Soalan
Jika saya mengalami istihadah, saya perlu segera mendirikan solat fardu selepas berwuduk. Jadi, adakah saya hanya boleh solat sunat selepas solat fardu jika mengalami istihadah?
Penjelasan
Menurut mazhab Syafi‘i, kaifiat bersuci dan mendirikan solat bagi wanita istihadah adalah sama seperti mereka yang sentiasa dalam keadaan berhadas seperti ditimpa masalah kencing tidak lawas. Perkara ini sebagaimana disebutkan oleh Imam al-Nawawi seperti berikut:
والاستحاضة حدث دائم كالسلس فلا تمنع الصوم والصلاة فتغسل المستحاضة فرجها وتعصبه وتتوضأ وقت الصلاة وتبادر بها فلو أخرت لمصلحة الصلاة كستر وانتظار جماعة لم يضر
Maksudnya: Wanita istihadah sentiasa dalam keadaan berhadas sama hukumnya dengan mereka mengalami kencing tidak lawas yang tidak terhalang untuk melaksanakan puasa dan solat. Wanita istihadah wajib membasuh faraj serta membalutnya (sumbat dengan kapas dan memakai tuala wanita). Seterusnya mengambil wuduk setelah masuk waktu dan segera menunaikan solat. Adapun, melambatkan solat pada perkara-perkara persediaan sebelum solat (kemaslahatan yang berkaitan solat) seperti menutup aurat dan menanti jemaah tidak membatalkan (wuduknya).
Oleh yang demikian, setiap kali masuk waktu solat, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dilakukan oleh wanita istihadah sebelum mendirikan solat, iaitu:
- membasuh faraj
- menyumbat faraj dengan kapas dan membalutnya
- berwuduk
- hendaklah bersegera melaksanakan solat fardu
Hal ini kerana taharah (bersuci) wanita istihadah dan orang yang sentiasa berhadas hanya untuk mengharuskan ibadah dan bukannya untuk menghilangkan hadas.
Dalam keadaan perlu bersegera melaksanakan solat fardu selepas berwuduk, orang yang sentiasa berhadas boleh melambatkan solat pada perkara-perkara persediaan sebelum solat (kemaslahatan yang berkaitan solat) seperti menutup aurat dan menanti jemaah dan perkara-perkara tersebut tidak membatalkan (wuduknya). Begitu juga melaksanakan solat sunat qabliyah iaitu solat sunat sebelum solat fardu juga termasuk antara kemaslahatan solat sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Syarawani dalam Hasyiyah-nya:
قَالَ فِي شَرْحِ الْعُبَابِ وَلَهَا التَّأْخِيرُ لِصَلَاةِ الرَّاتِبَةِ الْقَبْلِيَّةَ
Maksudnya: (Imam Ibn Hajar) berkata dalam Syarh al-’Ubab, wanita yang sedang istihadah dibolehkan melambatkan solat fardu untuk melaksanakan solat sunat rawatib qabliyah.
Walau bagaimanapun, wanita istihadah atau orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas boleh melaksanakan seberapa banyak solat sunat menggunakan satu wuduk sebagaimana yang disebutkan dalam petikan berikut:
(وَيَجِبُ الْوُضُوءُ لِكُلِّ فَرْضٍ) وَلَوْ مَنْذُورٌ أَوْ تَتَنَفَّلُ مَا شَاءَتْ
Maksudnya: Diwajibkan wuduk (ke atas wanita istihadah) bagi setiap solat fardu termasuk solat yang dinazarkan, tetapi dibolehkan mendirikan solat sunat (sebanyak mana) yang dikehendaki.
Kesimpulan
Secara asasnya, wuduk orang yang sentiasa dalam keadaan berhadas sah untuk satu solat fardu dan seberapa banyak solat sunat.
Wanita dalam keadaan istihadah perlu bersegera menunaikan solat selepas bersuci dan berwuduk, namun dibolehkan untuk melaksanakan solat sunat qabliyah kerana ia termasuk dalam perkara-perkara maslahat solat.
Wallahu a’lam.
Sumber: PMWP
Leave a comment