Qiamullail & Kelebihannya

Qiamullail ialah satu amalan sunat yang bererti ‘bangun malam’ iaitu bangun dengan tujuan untuk beribadat kepada Allah SWT. Amalan qiamullail bukanlah satu perkara baru, bahkan ianya merupakan ibadat yang sudah menjadi darah daging atau amalan para rasul, nabi-nabi, orang soleh dan alim ulama sejak dahulu lagi. 

Hasil dari gerakan dakwah yang berjalan lancar sejak akhir-akhir ini, telah menarik minat ramai orang bukan sahaja golongan tua, bahkan golongan muda termasuk penuntut-penuntut di pusat-pusat pengajian tinggi untuk menghayati amalan qiamullail. 

Kelebihan Qiamullail 

Banyak ayat al-Quran dan hadith nabi yang menerangkan tentang kelebihan bagi mereka yang mengerjakan ibadat qiamullail. Diantaranya ialah firman Allah SWT: 

وَمِنَ ٱلَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِۦ نَافِلَةًۭ لَّكَ عَسَىٰٓ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًۭا مَّحْمُودًۭا(٧٩)

Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjalah sembahyang tahajjud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”

(Surah al-Isra’ 17:79) 

Dalam firman-Nya yang lain berbunyi: 

وَمِنَ ٱلَّيْلِ فَٱسْجُدْ لَهُۥ وَسَبِّحْهُ لَيْلًۭا طَوِيلًا(٢٦)

Maksudnya: “Dan (dengan apa keadaan pun) maka pada sebahagian waktu malam sujudlah kepada Tuhanmu (dengan mengerjakan sembahyang) dan (seboleh2 bolehnya) bertasbihlah memuji-Nya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.”

(Surah al-Insan 76:26) 

Rasulullah SAW menyuruh umatnya bangun beribadat di tengah malam (qiamullail) sebagai satu ibadat tambahan. Baginda sentiasa melakukan qiamullail dengan bersungguhsungguh sebagaimana yang digambarkan dalam sebuah hadith dari Aisyah RA yang maksudnya: 

“Bahawa Rasulullah SAW bangun sebahagian daripada malam bersembahyang hingga bengkak kedua kakinya, maka aku (Aisyah) berkata kepada baginda, mengapa Rasulullah SAW lakukan ini semua, bukankah dosa tuan telah diampunkan oleh Allah sama ada yang 3 terdahulu ataupun yang terkemudian? Baginda menjawab: Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?”

(Muttafaq Alaih) 

Bangun bersembahyang, bertasbih dan membaca al-Quran pada sebahagian daripada malam boleh memberi kesan yang mendalam kepada jiwa orang yang melakukannya. 

Firman Allah SWT yang berbunyi: 

إِنَّ نَاشِئَةَ ٱلَّيْلِ هِىَ أَشَدُّ وَطْـًۭٔا وَأَقْوَمُ قِيلًا(٦)

Maksudnya: “Sesungguhnya bangun beribadat pada waktu malam itu adalah sangat berkesan (dalam hati) dan lebih betul bacaannya.”

(Surah al-Muzammil 73:6) 

Jabir RA pula mengatakan bahawa aku mendengar Rasullulah SAW bersabda yang maksudnya: 

“Pada malam hari ada satu saat (yang berkat) di mana jika seseorang muslim menepati saat itu dan berdoa kepada Allah SWT meminta keberkatan dunia atau akhirat nescaya Allah kabulkan doanya. Keadaan ini ada pada tiap-tiap malam.”

(Riwayat Muslim) 

Dalam sebuah hadith lain pula. Abdullah bin Salam berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Wahai manusia hendaklah kamu banyak memberi salam, menjamu makan, bersembahyang pada waktu malam ketika manusia nyenyak tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Marilah kita sama-sama bertekad untuk menyemarakkan malam 10 Ramadan terakhir ini dengan qiamullail. Semoga ibadat dan amalan kita diterima oleh Allah SWT.

Buku Panduan Qiamullail, JAKIM

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑