Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemenangan Umat Islam setelah melaksanakan ibadat berpuasa selama sebulan lamanya. Ia disambut sebagai hari kegembiraan bagi umat Islam yang berjaya melaksanakan ibadat dengan sempurna pada bulan Ramadan, serta untuk menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT atas rahmat dan petunjukNya.
Firman Allah SWT di dalam Surah Al Baqarah ayat 185:
شَهْرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلْقُرْءَانُ هُدًۭى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍۢ مِّنَ ٱلْهُدَىٰ وَٱلْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ ۖ وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍۢ فَعِدَّةٌۭ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ ٱلْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا۟ ٱلْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ(١٨٥)
“… Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu bertakbir (membesarkan) Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”.
Justeru bagi mendapat keberkatan dalam menyambut perayaan ini semua umat Islam hendaklah menghayati sunnah-sunnah Rasulullah SAW.
1. Menghidupkan Malam
Menghidupkan malam raya dengan beribadat kepada Allah SWT seperti melakukan solat, berzikir, membaca al Quran, bertasbih, bertahmid, beristighfar dan sebagainya.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya ikhlas kerana Allah nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati”
(H.R Ibnu Majah)
2. Mandi Sunat Hari Raya Aidilfitri
Tempoh mandi sunat ini bermula dari pertengahan malam dan sunat dilewatkan sehingga hampir solat Hari Raya.
3. Mengemaskan Diri
Mencukur bulu-bulu, mengetip/memotong kuku dan merapikan janggut.
4. Memperbanyakkan Takbir
Takbir Aidilfitri boleh dibacakan bermula dari terbenam matahari akhir Ramadan hingga sebelum menunaikan solat Hari Raya. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Aidilfitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.
5. Memakai Pakaian yang Terbaik
Walaupun kita digalakkan memakai pakaian terbaik, kita tidak semestinya memakai pakaian yang baharu. Sebaliknya, pilihlah pakaian yang paling indah mengikut kemampuan dan tidak membazir.
6. Berwangi-Wangian dan Berhias
Imam Syafie pernah berkata:
“Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.”
7. Bersarapan
Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat Aidilfitri, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a berkata:
“Sesungguhnya Rasulullah s.a.w tidak keluar pada pagi hari Raya Aidilfitri, sehinggalah Baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan Baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.”
8. Menunaikan Solat Hari Raya
Solat hari raya ialah sunat muakkad.
Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya sejak mula disyariatkan sehinggalah Baginda wafat. Begitu juga para sahabat Baginda terus melakukannya selepas itu.
Dan, janganlah lupa menzahirkan keceriaan dan kegembiraan ketika bertemu dengan orang mukmin, serta ziarah menziarahi bagi mengeratkan silaturrahim, serta mengucapkan sebarang ucapan yang baik di hari yang mulia.
Sumber: JAKIM
Leave a comment