Penentuan Air Liur Dari Perut Atau Mulut?

Soalan

Saya pernah tertidur ketika masih memakai telekung selepas solat. Apabila sedar, ada air liur pada bahagian luar mulut yang terkena pada telekung. Saya tidak dapat memastikan bau air liur itu atas faktor kesihatan hidung saya yang tidak peka.  Jadi saya tidak dapat memastikan sama ada ianya dari perut atau mulut. Jadi adakah air liur itu najis dan saya perlu membasuh telekung tersebut?

Penjelasan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Hukum Air Liur

Hukum asal bagi air liur yang keluar dari mulut seseorang adalah suci. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA:

كُنْتُ أَشْرَبُ وَأَنَا حَائِضٌ ثُمَّ أُنَاوِلُهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَضَعُ فَاهُ عَلَى مَوْضِعِ فِيَّ فَيَشْرَبُ

Maksudnya: Aku minum pada ketika itu aku datang haid. Kemudian aku bawakan bekas minuman tadi kepada Nabi SAW lalu Baginda meletakkan mulutnya di tempat yang aku minum tadi lantas Baginda minum.

Pun begitu, terdapat perincian mengenai air liur yang mengalir ketika seseorang tidur. Ini kerana perut tidak menghasilkan air liur, sebaliknya mengeluarkan cecair asid yang berbau busuk dan berwarna kekuningan. Cecair inilah yang disebut oleh para fuqaha sebagai air liur yang berasal dari perut. 

Perkara ini dijelaskan oleh Imam al-Khatib al-Shirbini dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifah Ma‘ani al-Alfaz al-Minhaj:

وَالْمَاءُ السَّائِلُ مِنْ فَمِ النَّائِمِ إنْ كَانَ مِنْ الْمَعِدَةِ كَأَنْ خَرَجَ مُنْتِنًا بِصُفْرَةٍ فَنَجِسٌ، لَا إنْ كَانَ مِنْ غَيْرِهَا أَوْ شُكَّ فِي أَنَّهُ مِنْهَا أَوْ لَا فَإِنَّهُ طَاهِرٌ. وَقِيلَ: إنْ كَانَ مُتَغَيِّرًا فَنَجِسٌ وَإِلَّا فَطَاهِرٌ،

Maksudnya: Air yang mengalir dari mulut orang yang tidur, jika ia berasal dari perut seperti keluar dalam keadaan berbau busuk dan berwarna kekuningan maka ia najis. Namun, jika ia berasal dari selain perut atau terdapat keraguan sama ada ia dari perut atau tidak, maka ia suci.

[Rujuk Mughni al-Muhtaj ila Makrifah Ma’ani al-Alfaz al-Minhaj jld. 1, hlmn. 332]

Imam al-Nawawi turut mendatangkan nukilan daripada Imam Abu Muhammad al-Juwaini yang menyebutkan jenis perbezaan air liur yang keluar ketika tidur di dalam kitabnya al-Tabsirah:

فَإِنْ كَانَ يَسِيلُ مِنْ فَمِهِ فِي أَوَائِلِ نَوْمِهِ بَلَلٌ وَيَنْقَطِعُ حَتَّى إذَا طَالَ زَمَانُ النَّوْمِ انْقَطَعَ ذَلِكَ الْبَلَلُ وَجَفَّتْ شَفَتُهُ وَنَشِفَتْ الْوِسَادَةُ فَالظَّاهِرُ أَنَّهُ مِنْ الْفَمِ لَا مِنْ الْمَعِدَةِ وَإِنْ طَالَ زَمَانُ النَّوْمِ وَأَحَسَّ مَعَ ذَلِكَ بِالْبَلَلِ فَالظَّاهِرُ أَنَّهُ مِنْ الْمَعِدَةِ وَإِذَا أَشْكَلَ فَلَمْ يَعْرِفْهُ فَالِاحْتِيَاطُ غَسْلُهُ

Maksudnya: Maka sekiranya mengalir basah daripada mulut ketika permulaan tidur kemudian terputus dan panjang tempoh tidur sehingga bibirnya menjadi kering dan bantalnya turut mengering maka menurut pendapat yang lebih kuat air liur itu berasal dari mulut. Namun, jika tempoh tidurnya berpanjangan dan dia masih merasakan basah tersebut, maka menurut pendapat yang lebih kuat air liur itu berasal dari perut. Sekiranya seseorang itu ragu-ragu dan tidak dapat pastikan asal usul air liur tersebut maka langkah berhati-hati adalah dengan membasuhnya.

[Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab jld. 2, hlmn 551-552]

Imam al-Nawawi menyambung kenyataan beliau di dalam kitabnya: 

Aku telah bertanya dengan beberapa doktor perubatan yang adil. Mereka menafikan adanya air liur keluar daripada perut, dan mereka juga menolak sesiapa yang mewajibkan membasuhnya. Pandangan yang terpilih ialah tidak wajib membasuhnya melainkan jika telah dipastikan ia keluar dari perut. Apabila syak, maka tidak wajib membasuhnya, tetapi sunat sebagai langkah berhati-hati, sekiranya jika kita hukumkan ia sebagai najis, tetapi ia ia termasuk di dalam perkara umum al-balwa (sukar dielakkan), maka yang zahir ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan sepertimana darah serangga, kencing tidak lawas, istihadah dan seumpamanya yang termasuk dalam perkara yang dimaafkan kerana kesukaran. [Rujuk Majmu’ Syarh al-Muhazzab jld. 2, hlmn 551-552]

Daripada kenyataan di atas, dapat difahami bahawa sekiranya seseorang itu dapat pastikan bahawa air liur yang keluar ketika tidur itu datang daripada perut maka dia perlu membasuhnya kerana ia dikira sebagai najis. Namun sekiranya seseorang itu syak sama ada ia datang dari perut atau tidak maka ia dianggap suci dan tidak perlu dibasuh.

Waswas Itu Datang Daripada Syaitan

Islam tidak mengajar seseorang untuk membebankan diri dengan berlebihan dalam soal kebersihan, kerana terkadang ia hanyalah godaan syaitan yang menimbulkan waswas dalam diri seorang mukmin.

Firman Allah SWT:

أَلَمۡ أَعۡهَدۡ إِلَيۡكُمۡ يَٰبَنِيٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعۡبُدُواْ ٱلشَّيۡطَٰنَۖ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ  وَأَنِ ٱعۡبُدُونِيۚ هَٰذَا صِرَٰطٞ مُّسۡتَقِيمٞ

Maksudnya: Bukankah Aku telah memerintahkan kepadamu hai Bani Adam supaya kamu tidak menyembah syaitan? Sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang nyata bagi kamu, dan hendaklah kamu menyembah-Ku. Inilah jalan yang lurus.

[Surah Yasin 36:60-61]

Musuh manusia yang nyata ini, akan menggunakan pelbagai wasilah dalam menyesatkan manusia. Antara wasilah yang digunakan adalah dengan mencampakkan perasaan waswas kepada manusia itu sendiri. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

ٱلَّذِي يُوَسۡوِسُ فِي صُدُورِ ٱلنَّاسِ

Maksudnya: yang membisikkan (kejahatan) ke dalam dada manusia

[Surah Al-Naas 114:5]

Kesimpulan

Bagi menjawab persoalan yang diajukan kami rumuskan seperti berikut

  1. Air liur yang keluar dari mulut seseorang semasa tidur, jika yakin ia berasal dari perut dengan ciri-ciri berbau busuk dan kekuningan, maka ia dianggap najis.
  2. Sekiranya seseorang syak atau waswas status air liur yang keluar ketika dia sedang tidur maka ia dihukumkan suci dan tidak perlu dibasuh.

Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif serta segala titah perintah-Nya.

Wallahu ‘alam

Sumber: e-Kemusykilan, Jabatan Mufti Pulau Pinang

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑