Teks Khutbah Jumaat (WP): Muhasabah Keinsafan Di Penghujung Ramadan

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌۭ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۢ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ(١٨)

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan.

(Surah Al-Hasyr 59:18)

Sidang Hadirin Solat Jumaat sekalian,

Bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya ketakwaan menjamin kesejahteraan dan kejayaan di dunia dan akhirat. Semoga dengan anugerah Ramadan, ketakwaan kita kian ampuh dan teguh. Mari kita berikan sepenuh perhatian kepada khutbah yang disampaikan dan hindari segala perkara yang melalaikan yang meluputkan kesempurnaan ganjaran solat Jumaat kita hari ini. 

Khatib akan membicarakan khutbah bertajuk “Muhasabah Keinsafan Di Penghujung Ramadan.”

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Hari ini adalah hari Jumaat terakhir Ramadan. Ini mengingatkan kita bahawa bulan penuh keberkatan ini semakin hampir melabuhkan tirainya. Ramadan adalah madrasah yang mendidik jiwa dan membentuk peribadi menjadi mukmin sejati. Namun persoalannya sejauh mana Ramadan benar-benar mengubah diri kita? 

Meniti hari-hari terakhir Ramadan, apakah semua amalan soleh kita sepanjang bulan ini masih kita pertahankan? Masihkah kita setia menghadiri solat fardu berjemaah, kekal mengerjakan solat tarawih, betah membaca al-Quran dan terus bersedekah? Atau adakah kita sudah mula meninggalkan masjid dan amal ibadah kerana sibuk membuat persiapan hari raya yang kian tiba?

Marilah kita bermuhasabah. Menginsafi dan sedar betapa kita perlu berbekal untuk kehidupan yang pasti di akhirat nanti. Allah SWT mengingatkan kita di dalam surah al Hasyr ayat 18 yang dibaca pada permulaan khutbah tadi, bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (amal-amalnya) untuk hari esok (Akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan) bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan. (Surah Al-Hasyr 59:18)

Saudara-Saudaraku Yang Dimuliakan,

Ukuran sebenar kejayaan Ramadan bukan pada jumlah solat atau sedekah kita. Ramadan hadir untuk membentuk jiwa hamba di dalam diri dan kekal menjadi hamba Allah meskipun selepas Ramadan berakhir. Jika selepas Ramadan kita kembali kepada kelalaian, maka di manakah nilai sebenar Ramadan kita? Lebih menyedihkan lagi, belum pun berakhir Ramadan, ramai umat Islam yang sudah menyisihkan diri daripada amal ibadah dan ketaatan, lalu hanyut dalam kelalaian yang amat merugikan. 

Marilah kita bertekad untuk meneruskan amal ibadah dan ketaatan hingga ke penghujung Ramadan dan tidak beramal secara bermusim. Lakukan amalan secara berterusan kerana istiqamah itu lebih utama daripada semangat bermusim. 

Imam Muslim meriwayatkan daripada Saiyidatina ‘Aisyah radiallahuanha bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Amalan yang amat dicintai Allah ialah yang berterusan walaupun sedikit.”

Manfaatkanlah baki hari-hari terakhir ini sebaik mungkin agar kita tidak terlepas daripada ganjaran berganda yang dijanjikan Allah SWT. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menggandakan ibadahnya di 10 malam terakhir Ramadan. Baginda bukan sekadar beribadah lebih banyak tetapi mengejutkan keluarga, menghidupkan malam dengan solat dan bersungguh-sungguh mencari lailatul qadar.

Bayangkan juga, andai inilah Ramadan terakhir kita. Apakah kita sudah benar-benar berhasil meraih segala kebaikan dan kelebihannya? Ramadan menjanjikan ampunan dosa buat kita, namun adakah kita telah meraih ampunan Allah berkat kesungguhan dan keikhlasan kita beramal ibadah padanya? Atau kita masih kekal terhina dengan dosa yang masih bersisa bersama Ramadan yang kian hampir meninggalkan kita? Amati ingatan Rasulullah SAW menerusi hadis riwayat Imam at-Tirmidzi daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Baginda bersabda maksudnya: Terhina sungguh seorang yang memasuki bulan Ramadan kemudian keluar meninggalkannya sebelum diampunkan dosanya.

Kaum Muslimin yang Berbahagia,

Mimbar mengambil kesempatan bersempena sambutan Hari Jabatan Pengangkutan Jalan kali ke-79 pada 1 April tahun ini, marilah kita mendoakan seluruh warga kerja Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia dan seluruh umat Islam dikurniakan kesihatan dan keselamatan sewaktu melaksanakan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan. 

Menjelang musim perayaan ini, mimbar ingin menyampaikan beberapa pesanan;

Pertama, pastikan keselamatan rumah dan harta benda. Sebelum meninggalkan rumah, ambillah langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti pecah rumah dan kecurian. Maklumkan kepada pihak polis atau rukun tetangga supaya pemantauan dapat dilakukan. Keselamatan adalah tanggungjawab bersama maka kita perlu saling bekerjasama untuk memeliharanya.

Kedua, ambil langkah-langkah keselamatan seperti memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan selamat serta tubuh badan dalam keadaan sihat dan segar sebelum memulakan perjalanaan. Amalkan pemanduan berhemah dengan mematuhi peraturan lalu lintas, menghormati pengguna jalan raya yang lain dan elakkan perbuatan yang mengundang bahaya seperti menyalahgunakan lorong kecemasan dan mengubah haluan kenderaan tanpa menggunakan lampu isyarat. Bersabarlah mengharungi kepayahan perjalanan musafir yang menjanjikan ganjaran yang besar. Bersama-sama kita membantu pihak JPJ dalam meningkatkan keselamatan jalan raya dengan menghayati saranan-saranan keselamatan. 

Sewajarnya tarbiah Ramadan menjadikan kita lebih sabar, bertimbang rasa dan tidak melanggar peraturan. 

Data Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), merekodkan sebanyak 5,939 kematian antara Januari sehingga November 2024 daripada keseluruhan 585,729 kemalangan yang berlaku. Sikap tergopoh-gapah, memandu melebihi had laju dan melanggar peraturan jalan raya menjadi bukti bahawa ramai dalam kalangan kita tidak sabar dan tidak bertimbang rasa. 

Di samping itu, sentiasalah memohon perlindungan daripada Allah SWT ketika berada di atas jalan raya. Semoga Aidilfitri yang kita raikan ini lebih bermakna dengan kita semua selamat dan terpelihara daripada musibah di jalan raya.

Ketiga, tunaikan kewajipan zakat fitrah. Aidilfitri bukan sekadar perayaan tetapi juga tanda kesyukuran atas nikmat Ramadan yang telah kita lalui. Pastikan kita tidak lupa menunaikan kewajipan ini. Tunaikanlah zakat fitrah untuk diri dan tanggungan seperti yang telah diwajibkan agar kita dapat membersihkan diri dan berkongsi kegembiraan dengan mereka yang kurang berkemampuan.

Saudara-Saudaraku Yang Dikasihi,

Sebagai penutup khutbah, hayati beberapa pedoman dan saranan berikut:

Pertama: Amal yang sedikit tetapi berterusan lebih dicintai Allah SWT. Beristiqamahlah melakukan amal kebaikan selepas Ramadan, itulah bukti kejayaan sebenar tarbiah Ramadan.

Kedua: Gandakan amalan dan hidupkan 10 malam terakhir Ramadan. Teladani Rasulullah SAW dan usah terlalu leka dengan persiapan Aidilfitri.

Ketiga: Utamakan keselamatan diri dan harta benda, mematuhi peraturan jalan raya dalam menyambut Aidilfiti. Semoga kita sentiasa berada di dalam rahmat dan peliharaan Allah SWT.

Renungi firman Allah SWT di dalam surah Asy-Syams ayat 9 dan 10:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّىٰهَا(٩) ٩وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّىٰهَا(١٠)

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan dirinya (dengan iman dan amal kebaikan). Dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya (dengan dosa dan maksiat).”

(Surah Asy-Syams 91: 9-10)

Tarikh Bacaan: 27 Ramadan 1446H | 28 Mac 2025M
Disediakan Oleh: Cawangan Khutbah & Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid,
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑