6 Hak Sesama Muslim: Jangan Ambil Mudah 

​Islam adalah sebuah agama yang amat menitikberatkan hubungan  persaudaraan dan kasih sayang sesama Muslim. Sebagai seorang muslim yang menunaikan hak-hak Allah SWT, hak sesama saudara seagama juga tidak boleh diambil ringan dalam Islam. 

Malangnya, kebelakangan ini ketaksuban politik membawa ramai umat Islam untuk memusuhi umat Islam yang lain dan perkara ini sangat bercanggah dengan saranan Islam kepada penganutnya. Mendoakan kemusnahan kepada umat Islam, mempersoalkan siapa yang akan menguruskan jenazah apabila berlaku kematian dan sebagainya adalah jauh daripada ajaran Islam itu sendiri. Pertelingkahan sesama umat Islam hanya akan melemahkan umat Islam itu sendiri.

Rasulullah SAW dalam sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim menyimpulkan hak-hak sesama Muslim:

”Hak seorang Muslim terhadap sesama Muslim itu ada enam, iaitu apabila engkau berjumpa dengannya ucapkanlah salam, apabila dia mengundangmu maka penuhilah, apabila dia meminta nasihat kepadamu nasihatilah, apabila dia bersin dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’ maka doakanlah dengan ucapan ‘Yarhamukallah’ (semoga Allah memberikan rahmat kepadamu), apabila dia sakit ziarahilah, dan apabila dia meninggal dunia iringilah (jenazahnya).”

Oleh yang demikian, hak-hak yang digariskan oleh syariat Islam ini hendaklah dipraktikkan bagi menjalinkan dan mengeratkan silaturahim sesama Muslim.

1. Mengucapkan Salam

Mengucapkan salam adalah antara identiti umat Islam yang sangat dituntut. Apabila seorang muslim bertemu dengan saudaranya sama ada yang dikenalinya atau tidak, hendaklah dia mendahuluinya dengan salam kerana hukum mengucapkan salam adalah Sunnah Muakkad, manakala hukum menjawabnya pula adalah wajib.

Ini kerana selain mendoakan yang baik, iaitu ‘Assalamu’alaikum kepada saudara kita, ia juga merupakan penyebab tumbuhnya rasa cinta dan dekat dalam kalangan kaum Muslimin. Rasulullah SAW dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bersabda yang bermaksud:

”Kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman, dan iman kamu tidak akan sempurna sehinggalah kamu sayang-menyayangi dan tidakkah aku tunjukkan kepada kamu akan sesuatu apabila kamu melakukannya kamu akan saling sayang-menyayangi? Kamu ucapkanlah salam di antara kamu.”

Daripada hadith Nabi tersebut, jelaslah salam itu adalah bukti bahawa Islam itu adalah agama yang mementingkan kedamaian dan keamanan serta persaudaraan sesama Islam.

2. Memenuhi Undangan

Hak yang perlu ditunaikan sesama Muslim juga adalah memenuhi undangan sekiranya telah dijemput. Niat baik dan penghormatan yang diberikan saudara yang menjemput hendaklah dipenuhi melainkan ada keuzuran dan hal yang tidak dapat dielakkan. Ini akan mengundang rasa kasih sayang dan rasa tersanjung oleh yang menjemput. Namun, haruslah diingat undangan tersebut bukanlah untuk tujuan atau tempat-tempat yang berunsur maksiat.

3. Memberi Nasihat

Apabila seorang Muslim meminta nasihat dan meminta pendapat yang baik dalam suatu perkara, maka kita hendaklah bersungguh-sungguh menasihatinya demi kebaikan. Malah ada ulama berpendapat bahawa nasihat untuk Muslim mestilah merupakan nasihat untuk beribadah kepada Allah, memerintahkan yang ma’ruf atau berbuat baik dan melarang perbuatan mungkar.

Memang lumrah kita sebagai manusia terkadang alpa dalam kemaksiatan dan dosa, oleh itu sebagai seorang Muslim yang mencintai saudaranya hendaklah kita memberikan nasihat dengan cara yang baik, jujur dan ikhlas serta tidak mengaibkan atau mengguris perasaannya. Nasihatkanlah untuknya kembali ke jalan yang benar. Namun, apa yang lebih baik, kita hendaklah sentiasa memberikan nasihat dan teguran yang berhemah walaupun tidak dipinta.

4. Mendoakan Ketika Bersin

Jika seorang Muslim bersin dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’, maka kita hendaklah mengucapkan ‘Yarhamukallah’ (bagi lelaki) atau ‘Yarhamukillah’ (bagi perempuan) sebagai rasa syukur kepada-Nya yang memuji Allah ketika bersin. Ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

”Jika salah seorang dari kamu bersin, hendaklah ia mengucapkan ‘Alhamdulillah’ (Segala puji bagi Allah) dan saudaranya atau orang yang bersamanya mengatakan kepadanya ‘Yarhamukallah’ (Semoga Allah merahmatimu). Jika salah seorang mengucapkan ‘Yarhamukallah’, maka orang yang bersin tersebut hendaklah menjawab ‘Yahdiikumullah Wa Yushlih Baalakum’ (Semoga Allah Subhanahu Wata’ala memberikanmu petunjuk dan memperbaiki keadaanmu).”

Manakala dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

”Apabila salah seorang di antara kamu sekalian bersin dan memuji Allah (mengucapkan ‘Alhamdulillah’), maka doakanlah dia (dengan mengucapkan ‘Yarhamukallah’). Dan apabila dia tidak memuji Allah, maka janganlah kamu mendoakannya.”

5. Menziarahinya Ketika Sakit

Apabila seorang Muslim itu sakit hendaklah kita datang menziarahinya lebih-lebih lagi sekiranya dia adalah saudara terdekat atau sahabat kita sendiri. Ketika menziarahinya, pastikan kita ingat adab-adab yang perlu diamalkan agar kehadiran kita tidak menambahkan beban dan kesusahan kepada pesakit. Doakanlah kesembuhan baginya serta berilah motivasi kepadanya agar bersabar dengan ujian Allah SWT.

Antara adab menziarahi pesakit itu juga adalah tidak duduk terlalu lama melainkan kehadiran kita itu disenanginya dan menenteramkan hatinya.

Apabila amalan ini dipraktikkan, sudah pasti individu yang sakit itu akan merasakan dirinya diingati dan dihargai. Ini pastinya akan membawa ketenangan jiwa si pesakit dan InsyaaAllah akan membawa kesembuhan daripada penyakitnya.

6. Mengiringi Jenazah

Mengiringi jenazah itu mengandungi doa, permohonan ampun serta akan menyenangkan ahli keluarganya malah merupakan penghormatan terakhir bagi orang yang meninggal.

Dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: 

”Siapa yang menghantar jenazah hingga menyembahyangkannya maka baginya pahala satu qhirath, dan siapa yang menghantarkannya hingga dikebumikan maka baginya pahala dua qhirath,” Baginda ditanya : ”Apakah yang dimaksud qhirath? Baginda menjawab : ”Bagaikan dua gunung yang besar.”

Banyak keutamaan dan faedah yang kita dapat kerana melakukan hak-hak sesama Muslim. Namun perlulah juga diingat, selain keenam hak dan kewajipan di atas, masih lagi banyak hak-hak Muslim yang tidak dinyatakan. Allah SWT berfirman dalam Surah Al Maaidah, ayat 2:

وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ 

Maksud: ‘‘Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketakwaan dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hukum Allah). Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat berat seksa-Nya.”

(Surah Al-Maidah 5:2)

Justeru itu, jadilah muslim yang baik dengan menunaikan hak-hak muslim yang lain kerana setiap perbuatan baik yang kita lakukan akan menjadi simpanan dan bekalan kita di akhirat, dan setiap perbuatan jelik kita akan dihisab jika kita tidak bertaubat dan menyesalinya.  InsyaAllah dengan tertunainya hak-hak Muslim tersebut akan mewujudkan masyarakat yang harmoni, saling menghargai serta sentiasa dalam rahmat Allah SWT.

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑