Teks Khutbah Aidilfitri (WP): Berdamai Dalam Dakapan Syawal

أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْم

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌۭ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ (١٠)

Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah Al-Hujurat 49:10)

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Perbanyakkan berselawat ke atas Baginda Rasulullah SAW. Mudah-mudahan kita sentiasa berada dalam rahmat dan keredaan Allah SWT di dunia mahupun di akhirat. 

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam dan pada pagi Aidilfitri yang indah ini saya akan menyampaikan khutbah yang bertajuk: “Berdamai Dalam Dakapan Syawal”.

Saya ingin berpesan kepada seluruh umat Islam untuk terus istiqamah memenuhkan masjid bagi mendirikan solat secara berjemaah sebagaimana Ramadan lalu. Saya juga tidak akan jemu menyelitkan sedikit pesanan untuk kita terus mengenangkan nasib umat Islam di Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim zionis Israel laknatullah ‘alaihim. Semoga Allah SWT memberikan mereka kemenangan, keamanan dan kebahagiaan di tanah air

mereka yang mereka cintai. Insya-Allah.

الله أكبر,الله أكبر,الله أكبر, وللهِ الْحَمْد

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

Hari Raya Aidilfitri mengingatkan kita tentang nilai kesyukuran atas segala nikmat yang Allah SWT telah kurniakan. Sepanjang Ramadan, kita telah berusaha menahan lapar dan dahaga, menundukkan hawa nafsu serta mendekatkan diri kepada Allah SWT. Kini, dalam bulan Syawal, kita perlu meneruskan amalan kebaikan yang telah kita latih selama sebulan. 

Jadikan Madrasah Ramadan yang kita lalui sebagai pencetus perubahan diri ke arah yang lebih baik. Teruslah melazimi solat berjemaah di masjid, menghadiri majlis ilmu, bersedekah, membaca al-Quran, berzikir dan sebagainya kerana ibadah-ibadah ini bukan hanya perlu dilakukan di bulan Ramadan bahkan sepanjang hayat kita.

الله أكبر,الله أكبر,الله أكبر, وللهِ الْحَمْد

Muslimin Muslimat yang dikasihi sekalian,

Islam mengajarkan kita untuk sentiasa hidup dalam keharmonian dan mengutamakan perpaduan ummah. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat, ayat 10 yang dibacakan pada awal khutbah, bermaksud:

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”.

Ibnu Kathir menjelaskan dalam tafsirnya bahawa ayat ini menegaskan hubungan persaudaraan antara sesama Muslim bukan sekadar hubungan sosial tetapi merupakan ikatan akidah yang perlu dijaga dan dipelihara. Jika terdapat perselisihan atau permusuhan antara mereka, wajib bagi umat Islam untuk berusaha mendamaikan pihak yang bertelagah. 

Seterusnya takwa kepada Allah SWT yang disebut menjadi syarat utama untuk memperoleh rahmat dan kasih sayang-Nya.

Namun, realiti hari ini memperlihatkan perpecahan dalam kalangan umat Islam akibat perbezaan fahaman, politik, dan kepentingan peribadi. Sedarlah bahawa perbalahan ini hanya melemahkan kekuatan kita dan memberi peluang kepada musuh Islam untuk mengambil kesempatan. Oleh itu, Syawal ini seharusnya menjadi titik tolak kepada usaha kita dalam memperkukuhkan ukhuwah Islamiah dan mengeratkan hubungan yang mungkin telah terputus.

الله أكبر,الله أكبر,الله أكبر, وللهِ الْحَمْد

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

Indahnya Syawal yang menjadi detik manis dalam kembali mempertautkan hubungan antara keluarga, sanak-saudara dan sabahat handai. Seluruh ahli keluarga berkumpul merayakan kemenangan dan mempertautkan silaturahim. Manakala sesama umat Islam kembali merapatkan saf ukhuwah.

Syawal menjadi pendamai kepada umat Islam. Masing-masing saling memaafkan antara satu sama lain, berdamai dalam dakapan Syawal dan menziarahi sesama mereka. Bukan mudah untuk mengakui kesalahan tetapi apabila tibanya Syawal, masing-masing bagaikan diruntun untuk merungkai keegoan, lalu saling mengaku kesalahan dan memberi kemaafan. Inilah antara keindahan Syawal yang dihiasi dengan amal kebaikan yang sangat dituntut dalam Islam. Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imraan ayat 134:

ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَـٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ (١٣٤)

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”.

(Surah Ali Imraan 3:134)

Malah dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah radiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Allah tidak menambahkan kepada seorang hamba dengan suatu kemaafan melainkan kemuliaan.”

Sedarlah bahawa sifat pemaaf bukan tanda kelemahan. Sebaliknya ia merupakan jalan menuju kemuliaan dan kehormatan di sisi Allah SWT dan manusia. Ketika mensyarahkan hadis ini, Imam an-Nawawi menyatakan bahawa hadis ini menjelaskan bahawa seseorang yang memilih untuk memaafkan, Allah akan menggantikannya dengan kemuliaan, baik di dunia mahupun di akhirat.

Rasulullah SAW juga merupakan insan yang paling pemaaf. Dalam banyak peristiwa, baginda memilih untuk memaafkan walaupun baginda mampu membalas kejahatan dengan hukuman.

Antaranya, ketika peristiwa Fathu Makkah, baginda bukan hanya memaafkan kaum Quraisy yang selama ini menzalimi baginda dan para sahabat dengan dahsyat, bahkan baginda juga membebaskan mereka semua. Maka, siapa lagi yang hendak kita ikuti dan teladani, sedangkan baginda jualah sebaik-baik contoh teladan kepada kita semua.

الله أكبر,الله أكبر,الله أكبر, وللهِ الْحَمْد

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

Dalam semangat Syawal, kita harus mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam menangani perselisihan. Baginda sentiasa mengutamakan dialog, berlapang dada, dan bersikap pemaaf dalam menyelesaikan konflik. Sikap ini bukan sahaja menjernihkan hubungan, tetapi juga menguatkan kesatuan ummah. Inilah asas masyarakat Madani yang berdiri atas sikap hormat dan ihsan yang telah dilatih melalui tarbiah Ramadan. 

Justeru, marilah kita semua menjernihkan hati untuk saling memaafkan, berdamai dan saling menjaga antara satu sama lain. Jadikan Aidilfitri sebagai satu platform untuk kita terus memperkukuhkan nilai-nilai keislaman dalam kehidupan seharian. Amalan seperti berpuasa enam hari di bulan Syawal, memperbanyakkan sedekah dan menjaga hubungan baik sesama insan perlu diteruskan.

Di samping itu, ingatlah saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik, sama ada di dalam mahupun luar negara. Ramai dalam kalangan mereka masih diuji dengan kemiskinan, peperangan, dan penindasan. Maka, dalam kegembiraan meraikan Syawal, marilah kita mendoakan kesejahteraan mereka, serta membantu mereka dengan segala kemampuan yang kita ada.

Sebagai penutup, saya ingin tinggalkan beberapa pesanan untuk semua;

Pertama: Bersyukurlah kepada Allah SWT dan teruslah mendorong diri untuk berubah ke arah yang lebih baik hasil didikan sebulan Ramadan.

Kedua: Persaudaraan bukan sekadar hubungan sosial tetapi merupakan ikatan akidah yang perlu dijaga dan dipelihara. Kita wajib mendamaikan antara umat Islam yang berselisih dan bertelagah lebih-lebih lagi dalam keberkatan Syawal yang mulia.

Ketiga: Jadikan Aidilfitri sebagai medan untuk kita meneruskan nilai-nilai mulia dalam kehidupan seharian. Sedarlah, Aidifitri bukan sekadar perayaan yang bertujuan memperagakan pakaian dan hiasan indah, bermegah-megah dan penuh dengan kelalaian yang merugikan.

Renungkanlah firman Allah SWT dalam Surah al-Kahfi ayat 103-104:

قُلْ هَلْ نُنَبِّئُكُم بِٱلْأَخْسَرِينَ أَعْمَـٰلًا(١٠٣) ٱلَّذِينَ ضَلَّ سَعْيُهُمْ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَهُمْ يَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ يُحْسِنُونَ صُنْعًا (١٠٤)

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”.

(Surah al-Kahfi 18:103-104)

Tarikh Bacaan: 1 Syawal 1446H | 31 Mac 2025
Disediakan oleh: Cawangan Khutbah Dan Latihan, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑