Asmaul Husna yang ke-91 ialah Adh-Dhaarru, iaitu Tuhan yang Maha Memudaratkan. Segala kesukaran atau kemudaratan yang wujud di dunia ini pada hakikatnya adalah daripada Allah SWT. Ini kerana makhluk tidak mempunyai kuasa untuk mendatangkan sebarang kemudaratan, sebaliknya kuasa memudaratkan hanya ada pada Allah SWT. Apabila Dia mendatangkan kemudaratan kepada hamba yang dikehendaki-Nya, nescaya tidak ada sesiapapun yang dapat menghalang-Nya.
Mudarat yang paling besar ialah ‘kekufuran.’ Orang yang kufur kepada Allah SWT di dunia ini nescaya akan menghadapi kemudaratan yang paling dahsyat di akhirat kelak. Mereka akan ditimpa mudarat di Mahsyar dan juga di dalam neraka. Wal-‘iyyazubillah.
Orang-orang yang beriman mempunyai kewajipan untuk menjauhkan diri daripada segala kemudaratan, terutamanya kekufuran. Segala bentuk kekufuran sama ada dalam bentuk sistem atau peraturan undang-undang mesti ditolak dan disisihkan kerana ia akan mendatangkan kemudaratan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a comment