulqadar ialah:

Pertama, qiamullail iaitu berjaga pada waktu malam untuk beribadat. Rasulullah SAW dilihat menggabungkan ibadah dengan solat, bacaan al-Quran, bertadabbur menghayati ayat-ayat yang dibaca dan berdoa. Bacaan al-Quran dalam solat Baginda dibaca dengan tartil dan penuh penghayatan. Apabila membaca ayat yang menyebut tentang rahmat maka Baginda SAW akan berdoa memohonnya dan apabila membaca ayat tentang azab maka Baginda SAW akan berdoa memohon perlindungan daripadanya.

Kedua, iktikaf iaitu perbuatan duduk di dalam masjid dengan niat beribadah dan bermunajat kepada Allah SWT. Iktikaf bertujuan memutuskan hubungan dengan makhluk untuk fokus beribadah dan berserah diri kepada al-Khaliq. Hasilnya, jiwa hamba semakin dekat dengan Allah SWT, erat kecintaan serta pertautan kepada Alllah SWT. Ia membentuk jiwa kehambaan dan keteguhan iman kepada Allah SWT dalam setiap keadaan.

Ketiga, istighfar memohon keampunan daripada Allah SWT. Ibnu Majah meriwayatkan bahawa Sayidatina A’ishah radiallahuanha bertanya tentang apa yang perlu didoakan jika dia bertemu Lailatulqadar. Lantas Baginda bersabda yang maksudnya: “Kamu ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau suka mengampunkan, maka ampunilah aku.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Begitulah sewajarnya kita menghargai peluang berada di sepuluh hari terakhir Ramadan yang penuh anugerah dan keberkatan. Teruskan solat tarawih, tadarus al-Quran, bersedekah, menaja makanan berbuka puasa dan apa juga amalan bersama ibadah puasa yang kita laksanakan. Semoga dengan kesungguhan dan istiqamah beramal yang kita persembahkan, bersama meniti hari-hari di penghujung Ramadan, segala anugerah dan barakah bulan ini dapat kita miliki dan raih dengan sepenuh kesempurnaan.

Mengakhiri khutbah hari ini, marilah kita hayati beberapa saranan berikut:

Pertama: Burulah Lailatulqadar. Anugerah terbesar buat para Abrar yang mendambakan ganjaran keampunan dosa dan dana pahala beribadah seribu bulan.

Kedua: Lailatulqadar merupakan rahmat dan nikmat buat umat Muhammad SAW. Sesiapa yang terlepas peluang meraih Lailatulqadar, dia benar-benar rugi dan terhalang daripada segala kebaikan.

Ketiga: Beriktikaflah dan tingkatkan kesungguhan beribadah di penghujung Ramadan. Inilah peluang untuk kita melakar kejayaan di akhirat dengan kebahagiaan di syurga dan keselamatan daripada azab api neraka.

Hayati firman Allah SWT di dalam Surah al-A’raf, ayat 23:

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَآ أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ(٢٣)

Bermaksud: “Mereka berdua (Adam dan Hawa) merayu: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami dan jika Engkau tidak mengampunkan kami dan merahmati kami, nescaya jadilah kami dari kalangan orang-orang yang rugi.”

(Surah al-A’raf 7:23)

Tarikh Bacaan: 20 Ramadan 1446H | 21 Mac 2025M
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑