ASMAUL HUSNA – AL-NUR (Yang Maha Bercahaya) 

Asmaul Husna yang ke-93 ialah An-Nur iaitu Tuhan yang Maha Bercahaya. Manusia amat memerlukan cahaya. Tanpa cahaya bererti gelap-gelita. Dengan adanya cahaya, manusia dapat melihat alam dan sekalian makhluk. Dengan wujudnya sesuatu kejadian membuktikan wujudnya Pencipta. 

Manusia dapat mengenali Allah SWT melalui makhluk. Manusia adalah makhluk istimewa yang mempunyai keupayaan mengenali sifat-sifat Allah SWT melalui makhluk-makhluk ciptaan-Nya. Sekalian makhluk ini umpama pantulan cahaya Allah SWT yang mampu menerangi akal manusia untuk mencari dari mana datangnya cahaya, iaitu cahaya Allah SWT. Jika Allah SWT menjadikan makhluk tanpa menjadikan manusia, nescaya makhluk lain tidak mampu menghargai kehebatan ciptaan-Nya. Maka Allah SWT menjadikan manusia, setelah itu Dia berfirman dalam hadis qudsi-Nya; “Fa’arafuni’ (Maka mereka pun mengenali Aku).

Oleh kerana Allah SWT menamakan diri sebagai An-Nur, selain cahaya-Nya menerangi alam ini, cahaya Allah SWT yang paling murni ialah cahaya iman. Inilah cahaya yang telah menerangi hati manusia sehingga manusia bergelar mukmin. Dengan keimanan itu manusia berpeluang mendampingi Allah SWT sebagai seorang muttaqin. 

Justeru itu manusia berkewajipan memelihara cahaya Allah SWT iaitu cahaya iman yang telah menerangi hati mereka. Supaya semakin jelas cahaya iman dalam hati manusia dan semakin mengenali Allah SWT dengan zat-Nya yang Maha Agung.

Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑